Friday 26 February 2010

Melawat Sunway Pyramid

Jam 4 petang, saya dan along keluar rumah. Saya memandu, seperti biasa. Arah yang dituju ialah Jalan Templer, Petaling Jaya. Tujuannya ialah untuk ke P1 Paddock, menyelesaikan dan menyudahkan segala yang bersangkutan.

Kami sudah menggunakan P1 w1max selama 5 bulan, setepatnya 4 bulan kerana bulan terakhir iaitu bulan ini perkhidmatannya tidak digunakan langsung. Pada 3 bulan pertama semuanya indah. Web surfing, downloading, streaming, segala hal yang bersangkut pada khidmatnya, semuanya cemerlang.

Masuk tahun baru, signal pada modem kerap kali tenggelam timbul. Kejap ada, kejap tiada. Kalau adapun, connectionnya begitu lemah. Hinggakan untuk buka yahoo atau google pun tidak mampu. Pada hujung bulan Januari, along telah menghubungi khidmat pelanggan P1. Menurut mereka, perkhidmatan di kawasan perumahan ini sedang dinaiktaraf. Ketika itu di kawasan ini tiada langsung coverage P1. Tapi bil yang datang tetap dalam jumlah yang penuh.

Masuk bulan Februari, situasinya tetap sama. Tiada perubahan. Connection tetap lemah, bil yang datang tengah bulan Februari tetap dalam jumlah yang penuh. Kami bertekad untuk terminate saja perkhidmatan P1 ini, kerana di rumah ayah sudah ada perkhidmatan Streamix yang sentiasa cemerlang.

Atas sebab itu jugalah petang tadi kami segera ke P1 Paddock, di Jalan Templer. Urusannya mudah. Malah kaunter pelanggannya tetap dibuka hari ini meskipun cuti umum. Bayaran untuk terminate, bersama-sama bil Januari yang tertunggak dilunaskan. Bil Februari dibatalkan kerana kami tidak menggunakannya langsung. Beban yang satu ini sudah dilepaskan.

Keluar dari perkarangan bangunan Packet One, kami berbincang seketika tentang hala tuju selanjutnya. Sunway Pyramid muncul dari paparan Garmin. Butang 'Go' ditekan. Maka, kami dibimbing terus menuju ke pusat membeli belah tersebut.

Selesai meletakkan kereta, saya secara rasminya menjejakkan kaki di pusat membeli belah tersebut pada usia 25 tahun 17 hari. Beraksi seperti seorang pelancong dari luar negara, saya merasa begitu kecil di antara deretan premis-premis perniagaan yang pelbagai dan tak terkira jumlahnya. Banyak. Dari dalam kaca bangunan, terlihat hujan lebat mencurah-curah di luar.

Di satu kawasan berbentuk bulatan, di aras terbawah, terdapat lebih kurang seratus manusia sedang bermain ice-skating. Semuanya, setiap seorang dari mereka boleh saya lihat dari aras ketiga, iaitu aras G. Mungkin mereka semua mendapat semangat dari berlangsungnya Winter Olimpic di Vancouver, Kanada ketika ini.

Kami tidak ber'window shopping' kerana itu bukan kegemaran saya. Along faham yang saya akan bermasam muka sepanjang masa andai dipaksa melakukan kerja yang tidak berfaedah itu. Maka, setiap arah tuju di dalam 'piramid' itu perlulah beralasan yang jelas. Alasan yang dibuat adalah untuk mencari topi dan hoodies (atau upper-body jacket with a hood). Sasarannya ialah Billabong, Quiksilver, RipCurl, Nike, dan Everlast. Harga di premis-premis yang dinyatakan di atas sudah pastinya tinggi-tinggi belaka. Tawaran diskaun pula seolah-olah tidak mencantas satu dari tiga angka.

Kecewa dengan hakikat tersebut, kami tetap perlu mengisi perut kosong. Hati merungut, perut pun turut sama merungut. Kami singgah sebentar di restoran makanan segera Popeye. Pertama kali mencubanya, mujur ekspektasi saya tidak begitu tinggi. Masih belum mampu menandingi McDonald's dan KFC (dari sudut makanan segera).

Selesai segala urusan di Sunway Pyramid, termasuk membayar parking ticket, kami beransur keluar. Ketika itu hujan sudah beransur reda. Telefon bimbit saya sudah kehabisan bateri, bermakna juga perkhidmatan Garmin tidak boleh digunakan. Kami pulang ke Kuala Lumpur berpandu pada papan tanda jalan.

Tiba di Jalan Tun Razak, kereta kehausan. Minyak diisi di Shell sebelah Pusat Darah Negara. Minyak kereta sudah diisi, kami belum mahu pulang. Along masih belum berpuas hati kerana belum menjumpai topi dan hoodies. Kami menuju ke Wangsa Walk kerana di situ ada RipCurl.

Tiba di Wangsa Walk kami terus menuju ke RipCurl. Malangnya, cawangan kecil ini mempunyai pilihan produk yang terbatas. Kami terus buntu. Perjalanan diteruskan di dalam pusat membeli belah ini. Kami menuju ke satu kawasan premis berhampiran dengan TGI Friday.

Ketika sedang asyik melihat sebuah premis menjual makanan, ibu jari kaki kiri saya tersadung pada belakang kasut along. Berlaku sedikit contact yang mengerikan pada kuku yang sedia patah itu. Tak perlu saya ceritakan bagaimana keadaannya ketika itu. Darah mula mengalir menyebabkan saya terhincut-hincut menuju ke tandas. Along segera membeli pembalut luka untuk membalut kuku tersebut sebagai langkah perlindungan sementara. Ibu jari kaki dibalut ketika rasa nyilu menyeka ke seluruh deria rasa.

Selesai urusan di Wangsa Walk, kami beransur pulang ke rumah.

Tuesday 23 February 2010

Langkah Songsang Kementerian

Merujuk kepada laporan berita:

Stesen radio kini diwajib putar lagu baru artis tempatan

22/02/2010 8:08pm

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Mulai 1 Mac ini, semua stesen radio diwajibkan memutarkan lagu-lagu daripada album atau “single” terbaru artis tempatan untuk tempoh tertentu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, langkah itu juga akan menjadi antara syarat pemberian lesen stesen radio dan beliau percaya pemegang lesen stesen radio tidak akan keberatan untuk mematuhi arahan itu.

Arahan itu akan dikuatkuasakan mengikut Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 supaya stesen radio mempromosikan lagu-lagu tempatan memandangkan usaha itu didapati masih kurang diutamakan, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil akreditasi kepada artis tempatan dalam bidang seni persembahan di Studio Sound Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jalan Hulu Kelang, dekat sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan drastik kerajaan mewajibkan stesen radio supaya memberi ruang kepada lagu baru tempatan, Rais berkata, tindakan itu diambil selepas beliau “terkejut” dengan perkembangan semasa yang disifatkannya sebagai “serong” dan tidak menyebelahi industri muzik tanah air. – Bernama


Reaksi dan komen dari presiden Persatuan Radio Komersil Malaysia (CRM), Datuk Borhanuddin Osman sudah pun diperolehi dan tersebar menerusi pelbagai media. Dalam reaksinya ketika berada di Delhi bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa, beliau menyatakan betapa pihaknya terkejut dengan pengumuman tersebut.

Bagi saya pula, tidaklah mengejutkan sangat. Suatu ketika dulu Datuk Seri Dr Rais pernah membuat arahan yang lebih dahsyat dan tidak masuk akal berbanding yang terbaru ini. Beliau pernah mengarahkan setiap stesen radio berbahasa Melayu di Malaysia ini untuk memainkan lagu-lagu tempatan pada nisbah 90:10.

Ternyata tindakan tersebut gagal dilaksanakan kerana tidak praktikal. Stesen-stesen radio malah menyatakan bahawa permintaan dan selera pendengar adalah menjadi keutamaan dan sumber rating mereka.

Bagaimana mahu menjalankan perniagaan siaran radio yang hanya mengutamakan poket industri, tetapi membelakangkan selera pendengar? Adakah muzik di Malaysia bakal mengembalikan zaman kegelapannya semula?

Saya pernah membangkitkan situasi zaman kegelapan muzik Malaysia pada era 90-an. Era di mana rakyat disuap dengan lagu-lagu berkualiti rendah dan melemahkan fikiran. Bagi saya ketika itu mungkin ada campurtangan dari pihak-pihak yang mahu melemahkan akal orang-orang Melayu sehingga menyebabkan kejatuhan produktiviti bangsa, hanya dengan pengaruh muzik.

Hal yang sama berlaku pada kala ini, apabila industri perfileman negara kini sedang dimonopoli oleh seorang tycoon yang menguasai penerbitan filem negara. Saya tidak mahu menuduhnya sebagai penjahanam Melayu. Ianya tampak seolah provokasi perkauman, kerana yang saya rujuk itu ialah seorang yang berbangsa cina.

Beliau merupakan seorang penerbit yang menerbitkan sesebuah filem berbahasa Melayu tanpa mempertimbangkan hasil pembangunan moral mahupun pembangunan jati diri buat bangsa yang menontonnya. Maka terhasillah 2 hingga 3 buah filem dalam sebulan. Satu filem rugi tidak mengapa, kerana ada 2 yang lain yang pasti mendatangkan untung.

Baginya, kualiti tidak penting. Malah pengajaran mahupun penyampaian ilmiah juga tidak penting. Filem bukan untuk mengajar, filem untuk mengumpul kekayaan. Dengan itu, maka terhasillah puluhan filem dalam setahun, yang tidak mendapat sebarang pengiktirafan dari juri-juri festival filem tempatan. Anugerah tidak penting. Anugerah tidak mendatangkan kekayaan.

Filem-filem tempatan, baik mainstream mahupun underground film, terpaksa bersaing dengan lambakan filem tidak berkualiti terbitan orang kaya ini. Dominasi pasarannya ketika ini sudah terlihat. Industri perfileman negara kini terus berada dalam zaman kegelapannya.

Saya mohon penggiat filem underground untuk bangkit menembusi dominasi gila ini. Kegemilangan industri perfileman negara memerlukan keberanian dan kerja keras anda. Jadikan kejayaan pengamal muzik indie sebagai contoh dan pemangkin semangat. Mereka juga pernah berada dalam zaman yang sama seperti industri perfileman sekarang.

Kembali kepada isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Rais, saya rasakan itu bukanlah langkah yang rasional. Pihak radio terkejut dengan pengumuman tersebut. Maka logiknya, menteri tersebut tidak membawakan isu ini ke meja perbincangan dengan pihak yang sepatutnya, iaitu pengamal radio. Siapa yang lebih maklum berkenaan selera dan pasaran muzik tempatan kalau bukan pihak stesen radio? Apakah menteri lebih maklum?

Dengan penguatkuasaan tersebut, industri muzik tanah air akan cenderung untuk menyamai industri perfileman. Akan adanya dominasi pasaran, dan rakyat akan disuap dengan lagu-lagu yang wajib siar, walaupun tidak berkualiti. Lambakan lagu tempatan di radio akan mengurangkan persaingan di kalangan pemain industri kerana mereka akan merasakan bahawa produk yang cukup korum pun boleh masuk radio.

Monday 22 February 2010

Ketika Ini...

Keadaan di rumah pada waktu ini agak bingit dek bunyi-bunyian rumit. Saya tidak dapat menumpukan perhatian dalam menghasilkan suatu artikel berdaya fikir.

Biasanya, rumah ini akan sedikit sunyi dan tenang selepas jam 12 tengah malam. Akan tetapi hari ini abang masih berjaga, dan memainkan muzik Korea berulang-ulang kali melalui laptopnya. Tahu-tahu sajalah, lagu-lagu Korea memang kebanyakannya diulang loop secara beberapa kali, sehingga habis lagu. Sama saja dari awal hingga habis. Membosankan. Sepatah katapun tak difahami.

Saya tetap mengadap komputer tanpa mampu meluahkan isi akal yang bernas. Segala yang difikirkan sebentar tadi lenyap entah ke mana.

Cedera di ibu jari kaki masih belum pulih. 70 peratus dari kuku yang mati sudah tidak lekat pada isi. Masih menantikan selebihnya, sebelum secara rasmi saya membenarkan kuku baru muncul.

Kereta mengalami masalah sebentar tadi, ketika ayah memandunya untuk mengambil abang pulang kerja. Temperature naik mendadak, namun stabil buat beberapa ketika. Hasil penelitian yang dibuat mendapati radiator kereta rosak dan perlu diselenggara. Mungkin esok. Bererti esok tidak boleh ke mana, kerana penyelenggaraannya mungkin memakan masa seharian suntuk (ada bahagian lain yang turut butuh selenggara).

Pagi ini hanya ada satu perlawanan siaran langsung bolasepak, iaitu perlawanan Liga BBVA Sepanyol di antara Valencia dan Getafe, jam 4 pagi nanti. Saya tidak mahu ketinggalan. Valencia ketika ini berada di tangga ketiga liga, terlalu jauh ditinggalkan oleh Barca dan Real sebagai pendahulu. Tetapi survival Valencia lebih kepada mempertahankan kedudukan ketiganya, yang sedang diasak oleh Sevilla. David Villa (Valencia) pula hanya ketinggalan satu gol dari pendahulu jumlah jaringan, Lionel Messi. Villa perlu menjaringkan gol untuk kekal bersaing dengan Messi yang sedang di kemuncak prestasi.

Getafe pula di tangga kelapan, 5 mata di bawah kedudukan keenam yang bakal menjamin tempat ke Europa League musim hadapan.

Maka, berjagalah saya sehingga tamat permainan, iaitu pada waktu subuh.

Sunday 21 February 2010

Piala Dunia Dalam Jam Pasir

Empat bulan menuju sepak mula Piala Dunia 2010, saya ingin mengulas serba sedikit perkembangan semasa para pemain utama, selain pemain yang berpotensi untuk menyarung jersi pasukan England.

Penjaga gol: Posisi yang dikatakan sebagai the weakest link untuk pasukan kebangsaan England sejak pengunduran David Seaman pada tahun 2002. Sejak itu, England gagal melahirkan pemain dari posisi ini yang bertaraf antarabangsa. Rata-rata yang mewakili England selama 8 tahun kebelakangan ini hanya bertaraf domestik.

Kelab-kelab utama dari liga domestik juga gagal menampilkan penjaga gol tempatan sebagai penjaga gol utama menyebabkan jurulatih negara terpaksa melihat persaingan antara penjaga gol dari kelab bertaraf sederhana.

Melihat kepada prestasi semasa, menuju Piala Dunia pada bulan Jun ini, England bakal menghadapi masalah yang besar kerana persembahan lemah dari kesemua calon penjaga golnya. Penjaga gol dengan penampilan antarabangsa tertinggi (49 caps), David James, ketika ini bersama-sama kelabnya (Portsmouth) bergelut di tangga terbawah liga. Pada bulan Ogos ini, usia James genap 40 tahun.

Pemain kedua dalam senarai penjaga gol England ialah Paul Robinson. Dengan pengalaman antarabangsa yang sederhana (41 caps), karier Robinson dikatakan merudum sejak dijual ke Blackburn dari Tottenham. Fabio Capello mungkin sedia mempertimbangkan untuk memberikan semula jersi nombor satu England kepada Robinson.

Robert Green (penjaga gol West Ham) mungkin tiada pengalaman setanding Robinson dan James. Green menyarung jersi pasukan England hanya 9 kali, dengan kali terakhir pada Oktober tahun lalu ketika menentang Ukraine di mana beliau dilayangkan kad merah.

Chris Kirkland (penjaga gol Wigan) pula hanya sekali menyarung jersi England, itupun hanya sebagai pemain gantian ketika menentang Greece pada Ogos 2006. Beliau kerap tersenarai dalam pasukan kebangsaan, tetapi gagal beraksi dalam kesebelasan. Persembahan konsistennya bersama Wigan ketika ini mungkin boleh dijadikan sandaran untuknya terpilih antara tiga penjaga gol England yang akan ke Afrika Selatan.

Ben Foster, dengan statusnya sebagai penjaga gol kedua dalam kelabnya, Manchester United, mungkin sedikit sebanyak mengurangkan peluangnya untuk terpilih ke Piala Dunia. Foster hanya bermain 11 kali bersama United sepanjang musim ini. Peluang sama banyak diberi oleh Sir Alex Ferguson kepadanya dan Tomasz Kuszczak ketika penjaga gol utama, Edwin van der Sar mengalami kecederaan atau direhatkan. Foster perlu bermain sebagai penjaga gol utama kelabnya untuk menjamin tempatnya dalam pasukan kebangsaan.

Terakhir dalam senarai, namun pertama di mata saya, ialah penjaga gol muda, Joe Hart. Baru berusia 22 tahun, Hart sudah 21 kali bermain untuk pasukan bawah 21 tahun England. Hart baru sekali beraksi untuk pasukan senior, sebagai pemain gantian ketika perlawanan persahabatan menentang Trinidad & Tobago 2 tahun lalu. Ketika ini beliau berada dalam prestasi terbaik bersama pasukan Birmingham. Menurut Fantasy Premier League, Hart menduduki tangga kelima senarai penjaga gol terbaik liga, dengan jumlah 102 mata. Beliau juga berjaya membuat sejumlah 101 'saves' dalam 25 perlawanan, ketiga terbaik dalam liga.

Setakat bulan Februari ini, iaitu tinggal kira-kira dua bulan sebelum senarai akhir pemain dihantar ke Fifa, mungkin agak keberatan untuk Capello meletakkan Hart sebagai penjaga gol utamanya, meskipun pemain ini menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim setakat ini. Melihat prestasi semasa penjaga gol utama lain seperti James, Robinson, dan Green, mungkin sedikit memeningkan kepala jurulatih berbangsa Itali ini.

Mungkin ada benarnya pendapat sesetengah pundit yang menyatakan bahawa kedudukan England di Piala Dunia nanti bergantung kepada prestasi penjaga golnya.

Tuesday 16 February 2010

Kecewa, Kemudian Gembira (Part 2)

Eye on Malaysia di Sungai Melaka

Selepas berjaya mendapatkan bilik hotel, kami yang sedang kelaparan segera mencari tempat makan. Struktur bandar di Banda Hilir itu sepatutnya membenarkan para pelancong untuk bersiar-siar dan makan angin sambil berjalan kaki sahaja kerana kemudahan pejalan kaki yang baik, selain pemusatan kawasan aktif pada tengah malam yang baik. Tetapi memandangkan malam itu malam minggu, ramai geng-geng samseng jalanan (rempit @ beruk bermotosikal) 'bersiar-siar' di kawasan bandar membuat kacau. Kami terpaksa berkereta untuk ke tempat makan yang terletak hanya 400 meter dari hotel.

Selesai makan di sebuah 'bistro' yang tak seberapa itu, kami terus pulang ke hotel kerana sudah kepenatan. Along dan Acan terus terlelap di katil bilik yang empuk sambil di tiup bayu air-cond yang mendodoikan lena. Saya pula masih tidak boleh lelap meskipun penat memandu selama hampir 8 jam. Puncanya hanya satu, sudah biasa berjaga malam. Putaran waktu tidur sudah terakam sebegitu cara. Maka, keseorangan saya duduk di bangku rotan bilik, sambil mendengar mp3 di telefon bimbit.

Jam 4 pagi, barulah mata terasa berat untuk diangkat. Fikiran tidak mampu lagi menumpu pada bait-bait lagu yang masuk ke telinga menerusi earphone. Terus badan di telentangkan di atas katil, dan saya terus terlena.

Alarm telefon bimbit berbunyi pada jam 9 pagi. Saya terjaga dan matikan alarm. Tetapi badan masih terasa penat untuk bangkit dari katil. Saya kembali terlelap kerana yang lain masih diulit lena. Saya hanya terjaga sejam kemudian, apabila yang lain turut terjaga. Pengajaran ketiga: ukur kemampuan yang rasional untuk bangkit dari tidur sebelum mengunci alarm.

Kami mula merancang aktiviti selanjutnya. Semua aktiviti yang dirancang harus bermula selepas jam 12 tengahari, iaitu selepas kami check out. Salah satu dari yang dirancang ialah makan ikan bakar di Pengkalan Balak.

Kami terus bertolak ke lokasi tersebut selepas check out. Tiba di Pengkalan Balak sekitar jam 2 petang. Kereta dipandu sepanjang pantai peranginan tersebut, malangnya tiada satupun restoran ikan bakar yang dibuka pada waktu berkenaan. Mungkin mereka hanya memulakan perniagaan pada waktu malam. Dengan menelan kekecewaan secara paksaan, kami harus berpuas hati dengan makan nasi ayam. Di Kuala Lumpur, nasi ayamnya lebih enak. Pengajaran keempat: Ikan bakar di pantai peranginan hanya wujud pada sebelah malam.


Gerai nasi ayam di pantai peranginan Pengkalan Balak

Selesai makan, kami bersegera menuju ke Senawang, rumah sepupu kami yang baru pulang dari Dungun, Asrop. Bertolak jam 3 petang, dan tiba di hadapan rumahnya kira-kira 1 jam setengah kemudian.

Kami disambut oleh kesemua ahli keluarga Pakcik Pi'i (tak tahu ejaan setepatnya menurut sebutannya). Kami menghabiskan waktu petang tersebut dengan borak-borak berkenaan keluarga besar kami. Lama saya tidak melawat rumah pakcik ini.

Jam 6 petang, pakcik ingin beransur pulang ke kampung sebelah isterinya di Linggi. Yang akan ke Linggi ialah pakcik, makcik dan sepupu perempuan yang sebaya saya, Dak Yan panggilannya. 'Dak' panggilan kami di Melaka untuk mereka yang segolong usia kami. Asrop akan menjaga rumah, dan membawa kami jalan-jalan sekitar Senawang dan Seremban. Kami akan menumpang rumah berkenaan sehingga esok.

Malam tersebut, kami dibawa makan steamboat di sebuah restoran di Seremban 2. Boleh tahan. Restoran yang sederhana, tetapi dilengkapi dengan free wi-fi, pilihan menu yang pelbagai, serta layanan yang cemerlang. Kami kekenyangan.


Steamboat

Menuju pulang ke Senawang, Acan mengidam untuk berkaraoke. Kami dibawa Asrop ke sebuah premis karaoke di Senawang. Kami bergilir-gilir menyanyikan lagu pilihan masing-masing. Walaupun tidak dapat menyanyikan lagu dari kumpulan Flybaits (kerana tiada dalam senarai di situ), saya tetap berpuas hati dapat menyanyikan lagu Mimpi Yang Tak Sudah (Ibnor Riza), Suara (Hijau Daun), dan beberapa lagi lagu lain. Kami berempat, dengan setiap seorang dapat kesempatan menyanyikan lebih dari lima lagu kerana perlu menghabiskan masa 2 jam di dalam bilik gelap bersofa berkenaan.


Acan sedang memilih lagu

Keluar dari pusat karaoke berkenaan, suara kami masing-masing sudah serak. Mungkin diakibatkan oleh teknik nyanyian yang salah. Mungkin juga kerana salah pilih key, menyebabkan terpaksa tarik melangkaui had suara normal. Atau mungkin juga kerana terpaksa menghirup udara kotor (sisa-sisa asap rokok) yang telah ditinggalkan oleh pengguna sebelum kami. Tak mengapa. Walau pulang dengan berserak suara, kami tetap puas. Pengajaran kelima: tak semua lagu lelaki sesuai dinyanyikan oleh orang lelaki.

Kami pulang ke rumah Asrop dan terus lena di ruang tamu beralaskan tilam.

Keesokan paginya, kami terjaga pada jam 10. Bangun lewat lagi. Siap bersarapan kemudiannya. Kami duduk sambil menonton TV, sambil berbincang tentang aktiviti selepas makan tengahari.

Kami lunch di sebuah restoran masakan kampung di Senawang. Tak mencapai standard yang saya tetapkan, ditambah pula dengan minuman yang terlalu manis. Tak mengapa. Kerana sedikit ketidakpuasan tersebut segera dipadam oleh keghairahan terhadap perancangan yang selanjutnya iaitu bermain boling.

Asrop membawa kami ke Seremban Parade, kerana menurutnya, di sanalah wujud satu-satunya pusat boling di bandaraya berpopulasi 419,536 orang penduduk. Seremban Parade yang berhadapan KTM Seremban, kali terakhir saya lawati pada 7 tahun yang lalu. Ketika itu saya turun dari bas dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Masjid Tanah. Dari pengangkutan bas, saya perlu ke transit komuter di stesen tersebut menuju ke KL Sentral. Itu kenangan lalu.

Di Seremban Parade, terdapat satu cawangan Ampang Superbowl, the largest bowling chain in Malaysia. 13 bowling centre di 7 buah negeri. 2 daripadanya pernah saya lawati di Kuala Lumpur. Satu daripadanya ialah di Ampang Point, iaitu cawangan pertama mereka.

Ampang Superbowl di Seremban Parade ini tidak begitu besar. Lebih kurang 20 lane sahaja. Saya terpaksa meminjam kasut bersaiz 12 memandangkan itu sahaja saiz terbesar yang mereka ada. Itupun masih sedikit ketat dipakai. Ibu jari kaki yang masih cedera tidak begitu selesa ketika dipakaikan kasut tersebut. Tapi itu bukanlah alasan bola masuk longkang sebanyak 5 kali sepanjang 4 game. Alasan yang lebih logik dan praktikal ialah saya gagal menjumpai bola yang bersesuaian sehinggalah di pertengahan game ketiga.


Asrop dan Acan sedang beraksi

Selesai bermain boling, kami pulang ke rumah di Senawang. Beberapa minit setibanya kami di pagar rumah, pakcik sekeluarga turut tiba dari kampung. Kami berehat seketika di rumah sebelum beransur pulang ke Kuala Lumpur.

Kira-kira jam 5 petang, kami bertolak keluar tol Senawang. Trafik agak sesak dan perlahan dari tol Senawang hingga ke R&R Seremban. Keletihan memandu dalam trafik yang perlahan, kami berhenti rehat di R&R berkenaan. Have a break, sebelum melanjutkan perjalanan pulang.

Tiba di Cheras untuk menghantar Acan pulang kira-kira jam 8 malam. Kami tiba di Keramat sebelum jam 9 malam.

Monday 15 February 2010

Kecewa, Kemudian Gembira (Part 1)

Tanggal 12hb Februari 2010 (Jumaat), along memberi cadangan kepada keluarga untuk kami pergi bercuti, memandangkan kesemua kami berada di rumah sehingga hari Selasa minggu berikutnya. Saya masih belum berkerja. Ibu pula suri rumah sepenuh masa. Ayah pula baru menikmati 6 hari tanpa berkerja selepas menamatkan perkhidmatannya di usia 56 tahun tanggal 6hb Februari yang lalu. Along dan adik bercuti sehingga hari Selasa.

Malangnya, cadangan tersebut tidak disambut dengan keputusan yang positif oleh kesemua ahli dewan mesyuarat. Adik mahu berehat di rumah sepanjang cutinya. Ayah pula ada beberapa perancangan dan majlis pada hari Ahad dan Isnin. Maka rancangan terpaksa diubah.

Along mencadangkan saya dan dia, disertai oleh dua orang lagi sepupu kami untuk berkelana (makan angin) di bumi Melaka, kerana kami memang berhajat untuk ronda-ronda di kawasan Banda Hilir dan beberapa pantai peranginan. Kedua sepupu tersebut dihubungi. Namun hanya seorang yang boleh sertai kami, iaitu Acan. Asrop ketika dihubungi masih berada di Dungun mengikuti kursus jabatan.

Masalah timbul apabila Acan terpaksa ke pejabat pada hari Sabtu, untuk menyelesaikan beberapa tugasan oleh kerana bakal bercuti sehingga hari Rabu. Dia hanya selesai bertugas pada jam 3 petang. Pada jam 3.30 petang, saya sebagai pemandu (satu-satunya), dengan along sebagai penumpang di bangku hadapan, menjemput Acan di Sogo (turun LRT dari pejabatnya di PJ). Kami kemudiannya ke Cheras untuk mengambil barang-barang Acan dan meminta kebenaran dari ibunya.

Jam 4.30 petang kami bertolak keluar Cheras. Tiba di tol Sungai Besi, kami singgah makan di KFC. Saya makan set OR Fillet yang cute dan tidak mengenyangkan. Selesai makan, kami terus bertolak memandangkan jadual perjalanan sudah dilajak. Sehingga melepasi Seremban, Garmin di telefon bimbit tetap tidak boleh beroperasi, kerana katanya, signal GPS lemah. Pengajaran pertama, Garmin bukanlah pemandu pelancong yang baik.

Sehinggalah melepasi Senawang, Garmin baru boleh digunakan. Kami menuju ke Tanjung Bidara. Dari Tol Simpang Ampat, tiada masalah bagi saya kerana kerap berulang alik melalui laluan ini untuk ke kolej suatu ketika dulu. Namun, pada satu simpang, Garmin mengarahkan kami melalui jalan yang agak asing bagi saya. Perjalanan tetap diteruskan.

Sampai di satu simpang empat di Masjid Tanah, baru saya sedar yang Garmin menggunakan jalan yang jauh. Sepatutnya lebih cepat dan lancar jika menggunakan laluan yang merentasi pekan Alor Gajah dan UiTM Lendu. Tak mengapalah. Asalkan sampai.

Tiba di Tanjung Bidara, kami menghadapi lesukaran mencari chalet. Tak jumpa satupun, kecuali Tanjung Bidara Beach Resort, yang kelihatan semacam tak mengalu-alukan pengunjung. Sunyi sepi, gelap, dan tiada pengawal di pintu masuk utamanya. Kami tak jadi masuk. Kereta berpatah balik menuju laluan utama semula. Garmin search chalet yang berhampiran. Paparan di skrin telefon bimbit ialah satu nama chalet berlokasikan Pengkalan Balak. Kami menuju ke sana.

Tiba di laluan masuk pantai peranginan Pengkalan Balak, sudah menanti sebuah medan ikan bakar yang ramai pengunjung. Begitu menggoda akal dan rasa. Maaf, kami terpaksa mencari tempat bermalam terlebih dahulu memandangkan ketika itu senja sudahpun menjengah. Sepanjang perairan pantai tersebut kami jelajahi, memang berpuluh chalet beratur mengadap pantai. Tapi tak satupun yang ada kekosongan untuk kami. Maklum sajalah, musim cuti perayaan. Semua chalet di kawasan tersebut sudah di'book' terlebih awal. Tiada ruang untuk pengelana yang terlewat.

Kami tidak putus asa, tetap berusaha mencari chalet sehingga ke Telok Gong, bersambungan dengan Pengkalan Balak. Kemudiannya kami ke Pantai Puteri atau dikenali juga dengan nama Pantai Kundur. Tujuannya sama, iaitu mencari tempat inapan. Tetap gagal. Pengajaran kedua, jangan pergi bercuti pada ketika ribuan lagi rakyat Malaysia turut bercuti makan angin.

Kecewa dan putus asa untuk mendapatkan chalet, ikhtiar seterusnya ialah mencari hotel di Banda Hilir. Kami terus ke sana, juga berpandukan Garmin. Melalui suatu jalan yang saya sendiri tidak pasti namanya, memang ramai orang Cina berkumpul sambil beberapa percikan bunga api mewarnai ruang udara ketika itu.

Asyik menikmati suasana yang agak asing itu, tiba-tiba 2 anggota polis bermotosikal dan bersiren mengarahkan semua kenderaan untuk himpit ke tepi memberi laluan. Sebuah kereta Perdana lalu dan berhenti tepat di sebelah kereta Waja kami. Saya duduk di bangku pemandu dengan jelas terlihat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam keluar dari kereta tersebut sambil bercakap dalam talian.

Saya tak pasti program atau majlis apakah yang berlangsung malam itu. Yang pasti, kami masih belum mendapatkan tempat untuk bermalam. Sudut jahat dalam fikiran menakut-nakutkan saya tentang kemungkinan tiada langsung tempat menginap yang available pada malam minggu itu.

