Tuesday 16 February 2010

Kecewa, Kemudian Gembira (Part 2)

Eye on Malaysia di Sungai Melaka

Selepas berjaya mendapatkan bilik hotel, kami yang sedang kelaparan segera mencari tempat makan. Struktur bandar di Banda Hilir itu sepatutnya membenarkan para pelancong untuk bersiar-siar dan makan angin sambil berjalan kaki sahaja kerana kemudahan pejalan kaki yang baik, selain pemusatan kawasan aktif pada tengah malam yang baik. Tetapi memandangkan malam itu malam minggu, ramai geng-geng samseng jalanan (rempit @ beruk bermotosikal) 'bersiar-siar' di kawasan bandar membuat kacau. Kami terpaksa berkereta untuk ke tempat makan yang terletak hanya 400 meter dari hotel.

Selesai makan di sebuah 'bistro' yang tak seberapa itu, kami terus pulang ke hotel kerana sudah kepenatan. Along dan Acan terus terlelap di katil bilik yang empuk sambil di tiup bayu air-cond yang mendodoikan lena. Saya pula masih tidak boleh lelap meskipun penat memandu selama hampir 8 jam. Puncanya hanya satu, sudah biasa berjaga malam. Putaran waktu tidur sudah terakam sebegitu cara. Maka, keseorangan saya duduk di bangku rotan bilik, sambil mendengar mp3 di telefon bimbit.

Jam 4 pagi, barulah mata terasa berat untuk diangkat. Fikiran tidak mampu lagi menumpu pada bait-bait lagu yang masuk ke telinga menerusi earphone. Terus badan di telentangkan di atas katil, dan saya terus terlena.

Alarm telefon bimbit berbunyi pada jam 9 pagi. Saya terjaga dan matikan alarm. Tetapi badan masih terasa penat untuk bangkit dari katil. Saya kembali terlelap kerana yang lain masih diulit lena. Saya hanya terjaga sejam kemudian, apabila yang lain turut terjaga. Pengajaran ketiga: ukur kemampuan yang rasional untuk bangkit dari tidur sebelum mengunci alarm.

Kami mula merancang aktiviti selanjutnya. Semua aktiviti yang dirancang harus bermula selepas jam 12 tengahari, iaitu selepas kami check out. Salah satu dari yang dirancang ialah makan ikan bakar di Pengkalan Balak.

Kami terus bertolak ke lokasi tersebut selepas check out. Tiba di Pengkalan Balak sekitar jam 2 petang. Kereta dipandu sepanjang pantai peranginan tersebut, malangnya tiada satupun restoran ikan bakar yang dibuka pada waktu berkenaan. Mungkin mereka hanya memulakan perniagaan pada waktu malam. Dengan menelan kekecewaan secara paksaan, kami harus berpuas hati dengan makan nasi ayam. Di Kuala Lumpur, nasi ayamnya lebih enak. Pengajaran keempat: Ikan bakar di pantai peranginan hanya wujud pada sebelah malam.


Gerai nasi ayam di pantai peranginan Pengkalan Balak

Selesai makan, kami bersegera menuju ke Senawang, rumah sepupu kami yang baru pulang dari Dungun, Asrop. Bertolak jam 3 petang, dan tiba di hadapan rumahnya kira-kira 1 jam setengah kemudian.

Kami disambut oleh kesemua ahli keluarga Pakcik Pi'i (tak tahu ejaan setepatnya menurut sebutannya). Kami menghabiskan waktu petang tersebut dengan borak-borak berkenaan keluarga besar kami. Lama saya tidak melawat rumah pakcik ini.

Jam 6 petang, pakcik ingin beransur pulang ke kampung sebelah isterinya di Linggi. Yang akan ke Linggi ialah pakcik, makcik dan sepupu perempuan yang sebaya saya, Dak Yan panggilannya. 'Dak' panggilan kami di Melaka untuk mereka yang segolong usia kami. Asrop akan menjaga rumah, dan membawa kami jalan-jalan sekitar Senawang dan Seremban. Kami akan menumpang rumah berkenaan sehingga esok.

Malam tersebut, kami dibawa makan steamboat di sebuah restoran di Seremban 2. Boleh tahan. Restoran yang sederhana, tetapi dilengkapi dengan free wi-fi, pilihan menu yang pelbagai, serta layanan yang cemerlang. Kami kekenyangan.


