Saturday 16 January 2010

Realiti Toleransi

Pada ketika ini, ke mana-mana saja kita pergi, dalam apa jua medium penyampaian yang ada, setiap ulasan mahupun pengumuman, pasti akan kedengaran slogan 1Malaysia. Di manakah kesesuaian, ataupun relevan penggunaannya, sekiranya ianya terlalu berleluasa 'dipergunakan'?

Terbaru, isu paling sensitif di Malaysia pada dekad ini berbangkit. Beberapa siri penentangan, mahupun sokongan tercetus di serata pelusuk negara. Isu apa? Isu paling tidak logik, dan tak masuk akal. Isu penggunaan kalimah Allah oleh terbitan mingguan katolik, Herald. Saya mengikuti setiap yang berbangkit, terutamanya hujah dari sudut pandang Islam.

Terlalu banyak hujah yang dikemukan oleh umat Islam di Malaysia. Yang pasti merunsingkan kita ialah apabila sama banyaknya hujah antara yang menyokong dan yang menentang. Sama hebat juga hujah dan kesungguhan dalam mempertahankan hujah tersebut.

Yang paling menarik perhatian saya ialah percanggahan pendirian di kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Sebuah pakatan yang diikat tanpa erti yang jelas, kini semakin bercelaru pendirian dan hala tuju mereka. Berkenaan isu ini, saya sedia maklum bahawa perkara ini awalnya dicetuskan oleh dua orang pemimpin Kristian dalam PKR, iaitu Dr Xavier Jayakumar dan Irene Fernandez. Kedua-duanya adalah ultra-Kristian di Malaysia. Mereka juga anti-Melayu dan anti-Islam, merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang pernah mereka keluarkan.

Oleh yang demikian, apabila dua orang ahli majlis tertinggi parti berkenaan menunjukkan pendiriannya, bagaimana pula pendirian parti secara demokrat? Penasihat parti berkenaan, yang juga seorang Muslim Melayu, kini bermati-matian mempertahankan pendirian Herald untuk menggunakan kalimah Allah. Inilah pendirian seorang pemimpin Islam di dalam PKR. Bagaimana pula pendirian parti Islam?

Pada 5 Mac 2009, sewaktu Dewan Rakyat bersidang, isu ini dibangkitkan. Perbincangan bertukar menjadi perdebatan di kalangan ahli-ahli parlimen Muslim. Yang menyedihkan saya ialah betapa lantangnya dua orang ahli parlimen Pas mewakili suara kristian katolik. Sungguh slogan Pas for all digunakan sehabis baik. Syabas buat pimpinan Pas sekarang.

Dua orang yang dimaksudkan ialah Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor). Dua orang beragama Islam ini yang mewakili parti Islam dengan lantang menyanggah pihak-pihak yang mempertahankan kalimah Allah daripada disalahgunakan.

Dalil-dalil yang mereka hujahkan malah dengan mudah dipatahkan oleh seorang lagi ahli parlimen Pas, yang juga seorang bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Mat Taib (PAS-Baling). Percanggahan pendirian di kalangan pemimpin parti Islam ini memperlihatkan motif dan faktor yang terselindung di belakang mereka.

Keikhlasan Datuk Taib Azamudden menyanggah pendapat rakan separtinya itu menampakkan keseriusan beliau mempertahankan kesucian agama Islam. Bagaimana pula dengan Khalid dan Dr Dzulkefly? Hakikatnya, mereka berdua terikat dengan pendirian Pas Selangor, yang mungkin semakin hari semakin ditekan oleh DAP dan PKR. Oleh yang demikian, tidak peliklah kalau kita dengar suara mereka seolah suara DAP. Malah Khalid juga turut terlibat dalam isu pembinaan kuil hindu di kawasan perumahan majoriti Islam di Shah Alam. Hebat perjuangan liberal Khalid ini.

Pas menerusi Mursyidul Amnya pula seolah berbelah bagi dalam pendiriannya. Kenyataan yang dibuat Nik Aziz seolah cuba mengelirukan umat Islam. Apakah kekeliruan yang dibuat? Dalam kenyataannya 3 Januari lalu, Nik Aziz memulakannya dengan mengatakan tidak salah bagi kristian menggunakan kalimah Allah atas hujah 'agama samawi'. Kemudian beliau seolah cuba untuk mengubah pendirian apabila mengatakan pada masa ini tidak dibenarkan penggunaannya di kalangan bukan Islam.

Pendirian Pas dalam isu ini semakin bercelaru apabila Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohammad Daud Iraqi mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang ulasan, mahupun pendirian. Barangkali mungkin beliau turut berpendirian seperti Khalid dan Dzulkefly, siapa tahu.

Apa yang menariknya, terdapat juga suara kecil dalam kelompok besar PKR, yang mungkin menentang arus pendirian parti. Suara yang saya maksudkan ialah suara lantang Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu). Zul dikenali sebagai seorang pejuang Islam yang lantang, tetapi berplatformkan PKR. Kecelaruan yang timbul tatkala ini ialah suara Zul yang dilihat 'terlalu' memperjuangkan Islam sehinggakan pemimpin PKR bukan Islam terasa terancam.

Zul dengan beraninya mencabar Khalid untuk keluar dari Pas kerana pendiriannya yang semakin mirip kepada pendirian DAP iaitu liberalisme dalam segala hal. Zul turut menempelak keseriusan Khalid dalam memperjuangkan Islam di Selangor, terutamanya di Shah Alam ketika tercetusnya isu kuil dan arak.

Barangkali isu ini berbangkit gara-gara toleransi kita yang sebagai umat Islam berbangsa Melayu. Juga barangkali isu ini berbangkit kerana ada pihak-pihak tertentu cuba untuk memanipulasi slogan 1Malaysia. Apa saja permintaan rakyat wajib dituruti. Maka pelbagai tuntutan-tuntutan bodoh dan tidak masuk akal dikemukakan. Mungkin kita sebagai umat Islam berbangsa Melayu perlu menyemak semula sikap toleransi kita setiap kali tercetusnya isu-isu sebegini, dibimbangi kita dipijak di kemudian hari.

No comments: