Tuesday 23 February 2010

Langkah Songsang Kementerian

Merujuk kepada laporan berita:

Stesen radio kini diwajib putar lagu baru artis tempatan

22/02/2010 8:08pm

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Mulai 1 Mac ini, semua stesen radio diwajibkan memutarkan lagu-lagu daripada album atau “single” terbaru artis tempatan untuk tempoh tertentu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, langkah itu juga akan menjadi antara syarat pemberian lesen stesen radio dan beliau percaya pemegang lesen stesen radio tidak akan keberatan untuk mematuhi arahan itu.

Arahan itu akan dikuatkuasakan mengikut Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 supaya stesen radio mempromosikan lagu-lagu tempatan memandangkan usaha itu didapati masih kurang diutamakan, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil akreditasi kepada artis tempatan dalam bidang seni persembahan di Studio Sound Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jalan Hulu Kelang, dekat sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan drastik kerajaan mewajibkan stesen radio supaya memberi ruang kepada lagu baru tempatan, Rais berkata, tindakan itu diambil selepas beliau “terkejut” dengan perkembangan semasa yang disifatkannya sebagai “serong” dan tidak menyebelahi industri muzik tanah air. – Bernama


Reaksi dan komen dari presiden Persatuan Radio Komersil Malaysia (CRM), Datuk Borhanuddin Osman sudah pun diperolehi dan tersebar menerusi pelbagai media. Dalam reaksinya ketika berada di Delhi bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa, beliau menyatakan betapa pihaknya terkejut dengan pengumuman tersebut.

Bagi saya pula, tidaklah mengejutkan sangat. Suatu ketika dulu Datuk Seri Dr Rais pernah membuat arahan yang lebih dahsyat dan tidak masuk akal berbanding yang terbaru ini. Beliau pernah mengarahkan setiap stesen radio berbahasa Melayu di Malaysia ini untuk memainkan lagu-lagu tempatan pada nisbah 90:10.

Ternyata tindakan tersebut gagal dilaksanakan kerana tidak praktikal. Stesen-stesen radio malah menyatakan bahawa permintaan dan selera pendengar adalah menjadi keutamaan dan sumber rating mereka.

Bagaimana mahu menjalankan perniagaan siaran radio yang hanya mengutamakan poket industri, tetapi membelakangkan selera pendengar? Adakah muzik di Malaysia bakal mengembalikan zaman kegelapannya semula?

Saya pernah membangkitkan situasi zaman kegelapan muzik Malaysia pada era 90-an. Era di mana rakyat disuap dengan lagu-lagu berkualiti rendah dan melemahkan fikiran. Bagi saya ketika itu mungkin ada campurtangan dari pihak-pihak yang mahu melemahkan akal orang-orang Melayu sehingga menyebabkan kejatuhan produktiviti bangsa, hanya dengan pengaruh muzik.

Hal yang sama berlaku pada kala ini, apabila industri perfileman negara kini sedang dimonopoli oleh seorang tycoon yang menguasai penerbitan filem negara. Saya tidak mahu menuduhnya sebagai penjahanam Melayu. Ianya tampak seolah provokasi perkauman, kerana yang saya rujuk itu ialah seorang yang berbangsa cina.

Beliau merupakan seorang penerbit yang menerbitkan sesebuah filem berbahasa Melayu tanpa mempertimbangkan hasil pembangunan moral mahupun pembangunan jati diri buat bangsa yang menontonnya. Maka terhasillah 2 hingga 3 buah filem dalam sebulan. Satu filem rugi tidak mengapa, kerana ada 2 yang lain yang pasti mendatangkan untung.

Baginya, kualiti tidak penting. Malah pengajaran mahupun penyampaian ilmiah juga tidak penting. Filem bukan untuk mengajar, filem untuk mengumpul kekayaan. Dengan itu, maka terhasillah puluhan filem dalam setahun, yang tidak mendapat sebarang pengiktirafan dari juri-juri festival filem tempatan. Anugerah tidak penting. Anugerah tidak mendatangkan kekayaan.

Filem-filem tempatan, baik mainstream mahupun underground film, terpaksa bersaing dengan lambakan filem tidak berkualiti terbitan orang kaya ini. Dominasi pasarannya ketika ini sudah terlihat. Industri perfileman negara kini terus berada dalam zaman kegelapannya.

Saya mohon penggiat filem underground untuk bangkit menembusi dominasi gila ini. Kegemilangan industri perfileman negara memerlukan keberanian dan kerja keras anda. Jadikan kejayaan pengamal muzik indie sebagai contoh dan pemangkin semangat. Mereka juga pernah berada dalam zaman yang sama seperti industri perfileman sekarang.

Kembali kepada isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Rais, saya rasakan itu bukanlah langkah yang rasional. Pihak radio terkejut dengan pengumuman tersebut. Maka logiknya, menteri tersebut tidak membawakan isu ini ke meja perbincangan dengan pihak yang sepatutnya, iaitu pengamal radio. Siapa yang lebih maklum berkenaan selera dan pasaran muzik tempatan kalau bukan pihak stesen radio? Apakah menteri lebih maklum?

Dengan penguatkuasaan tersebut, industri muzik tanah air akan cenderung untuk menyamai industri perfileman. Akan adanya dominasi pasaran, dan rakyat akan disuap dengan lagu-lagu yang wajib siar, walaupun tidak berkualiti. Lambakan lagu tempatan di radio akan mengurangkan persaingan di kalangan pemain industri kerana mereka akan merasakan bahawa produk yang cukup korum pun boleh masuk radio.

No comments: