Sunday 27 December 2009

Avatar (2009)

Hari rabu lepas, iaitu 23 hb Disember, saya dan abang rancang untuk menonton filem Avatar. Cadangan asal ialah untuk menonton tayangan 3D, untuk mendapatkan kepuasan menonton yang maksimum. Maka kami pun pergilah ke Berjaya Time Square pada jam 8.30 malam hari tersebut.

Setibanya di sana, kami terus ke tingkat 10 iaitu iMax theater. Namun kekecewaan melanda apabila mendapat tahu bahawa iMax tidak lagi memiliki tayangan 3D seperti dulu. Menurut jurutiket, sudah lebih setahun iMax tidak mendapat hak untuk kontrak tayangan 3D. Tapi kami tetap menonton Avatar di situ, untuk kepuasan tayangan skrin besar. Itu sahaja kelebihan yang iMax ada untuk bersaing dengan GSC yang berada di tingkat 3.

Avatar, tanpa ragu-ragu, bagi saya adalah sebuah filem yang sangat-sangat hebat. Hebat dari segi garapan jalan cerita, mahupun dari segi teknologi dan effect yang digunakan. Ditambah dengan bakat pengarahan dari pengarahnya, James Cameron, Avatar ialah sebuah filem yang perlu ditonton berkali-kali.

Jangka masa tayangan iaitu lebih kurang 2 jam setengah, memang puas menonton filem ini. Tak seperti filem-filem Hollywood yang lain, yang rata-rata hanya berdurasi 1 jam setengah, Avatar sebuah filem yang padat dengan aksi, dan penuh dengan drama. Saya puji filem ini atas kekuatannya.

Apa yang menariknya dalam filem ini, ianya seakan cuba untuk menggambarkan situasi dunia yang sebenar, walaupun dalam suasana planet asing bernama Pandora. Situasi yang saya maksudkan ialah kuasa besar, dengan kekuatan tentera dan teknologi senjata, cuba untuk menindas sesuatu bangsa pribumi, semata-mata untuk memperolehi kekayaan buminya.

Ianya seakan persamaan terus, atau direct comparison kepada kuasa besar dunia kala ini, iaitu Amerika Syarikat (US). Malah, dialog-dialog yang diucapkan dalam filem ini juga banyak yang seakan memberikan gambaran betapa US adalah kuasa yang cuba dimaksudkannya.

Namun, saya tidaklah menjangkakan akan wujudnya kuasa alam, atau kuasa dari dunia lain yang akan mempertahankan bangsa yang ditindas oleh US. Bukannya dengan niat menolak. Tetapi saya melihat masih belum tiba waktunya, ditambah dengan kekuatan dari negara-negara pesaing yang masih belum cukup kuat dari segi ketenteraan.

Apapun, diharapkan agar Avatar menjadi pembuka mata dunia di atas kerja-kerja yang sedang dijalankan oleh negara 'polis' dunia ini.

Monday 21 December 2009

Tahniah Messi

Pemenang FIFA World Player 2009 baru saja diumumkan. Saya sendiri berjaga sehingga jam ini, iaitu jam 5 pagi, untuk menyertai debaran dunia. Seperti pengkritik-pengkritik bolasepak yang lain, saya turut menjangkakan Lionel Messi sebagai calon terbaik untuk memenangi anugerah ini. Ini merupakan anugerah terbesar buat seseorang pemain bolasepak, selain daripada memenangi Piala Dunia. Messi berjaya pada kali ini.

Lionel Messi, sekalipun baru berusia 21 tahun pada tahun lalu, sudahpun meletakkan dirinya sebagai pencabar terhebat buat peraih anugerah edisi 2008 iaitu Cristiano Ronaldo. Tetapi setelah memenangi 6 kejuaraan bersama kelabnya, FC Barcelona, Messi sepatutnya tiada tentangan untuk meraih anugerah ini. Menariknya, kesemua 6 kejuaraan yang dimenangi Barca, Messi mempunyai sumbangan yang signifikan bagi setiap satunya termasuk yang terbaru, FIFA Club World Cup 2009 di UAE.

Messi merupakan bakat semulajadi yang sama seperti bekas mentornya, Ronaldinho. Mereka berdua boleh diiktiraf sebagai pemain bolasepak tulen, berdasarkan sikap di atas padang, serta skil permainan yang menarik. Berbeza dengan Ronaldo, Messi bukanlah pemain yang mudah dijatuhkan, mahupun mudah untuk menjatuhkan badan sendiri. Messi juga seorang pemain yang merendah diri, dan bersih dari sebarang skandal luar padang. Inilah contoh terbaik untuk dibawakan oleh FIFA dalam mempromosikan produk mereka bersempena FIFA World Cup 2010, iaitu 1 Goal Education for All. Produk yang kumpulan sasarannya ialah dari kalangan kanak-kanak.

Menyoroti perkembangan pemain ini, saya ternyata hanya dapat mengikutinya bermula pada musim 2007/2008. Sebelum itu, pemain ini masih belum saya kenali dengan dekat. Pada musim tersebut, iaitu pada usia 19 tahun, Messi sudahpun berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan Ronaldinho. Bermain di sayap kanan, Messi dan Ronaldinho sememangnya pasangan yang amat digeruni. Pada musim berikutnya, Ronaldinho mengalami kemerosotan permainan, membolehkan Messi bermainan sayap bersama Thierry Henry. Gandingan ini turut menjadi sehingga membolehkan Messi mendapat tempat kedua di belakang Ronaldo sebagai pemain terbaik dunia tahun lalu.

Memasuki penghujung musim 2008/2009 sehingga musim ini, peranan yang diberikan kepada Messi sedikit berbeza. Dia tidak lagi bermain sebagai pemain sayap kanan yang kekal. Pada perlawanan akhir UEFA Champions League 2008/2009, Messi lebih kerap bertukar tempat dengan Samuel Eto'o. Dia lebih kerap membuat larian ke tengah, dan kadang kala kekal di posisi penyerang tunggal. Pada musim ini pula, memandangkan Barca sudahpun memiliki seorang pemain penyerang yang tulen, iaitu Zlatan Ibrahimovic, Messi lebih kerap diletakkan sebagai penyerang kedua, iaitu penghubung di antara pemain tengah dengan penyerang. Posisi ini menyukarkan baginya untuk membuat lebih banyak larian di bahagian sayap. Memandangkan corak permainan liga Sepanyol yang rapat dan memenuhi ruang tengah, Messi sepatutnya digunakan sehabis baik di bahagian sayap.

Berbalik kepada anugerah yang tersebut, apa yang menarik, 5 orang calonnya terdiri dari hanya 2 buah kelab, iaitu 3 orang dari Barca, dan 2 orang lagi dari Real Madrid. 3 orang pemain Barca itu ialah Messi, Xavi dan Andre Iniesta. Sementara pemain Real terdiri dari bekas pemain AC Milan iaitu Kaka, dan bekas pemain Manchester United iaitu Ronaldo.

Thursday 17 December 2009

Selesa Walau Kurang Bergaya


Inilah snapshot daripada kotak kasut futsal yang dibeli dari sebuah kedai barangan sukan di Wangsa Walk. Saiz yang terpampang besar tu, iaitu 13 adalah ukuran US. Di Malaysia, kita menggunakan ukuran UK, dan untuk kes ini, kasut yang dibeli bersaiz 12.

Saya dikira masih bernasib baik memandangkan memiliki saiz kaki yang masih ada terjual kasutnya. Seorang rakan saya, rakan sekolah lama, Shahril, percaya atau tidak, memiliki kaki bersaiz 16. Saya tidak pasti bagaimana dia mahu membeli kasut. Namun, saya tidak merasakan yang dia berhadapan keadaan yang sukar memandangkan dia adalah dari keluarga yang berkemampuan. Maksud saya, dia mampu untuk membeli kasut-kasut import menerusi e-Bay, mahupun ketika bercuti ke luar negara.

Saya pula, ingin mencari kasut kulit berwarna hitam pun bermasalah. Situasi ini berlaku ketika mahu mencari kasut tersebut untuk kegunaan konvokesyen pada bulan Ogos yang lalu. Hanya terdapat sebuah sahaja premis menjual kasut kulit berwarna hitam bersaiz 13 di Jalan TAR. Walaupun harganya tidak dapat dirunding dengan baik, namun saya cukup berpuas hati selepas seminggu meneroka kawasan tersebut. Alasan jurujual kedai tersebut, kasut saiz besar dipesan khas, dan tidak berada dalam kuantiti yang besar. Maka harganya adalah tetap.

Penantian 20 Tahun, Macam Tak Cukup Bagus


Saya memang agak kritikal dalam berbicara tentang bolasepak Malaysia. Bukan setakat bolasepak Malaysia, malah juga bolasepak global. Saya kalau berbicara tentang bolasepak, saya bukanlah bersuara atas kapasiti sebagai seorang pemain bolasepak yang bagus. Saya hanya pemain biasa yang paling jauh pun sekadar mewakili kolej di peringkat universiti. Tetapi saya bersuara atas kapasiti sebagai seorang pemerhati bolasepak yang cukup teliti dan tetap. Saya juga maklum tentang bagaimana corak bolasepak yang boleh diiktiraf sebagai cantik, atau berkualiti.

Berbalik kepada kejayaan Malaysia menjuarai acara bolasepak di Sukan Sea Laos 2009, sejujurnya saya tidaklah begitu menaruh harapan yang tinggi pada pasukan kebangsaan. Hal ini kerana kualiti yang dipamerkan di peringkat liga tempatan yang masih dianggap masih di standard semi-pro. Saya tidak kisah sangat jika pendapat umum mengatakan yang sedemikian. Akan tetapi jika tiba di peringkat kebangsaan, kualitinya tetap sama seperti di peringkat liga, adalah malang bagi sesebuah negara untuk memajukan standard bolasepaknya.

Merujuk kepada permainan yang dipamerkan oleh pasukan kebangsaan di Sukan Sea Laos, seperti yang ditayangkan secara langsung, iaitu dua perlawanan di peringkat separuh akhir dan akhir. Mutu permainan, sekiranya ditanyakan pada peminat setia liga tempatan, mereka akan mengatakan inilah permainan terbaik pasukan kebangsaan. Saya faham mengapa mereka memperkatakan yang sedemikian. Saya merupakan seorang pemerhati bola sepak yang turut mengikuti perkembangan bolasepak Eropah, Amerika Selatan, dan Asia, secara teliti mahupun sepintas lalu. Bagi saya standard permainan yang ditonjolkan sebentar tadi tidak lebih hanya dalam lingkungan Asia Tenggara. Mungkin kali ini boleh diiktiraf sebagai yang terbaik di kalangan mereka.

Tetapi sekiranya kita bandingkan kualiti semasa pasukan-pasukan kebangsaan Asia Tenggara dengan pasukan Asia secara kasarnya, memang masih terlalu besar jurangnya. Saya mengikuti perkembangan, dan beberapa perlawanan liga Jepun dan Korea Selatan. Malah saya juga mengikuti secara khusus akan beberapa perlawanan AFC Champions League 2009 yang telah dijuarai oleh kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers. Barulah saya faham mengapa kedudukan Malaysia di ranking dunia masih di tangga ke-47 dari bawah, daripada jumlah 207 pasukan kebangsaan. Mutu permainan sebentar tadi menggambarkan kedudukan tersebut.

Menang dengan jumlah gol hanya 1-0, dengan satu-satunya gol yang tersebut dari segi kualitinya, dan corak jaringan mampu menterjemahkan rupa bentuk sebenar keseluruhan 90 minit permainan. Malah satu gol tersebut adalah gol jaringan sendiri pasukan lawan. Apakah kita tidak mampu untuk menjaringkan gol secara normal apabila bertemu Vietnam? Mungkin taktik jurulatih untuk mengambil kesempatan terhadap kegugupan dan kelam kabut pertahanan pasukan lawan tampak berjaya. Namun begitu, adakah itu kekuatan sebenar kita?

Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah, adakah saya akan dianggap sebagai tidak patriotik, atau tiada semangat kenegaraan sekiranya terus-terusan mengkritik pasukan Malaysia?

Mungkin mereka tidak nampak apa yang saya nampak. Atau mungkin juga saya tidak nampak apa yang mereka nampak. Oleh yang demikian, pendapat saya, mahupun pendapat peminat-peminat bolasepak domestik, perlu dilihat sebagai sesuatu yang sepatutnya memberikan input yang positif buat pasukan kebangsaan, mahupun buat liga tempatan.

Friday 11 December 2009

Penagih Rokok

Persoalan: Mengapa menjadi sesuatu yang begitu mengejutkan, atau sesuatu yang pelik apabila seorang lelaki Melayu beragama Islam di Malaysia ini tidak pernah menghisap rokok?

Persoalan ini sering bermain di minda saya apabila berhadapan dengan reaksi rakan-rakan yang baru mengenali diri ini. Sehingga pernah pada suatu ketika terlintas di benak saya untuk mencuba merasakan apa yang lelaki Melayu Islam normal (majoriti) rasakan dengan mengepam asap dalam paru-paru.

Mujurlah kesedaran dan ketahanan terhadap bahan kotor ini begitu kuat sehingga kini, alhamduliLLAH, pada usia 24 tahun, saya bebas dari mengepam secara terus asap rokok dari bibir ke paru-paru. Asap rokok yang masuk tanpa kerelaan mungkin banyak, memandangkan ayah seorang perokok tegar, dan bekas-bekas rakan sebilik di matrikulasi dulu yang bebas menghisap rokok di bilik.

Saya pernah berhadapan dengan pandangan pelik rakan-rakan apabila mengakui tidak pernah menghisap rokok. Mungkin kerana kehidupan sekitar saya rata-rata perokok. Namun saya tidak kisah itu semua. Malah saya tidak kisah jika sekalipun digelar mat skema, atau tidak jantan hanya kerana tidak menghisap rokok.

Bagi saya merokok tidak menjanjikan kejantanan dari segi gaya, mahupun riak tubuh. Kejantanan yang sah adalah penampilan yang lelaki, dan cara layanan terhadap wanita. Bukan dengan menghisap rokok dan hembuskan pada orang yang lalu lalang.

Saya tidak tahu mana salahnya perkara ini. Apabila semakin ramai wanita yang dilihat tanpa sebarang masalah berdampingan dengan lelaki yang sedang merokok. Malah mereka dilihat begitu setia menemani lelaki itu meskipun dihembuskan asap rokok di mukanya berkali-kali.

Pemerhatian demi pemerhatian membuatkan saya semakin jauh dari realiti para perokok. Apa yang dijuangkan dengan meletakkan rokok di bibir, memetik lighter, dan kemudian menyedut sedalam-dalamnya asap yang dipenuhi bahan-bahan kimia. Apa yang cuba dibuktikan?

Usaha kerajaan Malaysia mewajibkan semua syarikat rokok berdaftar di Malaysia untuk meletakkan imej penyakit-penyakit yang disebabkan rokok, pada kotaknya. Usaha ini amat unik dan menarik di mata negara jiran. Malah ada juga cadangan dibuat untuk pemerintah Indonesia menuruti kaedah ini. Namun sejauh mana keberkesanannya terhadap perokok di Malaysia masih belum dipastikan.

Hasil pemerhatian saya terhadap rakan-rakan yang merokok, sebahagian besar darinya langsung tidak mempedulikan amaran mahupun imej yang tertera pada kotak rokok itu. Malah ada di antara mereka yang maklum tentang penyakit-penyakit tersebut, namun tidak mengendahkannya.

Kajian lanjut secara akademik, harus dilakukan terhadap perokok-perokok tegar di Malaysia. Hal ini perlu memandangkan corak pemikiran setiap negara, dan setiap bangsa adalah berbeza. Kita tidak boleh bergantung kepada hasil kajian sejagat. Oleh itu, adalah perlu bagi penggiat-penggiat akademik membuat kajian khusus terhadap psikologi dan ketagihan yang serius terhadap rokok di kalangan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu beragama Islam.

Selesai Peringkat Kumpulan

Peringkat kumpulan bagi kejohanan UEFA Champions League telah pun disempurnakan pada pertengahan minggu ini. Ada kumpulan yang kedudukan pasukannya menepati ramalan, ada juga kumpulan yang susunan kedudukan pasukannya agak mengejutkan. Namun segalanya telahpun dimuktamadkan. Pasukan yang berada di kedudukan pertama dan kedua bagi tiap-tiap kumpulan berjaya melanjutkan perjuangan ke pusingan kalah mati iaitu Last 16. Pasukan di tangga ketiga perlu berpuas hati untuk melanjutkan perjuangan ke pusingan Last 32 UEFA Europa League.

Group A menyaksikan juara liga Perancis dan pendahulu semasa liga, FC Girondins de Bordeaux menjuarai kumpulan yang menyaksikan FC Bayern Munchen berada di tangga kedua. Pasukan di tangga ketiga ialah Juventus yang ketika ini juga menduduki tangga ketiga Serie A Itali.

Bagi Group B pula, Manchester United tanpa sebarang masalah besar menjuarai kumpulan sambil diikuti di tangga kedua oleh CSKA Moscow. Juara Bundesliga Jerman, VfL Wolfsburg hanya berpuas hati di tangga ketiga sementara juara liga Turki, Besiktas tersingkir dari saingan di tangga terakhir.

Real Madrid dan AC Milan kedua-duanya menduduki dua tempat teratas Group C, sedang tempat ketiga diisi Olympique de Marseille. Juara liga Switzerland, FC Zurich berada di tangga terakhir.

Chelsea dan FC Porto pula masing-masing memastikan tempat ke saingan berikutnya dari Group D, meninggalkan pasukan di tangga ketiga, Atletico Madrid. Juara liga Cyprus, Apoel FC di tangga terakhir.

Group E menyaksikan Fiorentina menjuarai kumpulan sambil diikuti Olimpique Lyonnais. Liverpool yang mengalami masalah kemerosotan prestasi yang teruk, tersingkir ke UEFA Europa League sambil juara liga Hungary, Debrecen pulang tersingkir tanpa sebarang mata.

Group F pula menyaksikan juara UEFA Champions League 2008/2009, FC Barcelona bersama-sama juara Serie A Itali, Inter Milan menepati ramalan menguasai kumpulan. Juara liga Russia, FC Rubin Kazan di tangga ketiga sambil juara liga Ukraine, FC Dynamo Kyiv di tangga terakhir.

Sevilla dan Stuttgart berjaya menguasai Group G dengan masing-masing menamatkan saingan d tangga pertama dan kedua. Juara liga Romania, FC Unirea Urziceni yang memberi tentangan sengit sepanjang peringkat kumpulan, hanya berpuas hati di tangga ketiga meninggalkan juara liga Scotland, Rangers FC di tangga terakhir.

Group H dijuarai oleh Arsenal sambil juara liga Greece, Olympiakos di tangga kedua. Juara liga Belgium, Standard Liege di tangga ketiga manakala juara liga Belanda, AZ Alkmaar di tangga keempat.

Tidak banyak kejutan berlaku sebagai kesimpulan kepada berakhirnya peringkat kumpulan UEFA Champions League kali ini. Kecuali tersingkirnya pasukan Juventus dan Liverpool, sebagai pasukan yang ternama, kesemua pasukan pilihan yang lain melepasi peringkat ini dengan jayanya. Wolfsburg pula, sejak awal musim sehingga sekarang berhadapan dengan masalah kecederaan dan persembahan buruk, gagal mengatasi CSKA yang lebih cemerlang menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang United.

18hb Disember ini akan menyaksikan undian bagi pusingan Last 16 UEFA Champions League 2009/2010, manakala saingan bagi peringkat tersebut hanya akan bermula pada pertengahan Februari tahun hadapan.

Monday 7 December 2009

Akhirnya Ku Temukan

Pulang dari The Curve, AG menghantar saya ke Rapidkl untuk saya ambil transit ke Damai. Tiba di stesen Damai kira-kira jam 7 petang. Saya bergegas berjalan setengah berlari untuk pulang ke rumah. Setibanya di rumah, saya terus mandi dan berehat seketika.

Kira-kira jam 8 malam, saya dan along bertolak ke Wangsa Walk untuk mencari kasut futsal untuk digunakan pada malam itu juga. Di situ hanya terdapat sebuah premis barangan sukan. Mujurlah hanya terdapat satu model Nike yang mempunyai saiz besar. Tercatat di kotaknya, US13 UK12. Yang saya tahu orang-orang Malaysia menggunakan ukuran UK. Maka tepatlah perkiraan saya bahawa kaki saya bersaiz 12 dan kasut yang diacu itu sedang elok. Kasut itu adalah model lama Nike. tak ingat apa namanya. Yang pasti harganya tidak boleh kurang, RM 130.00.

Jam 9 malam kami terus pulang ke rumah dan terus membongkar untuk mencari seluar pendek dan jersi yang tersimpan lama. Kali terakhir kami bermain futsal ialah sebelum bulan puasa. Mujur semua peralatan dapat disediakan tepat pada masanya. Jam 9.45 malam kami diminta untuk tiba di rumah sepupu. Dan malam itu kami bermain futsal sepuas hatinya.

Reunion 5K St John's Instituition Part 1

Perjumpaan reunion tingkatan 5K kali ini diadakan pada 5hb Disember 2009, bertempat di The Curve Damansara. Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke lokasi ini. Disebabkan itu juga, saya tidak dapat hadir ke sana dengan memandu kereta bersendirian. Maka saya telah menggunakan perkhidmatan Rapidkl aliran Kelana Jaya. Kali pertama menggunakan perkhidmatan ini sejak ditukar nama dari Putra LRT.

Saya mengambil transit ke Kelana Jaya dan dijemput oleh AG di stesen terakhir aliran Kelana Jaya. Dari situ, kami menuju ke Damansara dengan kereta Honda CRV yang dipandu AG. Jalan sedikit sesak menuju ke Damansara. Saya tak tahu laluan yang digunakan, mahupun nama jalan. Yang pasti, kami tiba di Cineleisure agak awal berbanding rakan-rakan lain.

Dari Cineleisure, kami berjalan ke The Curve. Tiba di The Curve, kami singgah ke kedai Sony. AG ingin melihat game-game baru PS3. Kemudiannya kami singgah ke sebuah kedai buku. Saya tak ingat nama kedai buku ini. Tapi yang menariknya ialah kedai ini membenarkan para pelanggannya untuk membaca buku-bukunya di situ. Malah turut disediakan sofa dan cafe. Kami tidak lama di situ.

Kemudian kami terus ke Marche (sebutan: Mar-shay). Kedai makan yang menjanjikan kelainan dari segi konsep hidangan, suasana tempat makan, dan mengikut keselesaan pelanggan. Di pintu masuk premis ini, seorang pelayan akan memberikan sekeping kad pesanan makanan kepada pelanggan. Semuanya berasaskan layan diri. Saya memesan minuman Vanilla Coke, hanya kerana ianya boleh direfill dan yang paling murah.

Pesan minuman dan kemudian duduk berborak selama setengah jam sebelum Aizuddin tiba. Kemudian kami memesan makanan. Din dan AG memesan side-course, manakala saya terus memesan main-course iaitu Grilled Chicken Chop. Sedang makan, Fadhirul tiba sebelum Hon Kit bersama kekasihnya tiba. Tidak lama kemudian Ali Reza @ Alia Natasya tiba. Maka cukuplah 7 orang sahaja untuk kumpulan reunion kali ini.

Kami makan sambil berborak. Hon Kit memang seorang yang amat-amat diperlukan bagi situasi sebegini. Dia mampu untuk menarik setiap seorang daripada kami untuk menyertai borak. Dia juga mampu untuk membuat suasana bingit dengan gelak tawa kerana lawak-lawaknya yang spontan dan tiada tapisan. Mungkin Aby, kekasihnya itu sudah masak dengan telatah Hon Kit, hanya mampu tersenyum.

Fadhirul pula sibuk mengambil gambar kami menggunakan kamera Nikon D60-nya. Bukan sekadar gambar kami, malah gambar makanan turut diambilnya. Din dan AG pula sama seperti saya menumpang mencelah bercerita. Yang paling dinantikan ceritanya adalah Ali atau nama barunya, Tasya. Kami semua menantikan ceritanya yang 'hebat' kerana perubahan besar yang telah dilakukan ke atas kehidupannya. Tak perlu saya bercerita di sini dengan lebih lanjut.

Kemudian kami ke sebuah premis santai. Kami memilih untuk bermain pool. Kami bermain sehingga 3 racks. Pelbagai telatah dari kami setiap seorang memandangkan sebahagian besarnya pertama kali memegang que. Lebih banyak kalori dibakar hasil gelak tawa, berbanding bermain pool. Selesai bermain pool, kami beransur pulang.

Hasil perjumpaan kami bukanlah diisi dengan pelbagai aktiviti, tetapi yang paling bernilainya ialah cerita-cerita yang dikongsi bersama. Lebih banyak masa dihabiskan dengan berborak dan berkongsi-kongsi cerita. Mungkin pada masa-masa akan diadakan lagi perjumpaan sebegini. Dan untuk itu juga, diharapkan akan disertai lebih ramai rakan-rakan yang sudah 7 tahun terpisah. Salam Johannian buat semua.

Friday 4 December 2009

Futsal Buat Bigfoot

Pernahkah anda melihat Bigfoot bermain futsal? Kawan-kawan saya pernah lihat. Manusia bertapak kaki besar, yang terpaksa memakai kasut yang tidak sesuai untuk bermain futsal.

Sejujurnya, manusia yang saya maksudkan ialah diri saya sendiri. Menurut pengalaman saya bermain futsal, ianya bermula sejak tamat persekolahan. Saya menyertai rakan-rakan sekolah lama bermain futsal di Kelana Jaya. Setiap kali ingin menyepak bola, maka saya terpaksa travel jauh dari KL ke KJ menaiki Putra LRT. Sehinggalah saat saya tidak dapat berhubung dengan rakan-rakan kerana menuntut ilmu di Melaka. Itu cerita 6 tahun lepas.

6 tahun kemudiannya, saya kembali bergiat dalam arena futsal dan meninggalkan bola padang apabila badan sudah mula mengembang. Itu pun hanya selepas menyertai pasukan tempat kerja abang. Lokasinya pula seperti nomad. Berpindah randah. Bermula di IFC Futsal Setapak, hanya selepas dua kali bermain, pindah ke Sports Seven Wangsa Maju. Kekal di situ selama hampir 2 bulan. Kemudian akibat tidak tahan dengan harga, dan sistem deposit tempahan, serta aktiviti karaoke bersebelahannya, maka kami isytihar pindah.

Lokasi berikutnya, tempat yang tidak asing buat kaki futsal di KL, Sports Planet Ampang. Di situ, kami hanya bermain selama sebulan. Kemudian berhenti tatkala bulan puasa menjelma. Sekadar untuk menghormati bulan mulia. Akibatnya, tidak ada kesinambungan selepas itu, meskipun kini sudah masuk dua bulan selepas raya.

Hari ini, saya dan abang dijemput untuk menyertai pasukan sepupu kami bermain futsal pada malam esok (Sabtu). Lokasinya, Setiawangsa. Kami tak pernah bermain di situ. Suasananya juga kurang pasti. Oleh itu, esok kami akan hadir ke sana bermain futsal dengan semangat yang baru. Maka, baru sebentar tadi saya dan abang keluar ke Uptown Danau Kota untuk mencari kasut futsal. Banyak gerai yang menjual kasut. Pelbagai jenis kasut. Banyak pilihan, tapi hanya buat mereka yang mempunyai kaki bersaiz normal.

Itulah antara permasalahan yang saya hadapi sejak di bangku persekolahan. Ketika bersekolah dulu, saya bukanlah seorang remaja yang terlalu tinggi. Ketinggian saya normal seperti remaja Malaysia yang lain. Namun saya menghadapi masalah dalam mencari kasut sekolah. Rata-rata kedai menjual kasut sekolah bersaiz sehingga saiz 9. Nasib-nasib kalau berjaya jumpa saiz 10. Sedangkan kaki saya bersaiz 10 setengah ketika tingkatan 3. Maka, kasut yang paling sesuai dan muat ketika itu hanyalah kasut 'badminton master' yang bertapak hijau.

Masuk UPM, saya berjaya mewakili kolej untuk kejohanan inter-kolej bolasepak. Maka dengan tergesa-gesa saya pergi mencari kasut but bolasepak di kedai sukan di Pasar Seni (Central Market), KL. But bolasepak yang paling besar di kedai itu ialah Umbro bersaiz 10 setengah. Ketika itu kaki saya sudah membesar sehingga saiz 11. Kerana tiada pilihan, maka saya terpaksa juga membeli but tersebut dan terus digunakan ketika latihan waktu petang. Sedikit tidak selesa dan ketat, namun apakan daya.

Kembali ke masa semasa, sebentar tadi saya gagal mencari kasut futsal, atau sebetulnya apa jua jenis kasut (akibat terlalu kecewa), kerana kasut yang paling besar dijual ialah bersaiz 10. Dan saiz terkini saya adalah saiz 12. Baru-baru ini, saya bermain boling di Malacca International Bowling Center, Melaka. Semasa meminjam kasut, saya meminta saiz 11 dan mengacukannya. Tidak muat. Maka dengan serba salahnya saya terpaksa meminta kasut bersaiz 12. Wanita penjaga kaunter itu nampak terkejut dan dihilurkannya juga kasut bersaiz 12. Kasut itu nampak baru. Mungkin belum ada siapa yang memakainya.

Maka, dengan hal yang tersebut, saya mengisytiharkan bahawa kaki saya bersaiz 12 dan saya gagal mencari kasut untuk bermain futsal nanti. Macam mana ni? Rancangan pagi ini ialah untuk ke Wangsa Walk, gedung beli belah yang baru dibuka. Di situ terdapat hanya sebuah kedai barangan sukan. Saya sudah membuat tinjauan di situ beberapa hari lalu. Barang-barangnya murah. Tapi saiznya belum tentu ada. Tidak berkesempatan untuk bertanyakan saiz pada waktu itu. Oleh itu, saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi. Untuk ke Jalan TAR, mungkin tidak berkesempatan, kerana jam 1 tengah hari saya terpaksa ke The Curve Damansara untuk program reunion rakan-rakan kelas. Malamnya dah mula futsal. Tawakkal saja. Yang penting saya sudah berikhtiar yang terbaik.

Undian World Cup 2010

Baru sebentar tadi undian untuk peringkat kumpulan pusingan akhir World Cup 2010 South Africa. Undian telah berjaya dilangsungkan dengan lancar. Berikut adalah keputusan undian yang telah dilaksanakan:



Seperti yang saya jangkakan, kumpulan yang melibatkan pasukan France dan Portugal pastinya kumpulan maut. Kumpulan maut merupakan kumpulan yang dijangka menjadi penentu terhadap corak laluan para pasukan di peringkat 16 pasukan terakhir (last 16) nanti.

France, walaupun menghadapi krisis kecederaan dan tahap keyakinan pemain di peringkat kelayakan, kini diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama tuan rumah South Africa, Mexico dan Uruguay. France pastinya menjadi pasukan pilihan untuk melepasi peringkat kumpulan. Manakala peluang yang sama rata buat tiga pasukan tersebut untuk satu lagi tiket ke pusinagn seterusnya.

Bagi kumpulan yang melibatkan Portugal, iaitu kumpulan G, saingan dilihat lebih terarah kepada tiga pasukan iaitu Portugal, Brazil dan Cote d'Ivoire. Pilihan pastinya diletakkan kepada Brazil dan Portugal. Namun kekuatan sebenar Cote d'Ivoire di peringkat dunia masih belum teruji. Beraksi baik di dua siri African Cup of Nations, menambahkan keyakinan buat pasukan afrika ini untuk melangkah ke World Cup 2010. Satu lagi pasukan, Korea DPR mungkin hadir sekadar untuk menimba pengalaman.

Kumpulan B menghadirkan tentangan yang longgar buat Argentina. Nigeria, Korea Republic dan Greece mungkin akan bersaing sesama mereka untuk merebut satu lagi tiket menyertai Argentina ke pusingan berikutnya. Namun begitu, Argentina juga masih bergantung harap kepada prestasi semasa pemenang Ballon d'Or 2009, Lionel Messi. Tertekan di peringkat kelayakan, ramai yang memandang sinis terhadap kemampuan Argentina untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini. Namun saya yakin bahawa kualiti permainan sebenar mereka masih belum dijelmakan dan mungkin akan dijelmakan pada kejohanan itu nanti.

Pasukan berprofil tinggi, atau lebih mudah untuk digelar pasukan berpublisiti hebat, England diletakkan bersama-sama USA, Algeria, dan Slovenia. Algeria dan Slovenia masing-masing mara ke World Cup 2010 secara dramatik menewaskan lawan masing-masing. Algeria cemerlang dengan mengenepikan Egypt apabila menewaskan pasukan itu di perlawanan terakhir peringkat kumpulan kelayakan benua Afrika. Slovenia pula menewaskan Russia di peringkat play-off Eropah menerusi pengiraan gol tempat lawan. England dan USA sudah pasti menjadi pasukan pilihan untuk kumpulan C.

Germany mendapat laluan yang mudah untuk peringkat kumpulan D apabila bakal bertemu Australia, Serbia, dan Ghana. Germany sebagai pasukan pilihan untuk kumpulan ini, dilihat tidak akan berhadapan dengan masalah yang besar kali ini. Tiga pasukan tersebut bakal bersaing sesama mereka untuk slot kedua di peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan berikutnya.

Kumpulan E pastinya menghadirkan tentangan yang sengit sesama empat pasukan yang terbabit. Netherlands, Denmark, Japan, dan Cameroon, dilihat sama handal. Netherlands mungkin bakal hadir ke South Africa sebagai pasukan yang menduduki ranking ketiga dunia. Namun sejauh mana kemampuan mereka bersaing di peringkat dunia, masih menjadi persoalan. Japan bakal membariskan pemain yang baru dinobatkan sebagai 2009 AFC Player of the Year, Yasuhito Endo. Namun begitu, kekurangan pemain Japan yang beraksi di liga Eropah mengurangkan sedikit suntikan keyakinan kepada mereka. Denmark dan Cameroon pula hadir ke edisi World Cup kali ini dengan barisan pemain muda.

Juara World Cup 2006, Italy pasti merasa lega apabila diundi bersama-sama Paraguay, New Zealand, dan Slovakia. Ketiga-tiga pasukan tersebut dilihat tidak setanding Italy, namun kekuatan mereka dapat dilihat di peringkat kelayakan. Paraguay layak ke South Africa selepas menduduki tangga ketiga kelayakan South America di belakang Brazil dan Chile. Slovakia pula menjuarai kumpulan 3 kelayakan Eropah mengatasi Slovenia dan Czech Republic. New Zealand pula menjuarai kelayakan Oceania, yang kemudiannya menewaskan Bahrain di pusingan play-off Asia-Oceania.

Kumpulan terakhir, kumpulan H bakal dikemudi Spain, yang bakal dibarisi kebanyakan pemain dari kelab Barcelona dan Real Madrid. Switzerland, Honduras, dan Chile bakal berentap sesama mereka. Chile dilihat lebih gah antara mereka, untuk memberikan tentangan kepada Spain.

Begitulah sedikit sebanyak post-final draw yang telah diulas. Segalanya mungkin dalam bolasepak. Nantikan saat sepak mula yang bakal berlangsung di World Cup 2010 South Africa.

Sunday 29 November 2009

Melaka Maju Makmur

Kunjungan saya ke kampung di Jasin ketika perayaan Hari Raya Aidil Adha kelmarin membuka mata saya terhadap negeri bertuah, mungkin juga negeri paling bertuah, di gugusan Melayu Nusantara ini. Kemakmuran yang dikecapi Melaka kala ini dicemburui negeri-negeri lain. Kemajuan yang rakyat negeri Melaka nikmati kala ini memecut laju, meninggalkan kemunduran yang kini masih membelenggu beberapa buah negeri lain.

Pertamanya, laluan dari tol ayer keruh ke simpang besar MITC. Setiap kali pulang ke kampung, kami akan melalui jalan besar ini. Jalan ini sudah dipasang perangkap kelajuan dan pelbagai papan tanda keselamatan. Kemeriahan di laluan ini diserikan oleh Butterfly and Reptile Sanctuary, Mini Malaysia/Asean, Ayer Keroh Lake, Zoo Melaka, dan Dataran Sejarah. Itu di sebelah kiri jalan dari tol.

Di sebelah kanan jalan pula terdapat Taman Buaya (tempat kegemaran ketika kecil dulu), Hutan Rekreasi dan Malacca International Motorsport Circuit di susur ke Durian Tunggal. Di simpang empat MITC pula berdiri megah pasaraya Mydin. Juga di situ terdapat kawasan perniagaan, premis-premis butik, termasuk bangunan Noor Arfa Melaka Batik House. Di belakangnya, yang saya sempat nampak ialah Malacca International Bowling Center, Planetarium Melaka, dan Bangunan TM.

Itu tadi hanya sebahagian tempat-tempat menarik yang boleh kita kunjung di sepanjang laluan dari tol Ayer Keroh hingga ke persimpangan Seri Negeri, dan kawasan komersial MITC. Banyak lagi premis dan tempat menarik yang ada di situ yang mungkin saya terlepas pandang. Malah, banyak lagi kawasan-kawasan membangun lain yang mungkin ada keistimewaannya tersendiri. Antara lainnya ialah di Dataran Pahlawan, yang kini sangat-sangat meriah dengan para pengunjung.

Di daerah Jasin pula, semakin bertambah kawasan-kawasan perumahan yang baru dibuka, mahupun yang sudah mula pecah tanah. Tumpuan kawasan ini sebagai kawasan perumahan dan kediaman, turut memberi kesan terhadap percambahan dan pembukaan bangunan-bangunan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan bagi keperluan penduduk. Sekian untuk ketika ini.

Bagi sesiapa yang berminat untuk melawat Melaka, sila rujuk link di bawah:
http://www.melaka.gov.my/v1/view_article.php?pageid=1394

Thursday 26 November 2009

Monday 23 November 2009

Anugerah Yang Tak Disangka

Sesuatu yang tak disangka seringkali mendatangi kita,
Itukah suratan dalam kehidupan, atau sekadar satu kebetulan...


Lagu Suratan Atau Kebetulan yang dipopularkan Kenny, Remy dan Martin ini masih terngiang di telinga saya walaupun jarang sekali didendangkan di corong-corong radio kala ini. Mungkin disebabkan oleh kekuatan susunan muziknya, juga kekuatan vokal mereka. Lagu ini boleh dikatakan antara lagu yang bukan sahaja evergreen dan tahan lama, namun ianya juga masih relevan di tengah-tengah longgokan muzik masa kini. Lagu ini masih kedengaran seperti lagu zaman ini, biarpun tanpa remake, atau rakaman dan susunan baru. Malah liriknya juga memainkan isu yang kekal relevan pada bila-bila masa, di mana jua.

Arah post ini sepatutnya bukan ke arah muzik, tapi itu hanya sekadar mukaddimahnya sahaja. Saya lebih gemar untuk mendedahkan suatu "pertemuan yang tak disangka" dalam kadar sederhana. Tujuannya ialah untuk menjaga hati pihak-pihak yang berkenaan.

Saya bertemu dengannya di sebuah pertemuan di antara banyak pertemuan. Pilihan yang tidak diberi pengharapan yang setanding sebelumnya itu sebenarnya membawa perkhabaran yang sangat-sangat mengujakan. Kalau boleh diibaratkan seperti anugerah yang tiada punca, turun kepada mereka yang pada ketika hilang punca. Ya, saya pada ketika itu dalam keadaan yang hilang punca, mencari kebahagiaan di setiap corong dan lohong, di setiap sudut arah dan sudut. Mujur tidak diheret oleh nafsu dan keinginan ke arah yang songsang mahupun jatuh ke gaung kemaksiatan kerana sempat dipertemukan oleh pilihan Tuhan.

Anugerah ini menghampiri kesempurnaan di mataku biarpun baru beberapa hari dipertemukan. Ketelusan dan kejujuran menjadikan setiap penyampaian maklum dan maksud menjadi mudah dan lancar. Sehingga ke hari ini, masih baru beberapa hari dihitung, namun hakikatnya begitu banyak dan pelbagai informasi atau maklumat sudah disalingtukar. Perkongsian maklumat dalam nada telus dan jujur menjadi perkara utama dalam mengekalkan persahabatan yang masih di garis mula. Kata orang, tidak perlu untuk tergopoh gapah. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah persahabatan itu perlu dijunjung. Pada waktu hidup yang tersisa itulah kita perlu isikan dengan perkongsian pengetahuan, mahupun perkongsian perasaan.

Pengharapan bagi setiap manusia itu pastinya ke arah pencerahan, atau positive output. Maka, begitu juga dengan saya dan sahabat-sahabat lain terhadap persahabatan kami. Kecenderungan yang wujud perlu membawa kepada nilai-nilai kemanusiaan yang murni. Dan itulah juga yang cuba saya salurkan dan semaikan kepada benih-benih dan tunas-tunas persahabatan yang baru tumbuh, insyaALLAH.

1 Malaysia, Kenapa Isu Ini Masih Berbangkit?



Sebenarnya, saya malas untuk membangkitkan isu ini kerana merasakan ianya kini merupakan isu terpencil. Tetapi apabila mengenang kembali halnya, yang berhubung dengan sensitiviti bangsa dan kesaksamaan sejagat, maka saya merasakan perlunya perkara ini dibangkitkan.

Merujuk kepada imej di atas (sila klik pada imej untuk pembesaran imej), anda akan menjumpai suatu ayat yang berbunyi:
"Required written & spoken language: Mandarin, Bahasa Malaysia & English."

Sememangnya suatu kemestian di dalam apa jua tawaran pekerjaan untuk menyertakan language requirement atau keperluan bahasa. Kebiasaan dan lazimnya, syarikat akan meletakkan keperluan bahasa hanya ada dua (2), iaitu Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) dan Bahasa Inggeris. Kita sedia maklum bahawa untuk mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana bangsa di Malaysia, maka tidak sepatutnya wujud sebarang bentuk keperluan bahasa lain selain dua (2) bahasa yang dinyatakan di atas, melihat juga kepada vacancy atau kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Kembali kepada imej yang saya paparkan, kekosongan jawatan yang ditawarkan di situ ialah "Full & Part-Time Teacher" untuk sebuah pusat tusyen. Apabila wujudnya keperluan bahasa Mandarin untuk jawatan guru tusyen yang mengambil para pelajar dari pelbagai bangsa, maka saya lihat ini merupakan suatu bentuk diskriminasi. Fenomena ini sudah lama berlaku di beberapa padang pekerjaan. Antara yang menjadi mangsa sehingga kini ialah bidang ICT, kebanyakannya yang berkhususan grafik dan multimedia production. Motif operandinya serupa dengan pendedahan saya di atas, iaitu menggunakan 'requirement tambahan' terhadap keperluan bahasa-bahasa tertentu.

Saya pernah mengutarakan isu di atas terhadap beberapa rakan berbangsa cina. Mereka maklum akan perkara tersebut, namun tetap mempertahankan langkah berkenaan. Kata mereka, wujudnya keistimewaan yang diberikan kerajaan Malaysia terhadap Bumiputera menyebabkan mereka 'terpaksa' membuat batasan terhadap Bumiputera. Perlu diingatkan berkali-kali, perlindungan kerajaan terhadap hak dan keistimewaan Bumiputera merupakan juga perlindungan kepada Perlembagaan Malaysia secara umumnya. Dan mempertikaikan hak dan keistimewaan Bumiputera sama seperti mempertikaikan Perlembagaan Malaysia.

Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perlembagaan negara, kerana ianya seharusnya dimaklumi oleh setiap warganegara Malaysia. Malah, ianya bukan sahaja perlu dimaklumi, tetapi juga dihormati dan diamalkan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa. Sekian, salam perpaduan 1 Malaysia.

Saturday 19 September 2009

Selamat Hari Raya



Salam Aidilfitri buat semua pembaca atau pelawat blog ini. Semoga hari lebaran 1430 Hijriah ini membawa pengertian yang lebih baik berbanding tahun lalu, dan semoga perjalanan hidup dan segala penyampaian kita akan lebih diberkati-Nya. Insya-ALLAH.

Thursday 10 September 2009

Kritikan Dari Peminat

"To me rock melayu early 90's was the worst. Dia punye resepi:

2 oz of Bass kuat melampau in the mix,
4 oz of Drums tempo selow gila sampai from one snare hit ambik masa 2987 tahun to the next hit,
1.5 oz of clean alternate picking guitar section during verse,
3 oz of solo yang cheesy gile (made me hate solos for a while),
4 lbs of suara vokalist yang maha sengau yang selaluya pasai cintan leleh2...

salt to taste, cooked to perfection in a claypot under slow heat.

Sorrylah if i have stepped on anyones toes. Jgn marah la ye?"


Kenyataan ini saya ambil dari sebuah forum di website indie band yang agak popular juga. Menarik untuk dibaca, malah menarik juga untuk dikaji semula. Sememangnya begitulah yang kebanyakan peminat muzik di Malaysia fikirkan setiap kali diperdengarkan lagu-lagu yang mendayu-dayu, tangkap leleh, dan tangkap jiwang dari band-band era 80-an dan awal 90-an. Perkara ini turut diakui oleh penggiat-penggiat muzik era perubahan di Malaysia atau lebih dikenali sebagai indie band.

Ketika banyak usaha-usaha untuk mengangkat martabat dan keunggulan baru dari band-band indie ini, tetap masih wujud beberapa band yang berkonsepkan muzik 80-an dan 90-an. Antara mereka ialah Jinbara. Malah mereka kini boleh berdiri sama tinggi dengan band-band indie atas sokongan yang masih diterima dari peminat muzik Malaysia. Hakikat ini yang amat ditakuti oleh penganalisa muzik tanah air.

Malaysia pada saat ini sedang cuba untuk memacu pembaharuan dan perkembangan muziknya untuk kembali bersaing dengan muzik Indonesia yang jauh lebih awal berkembang. Malaysia pernah pada satu ketika ketinggalan hampir 10 tahun terkebelakang dari muzik Indonesia. Ketika band-band mereka lahir dengan produk-produk berkualiti sehingga berjaya memasuki arena antarabangsa, Malaysia ketika itu masih memainkan muzik-muzik era 80-an yang mendayu-dayu.

Namun pada ketika ini, hasil usaha dan kebangkitan yang cuba dibawakan oleh band-band indie ini, Malaysia dilihat cuba untuk menghampiri pencapaian pemuzik Indonesia. Malah turut dilaporkan beberapa band dari Malaysia sudah berjaya memasuki pasaran Indonesia. Sejauh mana kejayaan penjualannya, saya tidak pasti. Hakikat ini turut membuktikan bahawa pasaran di Indonesia sebenarnya tidak pernah menutup ruangnya kepada artis di Malaysia. Mereka hanya menerima produk yang dianggap berkualiti dan boleh bersaing di dalam industri muzik mereka yang sememangnya besar dan luas berbanding di Malaysia.

Akan tetapi, dalam usaha kita berlumba-lumba untuk mencapai pembaharuan, perlu juga diingatkan bahawa penggiat muzik tanah air perlu untuk mencari identiti sendiri. Identiti muzik Malaysia. Sepertimana lagu-lagu dari band-band Indonesia yang sekali didengari pasti kita maklum bahawa muzik ini adalah muzik Indonesia atau Indo-pop. Maka kita turut perlu untuk mencari istilah muzik Malaysia, atau Malay-pop. Sarjana dalam bidang muzik perlu turun ke padang dan membantu penggiat-penggiat muzik tanah air untuk membina kekuatan yang diperlukan.

"aku cuba nak bagitau yang bagaimana muzik rock/pop jenis macam yang dimainkan oleh SO7, Dewa, Padi diterima semua golongan masyarakat di Indonesia (kira masuk aliran mainstream diorang le). Bagaimana label muzik mereka boleh marketkan muzik diorang, bagaimana diorang boleh dapat fanbase yang kuat sampai diorang boleh ada fanbase yang kuat sampai ke bumi malaysia ni. kekuatan mereka terletak pada kualiti muzik diorang, production quality, musical sense diorang, kebebasan berkarya, dan paling penting originaliti muzik diorang. industri muzik indon lebih terbuka dalam menerima muzik baru berbanding industri muzik kita."

Fikir-fikirkanlah..

Sunday 6 September 2009

Ungu Is My Colour

Maaf saya terpaksa mengeluarkan seleksi video-video klip kegemaran saya, iaitu playlist lagu-lagu kerohanian dari kumpulan Ungu. Halnya ialah kerana ianya membuatkan page menjadi berat untuk dibuka dan melambatkan pelawat untuk membaca post-post saya.

p/s: apapun, ungu tetap di hatiku, melodinya sering bermain di mindaku.

Saturday 5 September 2009

Bola Sepak Di Malaysia: Gaya Hidup Atau Pembaziran?

Ranking dunia Fifa yang dikeluarkan untuk bulan Ogos 2009 menunjukkan kedudukan Malaysia ke-152 dunia daripada 203 buah negara yang tersenarai. Di atas Malaysia tersenarai 151 buah negara, manakala di bawah Malaysia tersenarai 51 buah negara. Daripada 51 buah negara di bawah Malaysia, tiada satupun di antaranya yang menganggap sukan bola sepak sebagai sukan popular atau sebahagian gaya hidup mereka. Hanya Malaysia, yang menganggap bola sepak sebagai sukan nombor satu, yang berada di kedudukan ke 152 dunia.

Berikut adalah senarai ranking dunia bagi bulan Ogos 2009.



Untuk melihat negara-negara di dalam lingkungan pasukan kebangsaan Malaysia, sila tekan pada butang full ranking table.

Anda sendiri yang menilainya.

Thursday 3 September 2009

Antara 'Promosi' Atau 'Penghinaan'


"Saya suka negara ini tetapi memanjat adalah cinta, hidup dan ketagihan utama saya," kata Alain Robert Philippe, pakar pemanjat bangunan.

Begitulah menurut Spiderman Perancis berusia 47 tahun yang berjaya menyempurnakan hajatnya yang dipendam sekian lama. Alain yang berjaya tiba di puncak Menara Berkembar Petronas, KLCC, pada pagi semalam, membuat aksi memanjat dalam masa 2 jam tanpa sebarang peralatan keselamatan dan tanpa permit polis.

Alain juga pernah membuat dua percubaan memanjat KLCC sebelum digagalkan oleh pihak keselamatan pada tahun 1997 dan 2007. Namun kali ini, menurut laporan, kawalan keselamatan yang longgar secara tidak langsung memudahkan lagi kerja gila Alain.

Signifikan

Tindakan warga Perancis ini langsung menimbulkan beberapa terjemahan aksi. Apakah yang cuba dibuktikan olehnya? Apakah ianya sekadar untuk kepuasan diri, sama seperti penerjun bebas dan aktiviti ekstrim lain? Kalau ya, mengapa perlu dibuat pada tarikh 1 September, sehari selepas tarikh kemerdekaan negara?

Ada yang cuba mengolahkan aksi Alain sebagai penghinaan terhadap simbol kemegahan negara dengan istilah 'menakluk KLCC'. Menakluk KLCC cuba digambarkan seolah-olah menakluk Malaysia. Malah untuk menimbulkan gambaran yang lebih negatif, tarikh yang dipilih Alain cuba disalah anggap oleh pelbagai pihak.

Namun, ada juga pihak yang mencantas pemikiran negatif tersebut. Bagi mereka, tindakan Spiderman Perancis yang sememangnya dikenali dunia itu boleh dianggap sebagai mempromosi negara di mata dunia. Dengan liputan meluas ke serata dunia, tindakannya ini secara tidak langsung mengkhabarkan kepada dunia mengenai Malaysia yang sedang meraikan hari merdeka.

Alain pernah memanjat beberapa binaan terulung dunia seperti Eiffel Tower di Paris dan Golden Gate Bridge di San Francisco. Pada 2 September lalu, Alain didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah menceroboh serta memanjat Menara Berkembar Petronas tanpa kebenaran. Alain membayar denda tersebut sebelum dibebaskan.

Dalam permohonan mahkamahnya, peguam Alain, Wong Kian Kheong menyatakan bahawa anak guamnya itu adalah seorang OKU dan perlu pulang ke negaranya untuk mendapatkan rawatan. Alain juga dikatakan sudah membeli tiket penerbangan pulang pada 7 September ini.

Begitulah antara peristiwa menarik yang mungkin juga bersempenakan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Anda yang menilainya.

Monday 31 August 2009

1Malaysia

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Sudah 52 tahun kita merdeka. Kini kita menghampiri suatu tahap yang betul-betul menduga setiap rakyat Malaysia. Setiap dari kita terlibat secara langsung, mahupun tidak langsung terhadap apa sahaja yang berlaku kepada negara ini. Ketidakseimbangan yang berlaku di dalam negara ini perlulah dipulihkan dengan segera.

Tema 1Malaysia yang dibawakan Dato' Seri Najib Tun Razak merupakan ujian bagi bangsa Melayu khususnya. Pada ketika umat Islam berbangsa Melayu kini menghadapi pelbagai cabaran, kita diminta untuk membina perpaduan. Perpaduan yang dituntut sebenarnya adalah perpaduan sesama Melayu Islam, untuk mengembalikan hak dan kedudukan yang cuba dicemari pihak-pihak berkepentingan.

Dilema Melayu Islam hasil tema 1Malaysia, antara tertindas atau toleran. Kita menyedari hakikat betapa kebelakangan ini beberapa insiden 'penindasan' terhadap bangsa dan agama kita semakin berleluasa. Pastinya semua insiden ini berfokus di negeri-negeri tadbiran pakatan. Saya bukanlah ingin membangkitkan soal politik di sini, tetapi lebih tepat lagi iaitu soal bangsa dan agama.

Kedudukan dan hak yang selama ini teguh dipertahankan oleh barisan kepimpinan bangsa Melayu kini cuba digugat oleh pemimpin-pemimpin yang sengaja mencetuskan sentimen-sentimen perkauman. Mereka mahu membentangkan segala bentuk kesamarataan dan liberalisasi yang dipelajari dari negara barat dari segala sudut. Sedangkan kita sebenarnya mewarisi negara ini atas batasan-batasan yang perlu dipelihara agar tiada sebarang 'pertikaian' dibuat.

1Malaysia sebenarnya mengajar bangsa lain untuk menerima ketetapan yang telah dibuat selama ini. 1Malaysia tidak mengajar bangsa Melayu untuk menjadi toleran kepada bangsa lain kerana kita sememangnya telahpun begitu toleran sejak dari merdeka sehingga sekarang. Sikap toleran, atau tolak ansur yang kita warisi dari keturunan kita ini menjadikan kita sebuah bangsa yang dihormati dunia.

Maaf, tiada kesempatan untuk saya meneruskan penulisan untuk topik ini. Hari ini saya agak sibuk. Saya juga tidak mahu menulis dengan pena emosi, kerana raja lidahku adalah ilmuku.

Selamat Hari Merdeka, Malaysia.

Pada tarikh hari ini, 31 Ogos, merupakan tarikh keramat buat rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu. Pada 31 Ogos 1957, segala ikatan yang membelenggu Tanah Melayu ini telah dileraikan. Hasil perjuangan para pejuang Melayu telahpun mewariskan kita keselesaan yang berpanjangan.

Tanggal 31 Ogos 2009, genap 52 tahun kemerdekaan buat tanah yang bertuah ini. Bertemakan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, sambutan bagi tahun ini dibuat secara sederhana sempena menghormati bulan Ramadhan. Sambutan pada pagi 31 Ogos dilangsungkan di bangunan Parlimen.

52 tahun sebagai sebuah negara yang berdikari, adalah suatu yang menakjubkan melihat pembangunan yang kita nikmati sekarang. Kebanyakan pelancong asing yang hadir melawat negara ini pastinya sukar untuk mempercayai tertegaknya bangunan pencakar langit seperti KLCC dan KL Tower merupakan idea seorang negarawan terulung Malaysia.

Tun Mahathir merupakan seorang Melayu yang diciptakan ALLAH dengan pengamatan yang jauh. Ramai yang merasa ragu apabila idea Tun untuk Malaysia mengeluarkan kereta tempatan. Bermula dengan Proton Saga (saya masih memiliki Saga keluaran terawal), kini dengan model terbaru Proton Exora. Mampukah kita membayangkan andainya tiada idea untuk Malaysia mengeluarkan kenderaan tempatan, apa yang kita ada?

Pembangunan fizikal yang kita nikmati pada ketika ini merupakan anugerah dari ALLAH. Banyak negara asing yang mencemburui Malaysia kerana kita dianugerahkan kepesatan pembangunan dan kemakmuran hidup. Terlalu banyak untuk disenaraikan setiap sumbangan dari setiap negarawan Malaysia kepada kita. Namun, apa yang penting bagi kita ialah mensyukuri nikmat yang diberi ALLAH, sambil menjaga dan mengekalkan kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati ini.

Salam kemerdekaan buat semua rakyat Malaysia..

Thursday 27 August 2009

Mengenali Syeikh Ahmed Deedat

Nama ini begitu asing bagi saya selama hidup di dunia ALLAH ini selama 24 tahun. Saya tidak pernah mendengarkan nama ini, mahupun mendalami perjalanan hidup tuan empunya nama. Namun, semalam saya 'berkenalan' dengan ALLAHyarham secara tidak disengajakan. Pada ketika sibuk mencari suatu bentuk debat ilmiah untuk dibuat rujukan di youtube, maka saya ketemu tajuk perdebatan yang agak menarik, iaitu Debat Islam Kristen.

Video tersebut diupload oleh seorang warga Indonesia. Namun setelah beberapa ketika saya menonton video tersebut, terlintas dalam ingatan saya bahawa saya pernah melihat video yang sama sepintas lalu ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa (tak ingat tahun) di PWTC, Kuala Lumpur. Ia ditayangkan pada sebuah layar besar oleh pengedarnya iaitu sebuah penerbitan Islam (tak ingat nama penerbitan). Namun saya tidak berkesempatan untuk menikmati isi perdebatan dalam langkah pantas mengejar waktu.

Maka, kesempatan untuk menonton siri debat semalam saya gunakan sehabis baik. Debat yang pertama berlangsung di antara Syeikh Ahmed Deedat dengan seorang sarjana kristian bertempat di Amerika. Ahmed Deedat merupakan seorang sarjana Islam yang turut mengkaji kitab-kitab agama lain di dunia. ALLAHyarham seorang yang arif tentang segala versi Bible, kitab-kitab yahudi, kitab hindu, dan beberapa lagi kitab agama lain.

Satu kenyataan ALLAHyarham yang tidak mampu dibalas oleh penganut, malah sarjana kristian sendiri, ialah tiada satu ayat pun di dalam Bible, dari segala versi, yang menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa a.s) mengaku dirinya Tuhan, mahupun meminta agar dirinya disembah. Satu sahaja kenyataan, ternyata mampu menggugah kepercayaan penganut-penganut kristian yang menonton debat pada ketika itu.

Syeikh Ahmad Hussein Deedat dilahirkan pada 1 Julai 1918 di Gujerat, India. ALLAHyarham meninggal dunia pada 8 Ogos 2005 di rumah kediamannya di KwaZulu-Natal, Afrika Selatan. Syeikh Ahmed membesar selama 9 tahun di India, sebelum menyertai bapanya ke Afrika Selatan. Kebijaksanaannya membuatkan pembelajaran di sekolah menjadi mudah, sehinggalah tamat darjah 6.

Selepas itu Ahmed gagal untuk menyambung persekolahan gara-gara kesempitan wang. Ahmed kemudiannya berkerja sebagai jurujual perabot. Segalanya bermula pada waktu itu apabila Ahmed kerap didatangi oleh pendakwah kristian yang ingin menarik seramai mungkin penganut Islam kepada kristian. Namun, di atas iman yang kuat, Ahmed berjaya mengelak dirinya menjadi mangsa hasutan syaitan.

Seperti yang kita sedia maklum, Afrika Selatan merupakan sebuah negara Afrika yang majoritinya menganut agama kristian. Maka, cabaran bagi umat Islam di negara itu adalah sangat-sangat besar. Namun, bagi Ahmed, segala perkara yang negatif boleh diambil iktibar daripadanya. Keluasan pengaruh kristian di negaranya membuatkan Ahmed mudah untuk memperoleh input mengenai agama tersebut dan mengkajinya.

Ahmed mengkaji kristian untuk membuat perbandingan agama dengan Islam. Bukanlah disebabkan Ahmed tidak yakin dengan Islam, tetapi Ahmed mahu membuktikan kebenaran Islam dan kesesatan kristian. Pada waktu rehat berkerja, Ahmed menghabiskan waktunya membaca di ruang rehat pekerja. Di situlah Ahmed menjumpai sebuah buku bertajuk "Izhar ul-Huqq" (Truth Revealed), dikarang oleh Rahmatullah Kairanhvi. Hasil bacaannya terhadap buku inilah Ahmed mula membeli Bible pertamanya dan memulakan debat pertamanya dengan pendakwah pelatih kristian.

Kajiannya berkenaan Bible bertambah serius apabila Ahmed memulakan kelas pengajian Islamnya dengan seorang mualaf Islam bernama Mr Fairfax. Melihat kepada sambutan kelas berkenaan, Mr Fairfax menawarkan untuk membuat kelas tambahan mengkaji Bible dan cara-cara untuk menerangkan kepada orang kristian berkenaan Islam. Namun hanya beberapa bulan pengajiannya, Mr Fairfax menarik diri. Ahmed yang sudah mendalami Bible pada waktu itu mengambil alih pengajaran.

Tersebut di atas hanyalah sebahagian dari kisah hidup seorang Pendakwah dan Penceramah Islam terkemuka di dunia. ALLAHyarham Syeikh Ahmed Hussein Deedat yang lahir dan dibesarkan di sebuah negara sekular, berjaya menjadi sarjana Islam yang arif tentang agama kristian. Malah Syeikh Ahmed turut berani masuk ke Amerika Syarikat untuk berdebat dengan para sarjana kristian di sana.

Malah turut dilaporkan bahawa Syeikh Ahmed pernah mencabar ketua katolik, Pope John Paul untuk berdebat pada tahun 1984. Syeikh Ahmed mencabar debat umum kristian Islam. Hal ini disebabkan oleh tindakan Pope yang mempertikaikan hujah-hujahnya pada setiap siri debatnya dengan sarjana kristian. Namun apabila dicabar berdebat dengan Syeikh Ahmed, Pope tidak berani menyahutnya.

Turut dilaporkan bahawa Syeikh Ahmed amat-amat mengenali Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, bekas perdana menteri Malaysia yang pertama. Mereka pernah bertemu dan saling berhubung. Sesuatu yang amat-amat saya banggakan.

Wednesday 26 August 2009

Budaya Politik Kampus

Perkara ini berat untuk saya perkatakan. Namun melihat kepada suasana politik negara lewat kebelakangan ini, membuatkan saya semakin kerap memikirkannya. Saya hanya akan mengulas persoalan budaya politik kampus ini dari sudut yang pernah saya akses sebagai bekas exco Majlis Perwakilan Pelajar di sebuah IPTA.

Pada ketika orang ramai heboh tentang pemilihan calon untuk pilihanraya kampus pada tahun 2005, saya masih tercari-cari saluran yang harus saya capai untuk berpaut. Saya mempunyai cita-cita untuk menjadi pemimpin. Namun saya bukanlah seorang yang terlatih dari sudut kepemimpinan mahupun dari sudut public speaking.

Waktu itu sudah jelas bagi setiap calon yang ingin bertanding atas platform yang terselindung. Pihak yang berselindung di sebalik calon-calon yang bertanding ini siap menyediakan kem-kem jati diri, kem kepemimpinan, dan segala macam kem untuk memantapkan bakal-bakal calon mereka. Maka, yang tampil bertanding semuanya mantap dari segi komunikasi awam, kepemimpinan, serta penampilan.

Jawatan terakhir saya sebelum menjadi calon pilihanraya kampus hanyalah sebagai timbalan presiden kelab pantun dan puisi universiti. Kelab itu tidak besar, malah ramai mahasiswa yang tidak sedar akan kewujudannya. Namun kami dalam komuniti kecil kelab ini tetap gigih berjuang menghidupkan kelab dengan penganjuran aktiviti-aktiviti peringkat universiti hasil sokongan bahagian kebudayaan dan kesenian universiti.

Maka, apa yang saya ada untuk bertanding melawan pasukan-pasukan yang hebat-hebat ini? Saya hanya berserah kepada ALLAH untuk menentukan hala tuju impian saya ini. Berstatus 'Bebas' bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengelak dari memilih 'side'. Sepanjang campaign period yang pendek, ramai rakan-rakan, mahupun yang tidak dikenali, lebih sibuk bertanya 'side' mana yang menaja saya. Malah ada rakan-rakan yang perlahan-lahan menjauhkan diri dari saya kerana pelbagai sangkaan.

Saya bertanding untuk tiket fakulti. Hanya 2 tempat untuk diisi, namun terdapat 3 orang calon yang ingin mencuba nasib, termasuk saya. Pada waktu pendaftaran calon, saya membuat bantahan terhadap seorang calon yang silap mengisi borang, yang menyebabkannya tersingkir dari pertandingan. Maka calon yang tinggal kekal menang tanpa bertanding. Kesyukuran yang berpanjangan saya sepanjang memegang jawatan wakil pelajar itu.

Walaupun saya tidak menyebelahi mana-mana 'side' mahupun ditaja oleh mana-mana 'side', namun saya kerap memerhatikan gelagat dan strategi yang pelbagai dari pihak-pihak yang cuba mempengaruhi penyampaian para wakil pelajar ini. Saya tidak mahu menyebut, mahupun menggambarkan rupa pihak yang cuba menjadikan wakil pelajar sebagai akses untuk mempromosi politik mereka kepada mahasiswa.

Mahasiswa merupakan satu kumpulan rakyat Malaysia yang majoritinya berusia 19 tahun hingga 24 tahun. Golongan bakal intelektual negara ini dilihat antara harta paling berharga yang perlu dimiliki oleh setiap parti politik di Malaysia. Bagi mereka, sejak di IPT lagi mahasiswa perlu diterapkan oleh ideologi, aspirasi, serta perjuangan parti-parti politik ini. Pada hal, bagi saya sendiri, sebagai bekas wakil pelajar, adalah perlu untuk para wakil pelajar lebih mengutamakan aspirasi dan perjuangan ke atas kebajikan dan keperluan para mahasiswa.

Wakil pelajar adalah mewakili para mahasiswa di setiap IPT. Wakil pelajar bukanlah wakil bagi parti politik di dunia sebenar dan perjuangan mereka perlulah bebas dari pengaruh mana-mana parti politik bagi membolehkan kebajikan mahasiswa diperjuangkan setelusnya.

Saya tidak pasti budaya dan pembawaan politik kampus di IPT Malaysia pada waktu sekarang. Namun apa yang saya harapkan ialah ketelusan saudara-saudara wakil pelajar dalam memegang amanah yang diberikan.

Tuesday 25 August 2009

Pak Samad Di Pentas Kempen Politik?

Apa yang dilakukan oleh A Samad Said ini? Apa yang difikirkan olehnya? Apa yang cuba dicapai? Inilah antara yang terkeluar dari benak fikiran saya apabila membaca laporan mengenai penglibatan Pak Samad membantu kempen pilihanraya parti Pas.

Ketika pejuang-pejuang bahasa yang lain sudah berpuas hati dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri menarik balik perlaksanaan PPSMI, Pak Samad masih lagi menyimpan dendam. Saya kurang bersetuju dengan tindakannya pada kali ini. Mungkin beliau sudah termakan hasutan dari 'batu api' yang bermotifkan politik.

Meskipun anda seorang yang menentang keras perlaksanaan sistem ini, namun anda juga harus ingat bahawa sistem ini diperkenalkan ketika pemerintahan Pak Lah. Malah saya juga tidak fikir sistem ini diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran ketika iaitu DS Hishamuddin. Saya fikir ianya adalah idea dan desakan dari Pak Lah sendiri.

Namun segalanya beban ini diletakkan di atas bahu Menteri Pelajaran yang juga TPM. Malah beliau juga sudah begitu toleran dalam usaha menghentikan suara-suara yang menyalak bising ini. Sistem pendidikan negara tidak boleh diubah serta merta. Maka TPM menggesa pendesak-pendesak ini untuk bersabar kerana pemansuhan menyeluruh sistem ini hanya sempurna pada tahun 2012.

Akan tetapi, Pak Samad masih tidak berpuas hati. Hasil hasutan dan penokoktambahan dari pihak-pihak bermotif politik ini, Pak Samad seolah-olah ingin melepaskan geram terhadap kerajaan di pentas kempen Salleh Man. Beliau mengatakan kerajaan menghina bahasa melayu.

“Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan (memartabatkan bahasa Melayu), yang mahu menenangkan (kemarahan ramai) di ketika-ketika tertentu.

“Bahasa Melayu itu diperhina terus,”kata beliau.

Sebenarnya Pas sudah merasa parti mereka diperkudakan oleh puak-puak anti-Islam dalam DAP dan PKR. Maka mereka cuba untuk memperkudakan beberapa NGO dan orang perseorangan semata-mata untuk menyelamatkan survival politik mereka. Pas sekarang ini begitu ditekan oleh umat Islam yang menyelar pemimpin-pemimpin mereka yang menghalalkan penghinaan terhadap Islam oleh sahabat pakatan mereka.

Pas juga dilihat seakan cuba untuk menyelamatkan 'proksi' yang mampu untuk digunakan di dalam survival politik mereka, iaitu Anwar Ibrahim. Pada ketika umat Islam yang berbangsa Melayu hebat mengutuk dan menyelar penasihat PKR yang disabitkan oleh rakyat atas kesalahan pengkhianatan, Pas tidak habis-habis mempertahankannya dan cuba untuk mengalihkan kesalahan pengkhianatan tersebut di bahu Umno.

Maka untuk menyabitkan Umno sebagai pengkhianat, Pas menggunakan isu PPSMI yang ternyata sudahpun diselesaikan. Untuk menghangatkan lagi kempen calon Pas di Permatang Pasir ini, Pas menjemput sosok yang sebelum ini tidak pernah dikotori oleh sebarang agenda politik.

Saya ingin menyentuh hal mengenai A Samad Said yang dahulunya sangat saya kagumi. Meski perwatakan dan penampilannya kurang disenangi ramai pihak, namun saya tetap menyanjungnya sebagai pejuang bahasa. Namun kebelakangan ini saya melihat Pak Samad lebih cenderung untuk memilih bulu dalam perjuangannya. Double standard sememangnya dihalalkan di dalam politik. Dan hal inilah yang terlihat pada tindak tanduk Pak Samad.

Pernahkah Pak Samad keluar membuat kenyataan terbuka menyelar tindakan kerajaan Pulau Pinang menukar papan tanda jalan dengan meletakkan bahasa cina di dalam senarai tersebut? Kenapa Pak Samad tidak bersungguh pada ketika itu? Kenapa apabila isu pengajaran Matematik dan Sains pula yang cuba dicampuri?

Perkara ini akan dijawab oleh benak fikiran Pak Samad dengan hanya sepatah perkataan sahaja iaitu politik. Poitik yang mengajar Pak Samad untuk melacurkan perjuangannya. Politik yang mengajar Pak Samad untuk melupakan jasa kerajaan terhadapnya dan juga terhadap bahasa Melayu. Pak Samad lupa semuanya kerana Pak Samad juga berbangsa Melayu. Melayu mudah lupa.

Semoga Pak Samad tidak turut campur menyertai Gereja Kristian memperjuangkan hak untuk menerbitkan Bible dalam bahasa Melayu atas alasan memperkasakan penguasaan bahasa di kalangan rakyat. Ini juga merupakan salah satu agenda politik yang diperjuangkan parti DAP untuk menjatuhkan pemerintahan Melayu Islam di Malaysia.

Liverpool Kecundang Lagi

Ini adalah post pertama yang melaporkan mengenai perkembangan pasukan dari Barclay's Premier League. Maaf kerana tidak dapat mengulas mengenai Matchday 1 dan 2 kerana batasan waktu serta kesibukan membuat pemerhatian sepanjang kempen PRK Permatang Pasir.

Semalam, ketika loceng alarm jam peminat-peminat Liverpool baru berbunyi, saya dah pun berada di hadapan televisyen. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk mendapatkan preview perlawanan dari para penganalisis bola sepak yang dijemput ke rancangan sebelum perlawanan. Ternyata yang dijemput merupakan seorang yang gemar memaparkan kecenderungannya terhadap pasukan Liverpool. Saya fikir, tiada faedah untuk terus mendengarkan omongan kosong ini.

Saya bukanlah peminat Liverpool, bukan juga peminat Aston Villa. Tetapi saya tidak akan ketinggalan untuk menonton setiap perlawanan liga Inggeris. Maka saya matikan televisyen untuk dihidupkan semula pada tepat perlawanan bermula. Perlawanan yang agak seimbang pada awal permainan. Separuh masa pertama memaparkan semangat luar biasa dari Aston Villa, pasukan pelawat. Mereka mengejar setiap bola, walaupun berada di zon lawan.

Hal ini membuatkan bahagian tengah dan pertahanan Liverpool menjadi kelam kabut. Bahagian tengah yang dikawal pemain tidak berpengalaman, Lucas, semakin kerap hilang bola. Lucas menggantikan tempat Xabi Alonso yang dijual ke Real Madrid. Namun dia gagal untuk menampung beban yang ditinggalkan Alonso, gara-gara kurang kreatif dan tidak dapat membaca pergerakan menyerang pasukan.

Lucas merupakan antara weakest link bagi pasukan pada malam itu. Malah, perkara terhebat yang dicanangkan oleh peminat-peminat Liverpool kini semakin beransur sunyi. Mereka memperkatakan kehebatan Liverpool yang untouchable apabila Gerrard dan Torres bergandingan. Malangnya mereka gagal menjelmakan sesuatu yang menakjubkan sepanjang tiga perlawanan Liverpool setakat ini.

Malah, keadaan pertahanan The Kops turut merunsingkan pengurus pasukan. Carragher dan Skrtel dilihat gagal bergandingan dengan baik. Terutamanya apabila pengurus meletakkan dua pemain pertahanan sayap yang begitu gemar menyerang, meninggalkan hanya dua orang pertahanan sambil dibantu Mascherano sebagai pemain tengah bertahan.

Setakat tiga perlawanan ini, Liverpool lebih menyerlahkan ketidakaturan dalam pasukan. Mereka gagal menggerakkan serangan dalam kerangka yang teratur. Mungkin ketiadaan Alonso serta pemain sayap, Riera yang cedera, sedikit mengganggu sistem pelik yang dibawa Benitez ini. Gerrard yang diletakkan sebagai pemain tengah yang menyerang, gagal membuat sebarang hantaran berguna kepada Torres. Malah dia turut kerap membuat rembatan di luar kotak yang hanya sia-sia.

Namun, apa yang saya boleh perkatakan di sini ialah ini baru permulaan. Baru tiga perlawanan dilangsungkan. Saya bukan penyokong Liverpool, tetapi saya juga bukan penyokong United. Saya lebih gemar menonton pasukan-pasukan liga Inggeris tanpa sikap prejudis, dan perasaan berat sebelah kerana saya ingin melihat the beauty of the game.

Friday 21 August 2009

Laju, Semakin Laju, dan Terus Laju

Siapa lagi kalau tidak manusia terpantas di dunia ketika ini, Usain Bolt. Selepas kejayaannya memenangi emas dan memecahkan rekod dunia 100 meter dan 200 meter pada Olimpik Beijing tahun lalu, Usain Bolt terus berlari.

Yang terbaru, Bolt berjaya memecahkan rekodnya sendiri bagi kedua-dua acara dalam Kejohanan Dunia di Berlin. Ramai melihat kejayaannya pada kali ini lebih bermakna, setelah pencabar yang dikatakan mampu mencabar Bolt, iaitu Tyson Gay, turut dikecewakannya.

Gay ternyata gagal mencabar kepantasan yang tiada tandingan dari Bolt. Beberapa minggu lalu Gay mencabar Bolt setelah berjaya melakukan 9.77 saat di satu kejohanan yang tidak disertai Bolt. Namun kali ini ternyata Gay terpaksa menerima kenyataan bahawa dia terlalu jauh ditinggalkan Bolt.

Usain Bolt pada Kejohanan Dunia kali ini berjaya melakukan 9.58 saat, 0.11 saat lebih pantas dari rekod lama. Walaupun ramai yang tidak meletakkan harapan tinggi untuknya memecahkan rekod tersebut, semuanya gara-gara kemalangan pada awal tahun yang mencederakan kakinya, namun Bolt tetap terus berlari pantas.

Selepas kejayaan besarnya pada acara 100 meter, Bolt sekali lagi tidak dicabar apabila meninggalkan saingannya sejauh hampir 10 meter di belakang dalam acara 200 meter. Untuk acara ini, Bolt turut meninggalkan jauh rekod lamanya iaitu 19.30 saat. Bolt melakukan 19.19 saat. Bolt ternyata berada di dunia tersendiri.

Apabila kita melihat pelari kelas dunia berlari semakin pantas, dan pantas, dan terus pantas, saya teringat akan nasib pelari kita. Apabila kita melihat Greene memecahkan rekod dunia di depan mata kita sendiri iaitu pada SUKOM 98, 9.88 saat, kita belum terasa jurang yang jauh.

Kemudiannya, beberapa ketika sebelum Olimpik Beijing, Powell pula memecahkan rekod. Saya tidak berapa ingat catatannya ketika itu. Kemudiannya, di Beijing Bolt melakukan 9.69 saat, ramai yang baru tersedar bahawa 'dunia' semakin meninggalkan kita.

Sehinggalah yang terbaru apabila catatan 9.58 saat dibuat, ketika rekod kebangsaan Malaysia masih di takuk lama, iaitu 10.30 saat. Terbaru, di Kejohanan Mini Olimpik Malaysia, Syed Aliff Syed Noh, pemenang acara pecut 100 meter lelaki, hanya mampu mencatat 10.61 saat.

Berbanding rekod dunia yang terkini, catatan pelari Malaysia yang terkini adalah lebih dari 1 saat terkebelakang. Mungkin bunyinya tidak berapa 'lama' kerana hanya 1 saat. Namun bagi acara 100 meter, setiap 0.01 saat adalah sangat-sangat bermakna. Dalam erti kata lain, mungkin bagi jarak masa 1 saat itu, jika di'convert'kan kepada jarak meter di balapan, boleh mencecah lebih 10 meter.

Ini bermakna, untuk diibaratkan, seperti Usain Bolt berada di garis mula 100 meter, manakala jaguh pecut negara masa kini berada di garis mula 10 meter di hadapan Bolt. Kalau orang cakap tak adil, tak mengapa. Kerana secara perkiraan logik dan matematiknya, Bolt tetap boleh mengatasinya.

Heh, mungkin agak melampau jika membandingkan pemegang rekod dunia dengan raja pecut negara masa kini. Namun, sekiranya kita tiada titik capaian, apa lagi yang perlu kita capai? Rekod dunia merupakan garis panduan, atau petunjuk prestasi semasa sukan dunia. Dan untuk menentukan penanda aras kita, di mana kita berada kini, perlulah juga melihat prestasi dunia.

Orang ramai memperkatakan kegagalan kita untuk berjaya dalam sukan olahraga disebabkan oleh fizikal orang Malaysia. Saya pula mengatakannya mengarut. Mengapa? Kerana mustahil tiada rakyat Malaysia kini yang mempunyai ketinggian lebih dari 1.78 meter. Ramai. Termasuklah saya sendiri.

Orang Malaysia, seperti juga rakyat Jepun, kini ramai yang mempunyai ketinggian yang baik untuk sukan. Maksudnya, pada ketinggian 1.78 meter dan ke atas, sepatutnya kita mampu untuk bersaing dengan atlit-atlit Eropah yang rata-rata berketinggian tidak lebih dari 1.90 meter. Jika bukan ketinggian permasalahan kita, apa lagi permasalahan kita yang sebenar?

Saya akan bincangkannya kemudian. Apapun, tahniah diucapkan kepada manusia terpantas di dunia, Usain Bolt.

p/s: kalaulah Bolt baca blog ni. tu pun kalaulah dia faham bahasa melayu.

Wednesday 5 August 2009

Real Madrid Lagi

Real Madrid yang baru beberapa hari berjaya mendapatkan tandatangan pemain pertahanan Liverpool, Alvaro Arbeloa kini semakin hampir untuk mendapatkan antara pemain tengah paling berbakat di dunia iaitu Xabi Alonso, juga dari Liverpool. Perpindahannya dijangka dapat disempurnakan dalam beberapa hari lagi selepas ujian kesihatan dilakukan.

Xabi Alonso yang dikatakan antara pemain terpenting Liverpool, selain Steven Gerrard dan Fernando Torres merupakan pemain yang mempunyai peratusan hantaran tepat tinggi. Dia merupakan pemain yang mampu untuk mengawal bahagian tengah dengan hantaran-hantaran tepat ke serata ruang padang selain mampu untuk bertahan dengan baik.

Dengan pembelian terbaru ini, Real dilihat mempunyai skuad yang hampir sempurna di mana setiap posisi dalam kesebelasan utama boleh diisi dengan pemain-pemain terbaik dan berkelas dunia.

Daripada barisan musim lalu, beberapa pembelian utama Real dilihat mampu untuk mengisi kelemahan-kelemahan sedia ada. Penjaga gol, Iker Cassillas, yang juga antara penjaga gol terbaik dunia, kekal di posisi paling belakang pasukan. Cassillas walaupun kecundang dengan jumlah gol yang agak banyak musim lalu, sebaliknya merupakan antara pemain yang paling berkerja keras. Jerzy Dudek bakal bersedia sebagai simpanan.

Pembelian Raul Albiol (Sepanyol) dan Ezequiel Garay (Argentina) bagi menggantikan pertahanan tua Fabio Cannavarro yang dijual ke Juventus. Salah seorang daripadanya akan bergandingan dengan pertahanan tengah utama iaitu Pepe. Chistoph Metzelder dijangka bergelut untuk bersaing untuk barisan utama. Posisi pertahanan kanan tiada perubahan dengan Sergio Ramos, yang juga pilihan utama pasukan Sepanyol, kekal dalam barisan. Michel Salgado kekal sebagai pemain simpanan.

Pertahanan kiri bakal diisi oleh Arbeloa untuk menggantikan Marcelo yang dilihat belum bersedia untuk berada dalam barisan terbaik. Marcelo dijangka diletakkan di bangku simpanan. Seorang lagi pemain pertahanan, yang versetile, Miguel Torres dijangka bersedia bila-bila masa untuk mengisi mana-mana posisi pertahanan.

Real mempunyai tiga orang pemain tengah bertahan yang mana hanya seorang daripadanya bakal bergandingan dengan pemain baru, Alonso. Fernando Gago atau Lassana Diarra dikatakan antara pilihan utama meninggalkan Mahammadou Diarra yang dilihat bakal meninggalkan Real.

Kaka pula bakal beraksi sebagai pemain tengah menyerang, dengan Guti, Ruben De la Red, dan Esteban Granero sebagai simpanan. Salah seorang daripadanya mungkin bakal dijual atau dipinjamkan melihat kepada persaingan yang tinggi dalam pasukan.

Bahagian sayap kiri bakal diisi Cristiano Ronaldo manakala sayap kanan diisi Arjen Robben, memandangkan usaha mendapatkan Frank Ribery hampir pudar. Pemain sayap lain seperti Wesley Sneijder, Rafael van der Vaart, Gonzalo Higuain, dan Royston Drenthe bakal berhadapan masa depan tidak menentu.

Sneijder dan van der Vaart kini sudah bersiap sedia untuk meninggalkan Real. Manakala Higuain dan Drenthe masih muda dan diperlukan oleh kelab. Karim Benzema bakal mengetuai serangan sebagai penyerang tunggal. Ruud van Nistelrooy dan Klaas Jan Huntelaar dikhabarkan bakal meninggalkan Real melihat kepada persaingan posisi, meninggalkan Raul dan Negredo sebagai simpanan.

Saturday 1 August 2009

Pra-Konvokesyen UPM Kali Ke-33

Mangharungi hari ahad, setelah selesai proses pangambilan jubah di UPM, saya agak tergesa-gesa untuk pulang. Tiba seawal jam 9 pagi, suasana masih lengang di kawasan Kompleks Akademik Pusat. Tidak seperti kompleks-kompleks membeli belah pada hujung-hujung minggu. Segalanya berjalan lancar, malah pegawai di kaunter pngambilan jubah turut dilihat sentiasa tersenyum memandangkan suasana begitu terkawal.

Selepas selesai proses tersebut, saya pergi mengeluarkan wang di mesin ATM berhampiran bangunan pentadbiran. Saya keseorangan di situ. Suasana yang sunyi sepi ini membangkitkan perasaan gementar dan curiga terhadap sekeliling. Mana tidaknya, kebanyakan IPTA lain sudah membuat penutupan segera ketika pandemik H1N1 semakin merebak, saya masih bebas menjelajahi segenap ruang di UPM.

Raptai konvokesyen bagi sesi saya ialah pada hari khamis ini. Memandangkan suasana ketika itu nanti saya jangkakan lebih ramai yang bakal turut serta, saya harus mendapatkan topeng pernafasan. Hanya sekadar langkah awal, langkah pencegahan.

Saya terpaksa pulang segera selepas proses pengambilan jubah kerana ayah ingin menggunakan kereta untuk dibawa ke Raub. Semuanya kerana perarakan pengantin perempuan, yang juga jiran saya untuk majlis persandingan di rumah pengantin lelaki. Saya tidak turut serta kerana kepenatan. Penat bukan kerana ulang alik ke UPM, tapi penat kerana tidak cukup tidur.

Malam tadi, atau sebetulnya sehingga jam 5 pagi tadi saya berjaga. Sibuk membelek majalah Siasah isu September 2003. Sengaja ingin membuat rujukan mengenai isu 'reformasi 1998' yang diulas dari sudut bebas, walaupun terkadang terzahir ayat-ayat sokongan terhadap Anwar.

Asyik dengan pembacaan ini, saya hanya mendapatkan tidur satu jam lebih. Tapi alhamduliLLAH pengetahuan tambahan yang diperolehi cukup banyak. Maklum sajalah, pada ketika krisis 1998 itu terjadi, saya menghadapi peperiksaan besar iaitu PMR. Tidak begitu mengikuti perkembangan semasa.

Perhimpunan Haram Budaya Haram

Saya jarang dan kurang berminat untuk mengulas isu sosial dan politik rakyat Malaysia di sini. Tetapi isu perhimpunan haram yang boleh menjadikan Malaysia sebagai 'negara bergolak' ini membuatkan saya tergerak untuk mempertikaikan agenda berlarutan ini.

Terbaru, perhimpunan haram diadakan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur bagi menunjukkan perasaan tidak suka pada Akta Keselamatan Dalam Negeri. Sikap tunjuk perasaan apabila tidak suka ini saya lihat tidak ubah seperti kanak-kanak yang menghentak-hentakkan kaki apabila tidak mendapatkan sesuatu yang dihajati.

Menurut laporan media, hanya 5000 sahaja yang menyertai perhimpunan haram yang bertukar menjadi rusuhan. Daripada jumlah tersebut, saya jangkakan hanyaseparuh sahaja yang memahami tujuan mereka berkumpul. Yang lainnya hanya ingin ikut serta melepaskan nafsu keganasan.

Mereka ini sememangnya mempunyai niat yang tidak lain hanya untuk membuat kacau. Mengganggu pemerintahan negara ynag kini sibuk menangani isu kemelesetan ekonomi, isu pandemik H1N1, isu jenayah, isu pendidikan, dan lain-lain. Mereka juga turut mengganggu perniagaan para peniaga di lokasi rusuhan.

Laluan utama ke pusat bandar banyak yang terpaksa ditutup untuk menghalang lebih ramai perusuh untuk turut serta. Akibatnya, kesesakan teruk buat orang awam yang ingin menjalani kehidupan dengan aman dan tenteram. Begitu juga dengan sistem pengangkutan awam, daripada teksi, bas, dan juga pengangkutan rel, kesemuanya terpaksa menanggung kesulitan pengguna.

Mereka yang tidak bertanggungjawab ini sememangnya hanya bertopengkan 'rakyat'. Sebaliknya langsung tidak maklum kesulitan yang rakyat hadapi ketika mereka sedang asyik dengan tabiat merusuh mereka. Di mana slogan demokrasi di sebalik tindakan tidak bertamadun ini? Di mana slogan kebajikan rakyat apabila mengganggu ketenteraman rakyat?

Saya tidak mahu bercakap soal benar atau salah Akta Keselamatan Dalam Negeri ini kerana saya jelas dengan pendirian saya iaitu selama akta ini mampu untuk mengekalkan keselamatan dan kemakmuran yang kita kecapi, selama itu saya anggap ianya relevan. Walaupun saya tidak mengharungi suasana 13 Mei 1969, namun saya dapat gambaran daripada mereka yang pernah melaluinya dan ternyata mereka turut bersyukur terhadap effectivenya akta ini.

Saturday 25 July 2009

Rupa Baru Manchester United 2009/2010

Orang ramai bercakap tentang pemergian Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Mereka memperkatakan mengenai seorang manusia ini akan mengubah rupa Manchester United. Tapi bagi saya sebagai pemerhati bebas bagi juara Barclay's Premier League musim lalu ini, banyak lagi perkara lain yang bakal mengubah pasukan ini.

Melihat kepada prestasi United musim lalu, sememangnya tidak dapat disangkal kehebatannya. Tetapi ramai yang tidak sedar betapa United hadir ke musim baru dengan banyak kelemahan. Mari kita telusuri setiap posisi yang bakal diisi pada musim akan datang satu persatu.

GK: Edwin van der Sar beraksi baik pada musim lalu apabila memecahkan rekod tanpa bolos liga. Prestasinya turut dikaitkan sebagai punca prestasi United keseluruhannya. Namun sedarkah kita mengenai usianya yang semakin menjengah 40 tahun? van der Sar kini berusia 39 tahun dan pergerakannya pada akhir-akhir ini dilihat semakin perlahan.

Barisan GK simpanan dilihat masih belum mampu untuk menampung beban berat tersebut. Dengan Ben Foster dan Tomasz Kuszczak dilihat sebagai pemain bertaraf sederhana, posisi ini bakal menjadi masalah sekali lagi kepada United.

RB: Gary Neville yang direhatkan sepanjang musim lalu kerana kecederaan, dilihat bakal menamatkan kariernya lebih awal. Melihat kepada permainannya selepas pulih dari kecederaan, Neville tidak akan mampu untuk bersemuka dengan barisan serangan pantas pasukan lain.

Pertahanan kanan lain dalam pasukan ialah Wes Brown, John O'Shea, dan Rafael. Pada musim lalu United lebih banyak menggunakan khidmat O'Shea kerana Brown turut mengalami kecederaan panjang. Namun ramai yang menjangkakan United bakal memberi peluang kepada Rafael untuk lebih banyak bermain pada musim baru ini.

CB: Posisi ini antara posisi yang masih mantap buat United. Kekentalan paduan tenaga dari Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic, telah diiktiraf sebagai pasangan pertahanan terbaik United. Namun masalah untuk posisi ini tetap ada.

Pertahanan tengah United tidak mempunyai simpanan yang begitu ampuh untuk menggantikan pemain utama. Jonathan Evans, pemain dari akademi United, masih belum cukup meyakinkan untuk diletakkan dalam barisan berhadapan dengan pasukan terkemuka. Begitu juga dengan pertahanan 'option' iaitu Brown dan O'Shea.

LB: Patrice Evra kini merupakan antara pertahanan kiri terbaik di dunia. Tidak keterlaluan untuk meletakkannya di dalam list pengganti kepada Paolo Maldini dan Roberto Carlos. Posisi ini merupakan posisi bertahan dan serangan yang baik. Pemain simpanan untuk posisi ini ialah Fabio.

CM: Barisan pemain tengah United sangat bermasalah untuk musim baru ini. Dengan hanya tinggal Michael Carrick sebagai pemain 'kelas dunia', pemain-pemain lain masih kurang meyakinkan.

Paul Scholes yang menjengah usia 35 tahun, sudah kehilangan sentuhan. Permainannya kian merosot ditambah lagi dengan keagresifan yang semakin bertambah.

Darren Fletcher pula bukanlah pilihan yang sesuai. Dia tidak mampu untuk membaca gerakan United, selain lebih kerap lari ke dalam kotak meninggalkan posisi, tidak kreatif, dan tidak mampu untuk bertahan dengan baik. Owen Hargreaves pula bakal pulih sepenuhnya pada September, namun belum tentu mampu untuk mengembalikan prestasi asalnya.

Pemain muda seperti Anderson dan Darren Gibson pula masih belum bersedia untuk mengisi kekosongan ini. Anderson masih banyak kelemahan. Hantaran yang tidak tepat, selain mencipta serangan yang terlalu optimistik antara kelemahannya. Anderson juga tidak mampu untuk membuat ledakan dari luar kotak dengan tepat.

RW: Posisi ini ditinggalkan Ronaldo. Masih menjadi tanda tanya siapa yang bakal mengisi tempat ini. Sir Alex Ferguson telah membuat beberapa pembelian baru. Dua antaranya merupakan pemain sayap.

Antonio Valencia yang dibeli dari Wigan Athletics, masih diragui kemampuannya. Persembahan biasa ketika di Wigan membuatkan orang ramai mempertikaikan pembeliannya dengan harga 16 juta pound. Selama 3 musim di Wigan, Valencia mengharungi 83 perlawanan dengan hanya 7 jaringan. Namun sumbangannya dalam mencipta jaringan buat rakan merupakan antara kelebihannya.

Gabriel Obertan pula masih samar dari pengetahuan masyarakat bola sepak dunia. Pemain muda ini belum cukup dikenali dan masih menjadi misteri. Namun bagi penggemar Liga Perancis, Obertan merupakan 'klon' Ribery. Dia pantas, berkemahiran menggelecek, dan tinggi. Mempunyai 'pace' untuk membuat counter attack.

LW: Ryan Giggs kini berusia 36 tahun. Dia kini dilihat lebih banyak meninggalkan posisinya untuk lebih ke tengah. Mungkin kerana sudah kehilangan pace, Giggs kini bukan lagi pilihan utama bagi sayap kiri.

Pilihan lain adalah Nani, Park Ji-Sung dan Zoran Tosic. Nani dilihat sebagai calon utama untuk posisi ini. Namun orang ramai memperkatakan betapa Nani masih belum cukup menggembirakan peminat United. Serangannya kurang efektif di samping kerap kali membuat foul.

Ji-Sung pula bukanlah pilihan utama Sir Alex memandangkan tahap persembahannya masih di tahap sederhana. Kemahirannya mencari ruang dan stamina yang tinggi belum mampu untuk berada dalam corak sistem United. Tosic, pemain muda yang dikatakan 'Beckham kidal' masih belum cukup menonjol. Dia masih tidak cukup pendedahan untuk liga utama.

ST: Option yang Sir Alex ada pada ketika ini ialah Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Michael Owen, Federico Macheda dan Danny Wellback. Rooney sebagai pilihan utama bakal menjadi penyokong kepada penyerang utama iaitu sama ada Owen mahupun Berbatov.

Rooney dikatakan bakal lebih menyerlah pada musim baru ini memandangkan sering dibayangi Ronaldo pada musim-musim lepas. Namun ke'produktif'an dua orang penyerang utama ini masih belum dibuktikan. Macheda dan Wellbeck pula masih terlalu muda dan terlalu awal untuk diketengahkan.


Tuesday 21 July 2009

Di Mana Arsenal Ketika Musim Perpindahan Pemain?

Ramai yang ternanti-nantikan apakah yang sedang dilakukan oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger. Apakah dia baru bersedia untuk membuat 'scouting' pemain? Ataupun sedang mengira peruntukan dalam akaun? Banyak spekulasi berhubung keadaan 'pasif' oleh Wenger.

Ketika banyak kelab Eropah berlumba-lumba mendapatkan pemain-pemain ternama, mahupun pemain muda berpotensi, Wenger dilihat masih takut-takut untuk berbelanja. Setakat ini (21 Julai 2009), Wenger hanya mampu membeli seorang pemain pertahanan berusia 23 tahun, iaitu Thomas Vermaelen pada bulan Jun lalu.

Selepas itu Wenger terus mendiamkan diri. Hanya beberapa spekulasi berhubung 'minat' Wenger terhadap beberapa pemain seperti Ribery, Benzema, David Villa, dan Huntelaar. Hanya spekulasi sahaja, tiada usaha untuk mendapatkan pemain-pemain tersebut yang telahpun ke kelab lain.

Dan yang terkini, Arsenal dikaitkan dengan keinginan pemain Girondins de Bordeaux, Marouane Chamakh, 25, untuk berpindah ke kelab 'besar'. Wenger menyambut harapan pemain tersebut dengan menyatakan minat terhadap pemain itu. Selain Arsenal, terdapat empat lagi kelab Inggeris bertaraf pertengahan yang menyatakan minat terhadap Chamakh.

Arsenal mempunyai peluang paling cerah kerana bakal beraksi di Liga Juara-juara Eropah. Arsenal juga tidak menghadapi masalah membayar wang perpindahannya kerana akaunnya telah diisi oleh Manchester City yang membeli Adebayor dengan nilai perpindahan kira-kira 25 juta pound.

Pada pendapat saya, pemain yang mengalami kecederaan sepanjang musim lalu iaitu Eduardo mampu untuk mengisi tempat Adebayor sebagai penjaring gol. Eduardo memiliki penyudah yang baik, di samping pantas dalam larian dan teknik gelecek yang baik. Maka, pada pendapat saya Arsenal tak perlu untuk memburu mana-mana pemain penyerang.

Apa yang perlu dicari oleh Arsenal ialah weakest link dalam pasukan iaitu bahagian defensive midfield. Arsenal menghadapi masalah membendung pemain tengah menyerang pasukan-pasukan liga yang lain pada musim lalu. Dan kegusaran Wenger pada musim baru ini tentunya pada pasukan baru Adebayor, Manchester City yang dilihat mampu untuk bakal mencabar kejuaraan liga.

Apa Ada Pada The Citizen?

Apabila bercakap tentang perpindahan pemain, dan juga perbelanjaan musim panas bola sepak, orang ramai pasti mengaitkannya dengan Real Madrid. Sememangnya tidak dinafikan Real pada musim panas tahun ini lebih agresif berbanding 5 atau 6 tahun yang lalu.

Tetapi adakah kita menyedari bahawa sebuah lagi kelab 'kaya' sedang terus berbelanja besar sehinggakan melebihi daripada apa yang mereka perlukan? Manchester City. Sebuah kelab Inggeris yang mendapat peruntukan perbelanjaan pemain yang besar, kini semakin ghairah memburu pemain bintang.

Dengan memiliki sejumlah sembilan orang pemain penyerang, The Citizen masih belum puas. Dan jawapan kepada pemburuan mereka adalah penyerang Arsenal, Emmanuel Adebayor. Adebayor kini bersedia untuk menjadi penyerang kesepuluh City.

Tidak setakat penyerang, City dilihat mempunyai limpahan pemain berbakat di posisi lain. Termasuk pemain tengah yang baru dibeli, Gareth Barry, ramai penganalisis memperkatakan betapa Mark Hughes bakal menghadapi masalah dalam pemilihan pemain pada musim hadapan.

Web Goal.com mencadangkan dua bentuk formasi untuk City secara 'eksklusif'. Bermaksud, dua bentuk formasi dengan pemain yang berlainan.
.

Lescott di'kurung'kan kerana masih belum dipastikan pembeliannya. City juga mengumukan akan membeli seorang pemain pertahanan yang ternama. Mungkin pemain itu akan mengisi tempat 'kurungan' tersebut.

Web tersebut juga menyatakan bahawa formasi kedua, iaitu 4-4-2, adalah plan B. Bermakna, pemain-pemain yang berada di dalam formasi kedua tersebut hanyalah pemain barisan kedua. Pun begitu, barisannya itu tetap dianggap kuat.

Formasi pertama adalah formasi menyerang yang laju. Melihat kepada barisan pemainnya sahaja kita boleh membuat penilaian bahawa serangan bakal tertumpu di bahagian tengah. Dengan pemain fullback seperti Bridge dan Richards, tidak banyak yang boleh mereka harapkan di bahagian sayap.

Kompany mengisi ruang kosong di antara serangan dan pertahanan, seorang yang dilihat mampu untuk menggalas beban tersebut. Kompany seorang pemain tengah yang bertahan. Dia juga pantas turun naik, jika diperlukan untuk bertahan, mahupun menyerang di dalam kotak untuk menanduk bola.

Barry berfungsi sebagai playmaker, bertugas untuk menghantar bola ke hadapan, sama ada kepada tiga orang penyerang, mahupun kepada Ireland yang gemar membuat larian throughball. Barry juga mungkin bakal bertindak sebagai cornerkick taker memandangkan tiada di antara mereka mampu mengambilnya.

Direct freekick pula dilihat bakal diambil oleh Robinho yang juga bakal bermain lebih ke bahagian sayap kiri berbanding full-forward. Tevez pula saya jangkakan bakal berfungsi lebih ke bahagian belakang striking player, iaitu Adebayor. Tevez saya perhatikan kurang selesa untuk bermain di bahagian sayap ketika di United. Dia kerap kali mengejar bola daripada menguasainya.

Thursday 9 July 2009

Musim Paling Dinantikan

Setakat ini (10 Julai 2009), perpindahan pemain yang masih rancak berlangsung sedikit sebanyak membuatkan ramai pihak ternanti-nanti hasil pelaburan kelab-kelab besar ini. Terutamanya buat pasukan Real Madrid yang setakat ini sudah berbelanja untuk membeli sekurang-kurangnya empat orang pemain ternama untuk tergolong di dalam The New Galacticos.

Kaka, Cristiano Ronaldo, Raul Albiol, Karim Benzema, serta pengurus baru Manuel Pellegrini kesemuanya bakal membuat kemunculan pertama buat pasukan pada perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Republik Ireland Shamrock Rovers pada 20 Julai ini. Pada masa ini, pemburuan Real hampir ke penghujung penamat. Dengan hanya tinggal seorang lagi bintang untuk dibawa masuk, Real harus menjual hampir 10 orang pemainnya disebabkan kebanjiran bintang.

Cassillas, Ramos, Pepe, Diarra dan Robben kesemuanya dijangkakan akan memulakan musim sebagai pemain utama bersama-sama pemain yang baru dibeli. Selebihnya yang dilihat kurang menyinar kebelakangan ini serta yang mempunyai masalah kecederaan, bakal dijual pada harga rendah kepada kelab lain. Cannavaro merupakan pemain pertama yang melangkah kaki keluar dari Real untuk pulang ke kelab lamanya, Juventus.

Permainan Cannavaro dilihat semakin merosot pada musim lalu. Larian yang semakin perlahan, terjahan yang semakin tersasar, selain faktor usia yang semakin meningkat menjadikan Cannavaro semakin tidak relevan di Real. Real berjaya memperoleh pengganti kepada kelemahan-kelemahan Cannavaro tersebut dengan membeli Raul Albiol dari Valencia.

Barcelona juga tidak kurang menyerlah dalam kerancakan perpindahan pemain ini. Prospek besar yang dilihat pada Keirrison, pemain muda yang dibeli dari kelab Brazil, Palmeiras bakal menjadikannya sebagai antara pemain pelapis kepada generasi emas Barca. Dalam pada itu, Barca juga dilaporkan masih mengejar tandatangan pemain-pemain bintang seperti David Villa dari Valencia, Cesc Fabregas (Arsenal), Bruno Alves (Porto), Javier Mascherano (Liverpool) dan beberapa lagi nama besar.

Kelab-kelab dari Liga Perdana Inggeris juga turut bernafsu besar dalam merebut pemain-pemain ternama di dunia. Laporannya di post yang lain.

p/s: real vs barca as usual.