Akhirnya, Garmin membawa kami ke sebuah hotel. Hotel Metropole namanya. Kami check in tepat jam 12 tengah malam. Harus check out jam 12 tengahari. Hanya separuh hari, perlu dibayar penuh. Mujur rate untuk bilik tiga orang agak berpatutan. Keadaan biliknya juga agak baik. Kekurangannya mungkin hanya pada TV yang kekurangan signal. Terpaksa menonton TV2 pada malam itu, memandangkan hanya itu sahaja yang ada signal.

Tidak banyak gambar yang dapat diambil sepanjang perjalanan memandangkan peranan saya selaku pemandu tunggal. Datuk Ali berada kurang 10 meter dari kamipun saya hanya mampu menoleh, tidak sempat mengambil gambar. Nanti tak pasal-pasal kena saman kerana memandu sambil mengambil gambar.


Bilik Hotel Metropole yang serba sederhana tetapi selesa


bersambung...

Wednesday 10 February 2010

Kakiku Cedera

Lebih tepatnya, kuku kaki saya yang cedera. Bunyinya tidaklah seberapa. Tapi bagi yang menanggungnya, Tuhan saja yang tahu. Kecederaan ini saya perolehi hasil bermain futsal di Sri Rampai, malam semalam.

Permainan bermula pada jam 12.15 tengah malam. Segalanya bermula seperti biasa. Saya hanya dapat bermain pada kira-kira jam 12.30 pagi kerana kami ramai. Perlu main 'king'. 3 team, main selama 2 jam.

Tidak lama bermain, saya merasakan sesuatu yang tajam mencucuk-cucuk di ibu jari kaki kiri, setepatnya di bahagian atas sedikit daripada kuku. Pada ketika itu saya fikirkan mungkin ada serpihan kayu kecil, atau batu di dalam stokin. Saya tidak ambil kisah. Teruskan bermain.

Semakin lama bermain, semakin sakit pula ibu jari kaki kiri saya, terutamanya di bahagian kuku. Sakitnya bertambah apabila pada satu ketika saya berlaga kaki dengan rakan lain, sehingga saya rasa perlu berhenti dan check.

Di luar gelanggang, saya tanggalkan kasut dan stokin. Saya terkejut apabila mendapati kuku ibu jari kaki kiri saya sudah patah. Patahnya hanya sedikit, tapi yang mengilukan ialah patahnya betul-betul dipangkal kuku.

Buat masa ini saya tidak boleh buat apa-apa. Nak cabut tak boleh, nak biar pula rasa tak selesa. Nasihat ayah, biarkan dulu sehingga ianya betul-betul mati, dan tumbuh kuku baru, baru boleh dicabut. Saya perlu mencucinya dengan iodin dan interceptic dettol, kemudian bungkuskannya dengan bandage untuk mengelak dari tersentuh, yang pasti mengilukan. Adoi. Berjalanpun dah macam robot.

Untuk jangka masa yang tidak dapat dipastikan, saya perlu berpantang dari bermain futsal. Gantung kasut. Saya dapat rasakan macam mana perasaan Franck Ribery sewaktu dia patah kuku yang sama, beberapa minggu yang lalu.

Monday 8 February 2010

9 hb Februari ?


Pada jam 9 pagi, tarikh hari ini, pada tahun 1985, menurut satu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, menggunakan satu helai kertas yang kini sudahpun lusuh, tertera nama saya sebagai manusia yang telah selamat dilahirkan.

Ya, hari ini, 9 hb Februari 2010, merupakan ulangtahun kelahiran saya yang ke-25. 25 tahun, bermaksud suku abad. Kiranya macam jubli perak la. Dimaklumkan kepada semua rakyat Malaysia, ulangtahun saya pada tahun ini tidak akan diadakan sebarang majlis peringkat kebangsaan, mahupun peringkat negeri.

Memasuki satu lagi pentas usia, dunia yang bakal dihadapi pastinya amat berbeza. Mungkin penyesuaian perlu dibuat secara perlahan-lahan supaya tidak hanyut dibawa arus. Pada usia ini, perkara utama yang wajib saya lakukan ialah untuk mendapatkan kerja secepat mungkin.

Perkara kedua utama ialah untuk mengumpul duit sebanyak mungkin. Sudak pasti perkara kedua ini hanya boleh dilaksanakan selepas perkara pertama berjaya diusahakan. Kalian doakanlah kejayaan saya. Kemudiannya, barulah saya boleh mula memikirkan tentang perkara ketiga, iaitu kahwin. Huh. 10 tahun lagi kot baru terlaksana.