Sunday 21 February 2010

Piala Dunia Dalam Jam Pasir

Empat bulan menuju sepak mula Piala Dunia 2010, saya ingin mengulas serba sedikit perkembangan semasa para pemain utama, selain pemain yang berpotensi untuk menyarung jersi pasukan England.

Penjaga gol: Posisi yang dikatakan sebagai the weakest link untuk pasukan kebangsaan England sejak pengunduran David Seaman pada tahun 2002. Sejak itu, England gagal melahirkan pemain dari posisi ini yang bertaraf antarabangsa. Rata-rata yang mewakili England selama 8 tahun kebelakangan ini hanya bertaraf domestik.

Kelab-kelab utama dari liga domestik juga gagal menampilkan penjaga gol tempatan sebagai penjaga gol utama menyebabkan jurulatih negara terpaksa melihat persaingan antara penjaga gol dari kelab bertaraf sederhana.

Melihat kepada prestasi semasa, menuju Piala Dunia pada bulan Jun ini, England bakal menghadapi masalah yang besar kerana persembahan lemah dari kesemua calon penjaga golnya. Penjaga gol dengan penampilan antarabangsa tertinggi (49 caps), David James, ketika ini bersama-sama kelabnya (Portsmouth) bergelut di tangga terbawah liga. Pada bulan Ogos ini, usia James genap 40 tahun.

Pemain kedua dalam senarai penjaga gol England ialah Paul Robinson. Dengan pengalaman antarabangsa yang sederhana (41 caps), karier Robinson dikatakan merudum sejak dijual ke Blackburn dari Tottenham. Fabio Capello mungkin sedia mempertimbangkan untuk memberikan semula jersi nombor satu England kepada Robinson.

Robert Green (penjaga gol West Ham) mungkin tiada pengalaman setanding Robinson dan James. Green menyarung jersi pasukan England hanya 9 kali, dengan kali terakhir pada Oktober tahun lalu ketika menentang Ukraine di mana beliau dilayangkan kad merah.

Chris Kirkland (penjaga gol Wigan) pula hanya sekali menyarung jersi England, itupun hanya sebagai pemain gantian ketika menentang Greece pada Ogos 2006. Beliau kerap tersenarai dalam pasukan kebangsaan, tetapi gagal beraksi dalam kesebelasan. Persembahan konsistennya bersama Wigan ketika ini mungkin boleh dijadikan sandaran untuknya terpilih antara tiga penjaga gol England yang akan ke Afrika Selatan.

Ben Foster, dengan statusnya sebagai penjaga gol kedua dalam kelabnya, Manchester United, mungkin sedikit sebanyak mengurangkan peluangnya untuk terpilih ke Piala Dunia. Foster hanya bermain 11 kali bersama United sepanjang musim ini. Peluang sama banyak diberi oleh Sir Alex Ferguson kepadanya dan Tomasz Kuszczak ketika penjaga gol utama, Edwin van der Sar mengalami kecederaan atau direhatkan. Foster perlu bermain sebagai penjaga gol utama kelabnya untuk menjamin tempatnya dalam pasukan kebangsaan.

Terakhir dalam senarai, namun pertama di mata saya, ialah penjaga gol muda, Joe Hart. Baru berusia 22 tahun, Hart sudah 21 kali bermain untuk pasukan bawah 21 tahun England. Hart baru sekali beraksi untuk pasukan senior, sebagai pemain gantian ketika perlawanan persahabatan menentang Trinidad & Tobago 2 tahun lalu. Ketika ini beliau berada dalam prestasi terbaik bersama pasukan Birmingham. Menurut Fantasy Premier League, Hart menduduki tangga kelima senarai penjaga gol terbaik liga, dengan jumlah 102 mata. Beliau juga berjaya membuat sejumlah 101 'saves' dalam 25 perlawanan, ketiga terbaik dalam liga.

Setakat bulan Februari ini, iaitu tinggal kira-kira dua bulan sebelum senarai akhir pemain dihantar ke Fifa, mungkin agak keberatan untuk Capello meletakkan Hart sebagai penjaga gol utamanya, meskipun pemain ini menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim setakat ini. Melihat prestasi semasa penjaga gol utama lain seperti James, Robinson, dan Green, mungkin sedikit memeningkan kepala jurulatih berbangsa Itali ini.

Mungkin ada benarnya pendapat sesetengah pundit yang menyatakan bahawa kedudukan England di Piala Dunia nanti bergantung kepada prestasi penjaga golnya.

No comments: