Friday 26 February 2010

Melawat Sunway Pyramid

Jam 4 petang, saya dan along keluar rumah. Saya memandu, seperti biasa. Arah yang dituju ialah Jalan Templer, Petaling Jaya. Tujuannya ialah untuk ke P1 Paddock, menyelesaikan dan menyudahkan segala yang bersangkutan.

Kami sudah menggunakan P1 w1max selama 5 bulan, setepatnya 4 bulan kerana bulan terakhir iaitu bulan ini perkhidmatannya tidak digunakan langsung. Pada 3 bulan pertama semuanya indah. Web surfing, downloading, streaming, segala hal yang bersangkut pada khidmatnya, semuanya cemerlang.

Masuk tahun baru, signal pada modem kerap kali tenggelam timbul. Kejap ada, kejap tiada. Kalau adapun, connectionnya begitu lemah. Hinggakan untuk buka yahoo atau google pun tidak mampu. Pada hujung bulan Januari, along telah menghubungi khidmat pelanggan P1. Menurut mereka, perkhidmatan di kawasan perumahan ini sedang dinaiktaraf. Ketika itu di kawasan ini tiada langsung coverage P1. Tapi bil yang datang tetap dalam jumlah yang penuh.

Masuk bulan Februari, situasinya tetap sama. Tiada perubahan. Connection tetap lemah, bil yang datang tengah bulan Februari tetap dalam jumlah yang penuh. Kami bertekad untuk terminate saja perkhidmatan P1 ini, kerana di rumah ayah sudah ada perkhidmatan Streamix yang sentiasa cemerlang.

Atas sebab itu jugalah petang tadi kami segera ke P1 Paddock, di Jalan Templer. Urusannya mudah. Malah kaunter pelanggannya tetap dibuka hari ini meskipun cuti umum. Bayaran untuk terminate, bersama-sama bil Januari yang tertunggak dilunaskan. Bil Februari dibatalkan kerana kami tidak menggunakannya langsung. Beban yang satu ini sudah dilepaskan.

Keluar dari perkarangan bangunan Packet One, kami berbincang seketika tentang hala tuju selanjutnya. Sunway Pyramid muncul dari paparan Garmin. Butang 'Go' ditekan. Maka, kami dibimbing terus menuju ke pusat membeli belah tersebut.

Selesai meletakkan kereta, saya secara rasminya menjejakkan kaki di pusat membeli belah tersebut pada usia 25 tahun 17 hari. Beraksi seperti seorang pelancong dari luar negara, saya merasa begitu kecil di antara deretan premis-premis perniagaan yang pelbagai dan tak terkira jumlahnya. Banyak. Dari dalam kaca bangunan, terlihat hujan lebat mencurah-curah di luar.

Di satu kawasan berbentuk bulatan, di aras terbawah, terdapat lebih kurang seratus manusia sedang bermain ice-skating. Semuanya, setiap seorang dari mereka boleh saya lihat dari aras ketiga, iaitu aras G. Mungkin mereka semua mendapat semangat dari berlangsungnya Winter Olimpic di Vancouver, Kanada ketika ini.

Kami tidak ber'window shopping' kerana itu bukan kegemaran saya. Along faham yang saya akan bermasam muka sepanjang masa andai dipaksa melakukan kerja yang tidak berfaedah itu. Maka, setiap arah tuju di dalam 'piramid' itu perlulah beralasan yang jelas. Alasan yang dibuat adalah untuk mencari topi dan hoodies (atau upper-body jacket with a hood). Sasarannya ialah Billabong, Quiksilver, RipCurl, Nike, dan Everlast. Harga di premis-premis yang dinyatakan di atas sudah pastinya tinggi-tinggi belaka. Tawaran diskaun pula seolah-olah tidak mencantas satu dari tiga angka.

Kecewa dengan hakikat tersebut, kami tetap perlu mengisi perut kosong. Hati merungut, perut pun turut sama merungut. Kami singgah sebentar di restoran makanan segera Popeye. Pertama kali mencubanya, mujur ekspektasi saya tidak begitu tinggi. Masih belum mampu menandingi McDonald's dan KFC (dari sudut makanan segera).

Selesai segala urusan di Sunway Pyramid, termasuk membayar parking ticket, kami beransur keluar. Ketika itu hujan sudah beransur reda. Telefon bimbit saya sudah kehabisan bateri, bermakna juga perkhidmatan Garmin tidak boleh digunakan. Kami pulang ke Kuala Lumpur berpandu pada papan tanda jalan.

Tiba di Jalan Tun Razak, kereta kehausan. Minyak diisi di Shell sebelah Pusat Darah Negara. Minyak kereta sudah diisi, kami belum mahu pulang. Along masih belum berpuas hati kerana belum menjumpai topi dan hoodies. Kami menuju ke Wangsa Walk kerana di situ ada RipCurl.

Tiba di Wangsa Walk kami terus menuju ke RipCurl. Malangnya, cawangan kecil ini mempunyai pilihan produk yang terbatas. Kami terus buntu. Perjalanan diteruskan di dalam pusat membeli belah ini. Kami menuju ke satu kawasan premis berhampiran dengan TGI Friday.

Ketika sedang asyik melihat sebuah premis menjual makanan, ibu jari kaki kiri saya tersadung pada belakang kasut along. Berlaku sedikit contact yang mengerikan pada kuku yang sedia patah itu. Tak perlu saya ceritakan bagaimana keadaannya ketika itu. Darah mula mengalir menyebabkan saya terhincut-hincut menuju ke tandas. Along segera membeli pembalut luka untuk membalut kuku tersebut sebagai langkah perlindungan sementara. Ibu jari kaki dibalut ketika rasa nyilu menyeka ke seluruh deria rasa.

Selesai urusan di Wangsa Walk, kami beransur pulang ke rumah.

2 comments:

FataMorgana said...

cerita itu akhir itu agak ngeri..

Sir Shah said...

mmg ngeri pun. sy sendiri kalau ingat smula saat2 tragedi smlm tu, masih lg terasa meremang, dan nyilu. tp alhamduliLLAH pagi td dah hilang rasa nyilu dan sakit. dah lega skit. harap accident tu mempercepatkan lg ianya sembuh.