Steamboat

Menuju pulang ke Senawang, Acan mengidam untuk berkaraoke. Kami dibawa Asrop ke sebuah premis karaoke di Senawang. Kami bergilir-gilir menyanyikan lagu pilihan masing-masing. Walaupun tidak dapat menyanyikan lagu dari kumpulan Flybaits (kerana tiada dalam senarai di situ), saya tetap berpuas hati dapat menyanyikan lagu Mimpi Yang Tak Sudah (Ibnor Riza), Suara (Hijau Daun), dan beberapa lagi lagu lain. Kami berempat, dengan setiap seorang dapat kesempatan menyanyikan lebih dari lima lagu kerana perlu menghabiskan masa 2 jam di dalam bilik gelap bersofa berkenaan.


Acan sedang memilih lagu

Keluar dari pusat karaoke berkenaan, suara kami masing-masing sudah serak. Mungkin diakibatkan oleh teknik nyanyian yang salah. Mungkin juga kerana salah pilih key, menyebabkan terpaksa tarik melangkaui had suara normal. Atau mungkin juga kerana terpaksa menghirup udara kotor (sisa-sisa asap rokok) yang telah ditinggalkan oleh pengguna sebelum kami. Tak mengapa. Walau pulang dengan berserak suara, kami tetap puas. Pengajaran kelima: tak semua lagu lelaki sesuai dinyanyikan oleh orang lelaki.

Kami pulang ke rumah Asrop dan terus lena di ruang tamu beralaskan tilam.

Keesokan paginya, kami terjaga pada jam 10. Bangun lewat lagi. Siap bersarapan kemudiannya. Kami duduk sambil menonton TV, sambil berbincang tentang aktiviti selepas makan tengahari.

Kami lunch di sebuah restoran masakan kampung di Senawang. Tak mencapai standard yang saya tetapkan, ditambah pula dengan minuman yang terlalu manis. Tak mengapa. Kerana sedikit ketidakpuasan tersebut segera dipadam oleh keghairahan terhadap perancangan yang selanjutnya iaitu bermain boling.

Asrop membawa kami ke Seremban Parade, kerana menurutnya, di sanalah wujud satu-satunya pusat boling di bandaraya berpopulasi 419,536 orang penduduk. Seremban Parade yang berhadapan KTM Seremban, kali terakhir saya lawati pada 7 tahun yang lalu. Ketika itu saya turun dari bas dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Masjid Tanah. Dari pengangkutan bas, saya perlu ke transit komuter di stesen tersebut menuju ke KL Sentral. Itu kenangan lalu.

Di Seremban Parade, terdapat satu cawangan Ampang Superbowl, the largest bowling chain in Malaysia. 13 bowling centre di 7 buah negeri. 2 daripadanya pernah saya lawati di Kuala Lumpur. Satu daripadanya ialah di Ampang Point, iaitu cawangan pertama mereka.

Ampang Superbowl di Seremban Parade ini tidak begitu besar. Lebih kurang 20 lane sahaja. Saya terpaksa meminjam kasut bersaiz 12 memandangkan itu sahaja saiz terbesar yang mereka ada. Itupun masih sedikit ketat dipakai. Ibu jari kaki yang masih cedera tidak begitu selesa ketika dipakaikan kasut tersebut. Tapi itu bukanlah alasan bola masuk longkang sebanyak 5 kali sepanjang 4 game. Alasan yang lebih logik dan praktikal ialah saya gagal menjumpai bola yang bersesuaian sehinggalah di pertengahan game ketiga.


Asrop dan Acan sedang beraksi

Selesai bermain boling, kami pulang ke rumah di Senawang. Beberapa minit setibanya kami di pagar rumah, pakcik sekeluarga turut tiba dari kampung. Kami berehat seketika di rumah sebelum beransur pulang ke Kuala Lumpur.

Kira-kira jam 5 petang, kami bertolak keluar tol Senawang. Trafik agak sesak dan perlahan dari tol Senawang hingga ke R&R Seremban. Keletihan memandu dalam trafik yang perlahan, kami berhenti rehat di R&R berkenaan. Have a break, sebelum melanjutkan perjalanan pulang.

Tiba di Cheras untuk menghantar Acan pulang kira-kira jam 8 malam. Kami tiba di Keramat sebelum jam 9 malam.

2 comments:

FataMorgana said...

banyaknya pengajaran...
tp yg mana satu en shah?

Sir Shah said...

haha.. sy tetap menjadi rahsia. malas nk taruk gambar sendiri kt blog ni.

part pengajaran2 ni, sy blajar dr andrea hirata menerusi 'laskar pelangi'nya. pengajarannya bukan skadar mengajar, tp juga kdg kala mencuit hati. ini cubaan pertama sy meniru gayanya.