Friday 15 January 2010

Masa Depan Manchester United

Dua hari lalu saya dikejutkan dengan laporan berkenaan krisis kewangan yang dihadapi juara BPL 2008/2009, iaitu Manchester United. Hutang yang dilaporkan membebani United kala ini ialah sekitar ₤700 juta. Suatu jumlah yang besar kalau ianya ringgit Malaysia. Apatah lagi kalau pound sterling, terlalu besar jumlahnya.

Kita sebagai bukan orang ekonomi, mahupun ahli perniagaan, mungkin tidak arif bagaimana langkah yang sepatutnya diambil oleh United untuk mengurangkan beban hutang ini. Di England, pelbagai cakap-cakap telah dirakam di media-medianya. Paling aktif ialah media cetak. Kalau bercakap soal bolasepak, akhbar merekalah yang paling agresif.

Laporan yang saya baca di sebuah web bolasepak melaporkan, besar kemungkinan untuk United terpaksa menjual dua (2) aset utama mereka. Aset pertamanya ialah dari segi 'properties' dalam pasukan. Kelab-kelab bolasepak biasanya menjana kewangan mereka menerusi jual beli pemain, selain penjualan jersi dan aksesori sukan. Oleh yang demikian, aset yang dimaksudkan ialah pemain paling bernilai tinggi dalam pasukan, siapa lagi kalau bukan Wayne Rooney. Laporan dari Sepanyol menyatakan betapa Real Madrid dan Barcelona, dua kelab di barisan hadapan dalam merebut khidmat Rooney, bersedia melaburkan sejumlah ₤70 juta. Perkembangan lanjut masih dinantikan.

Aset kedua yang menjadi sasaran 'korban' ialah stadium keramat United, Old Trafford. Stadium yang mula dibuka pada 19 Februari 1910 ini sudah seratus tahun usianya. Tetapi prestijnya menjadikan stadium ini sebagai antara stadium bolasepak terhebat di dunia, sama hebat dengan Santiago Bernabeu (Real Madrid), Nou Camp (Barcelona), San Siro (AC Milan) dan Allianz Arena (Bayern Munich). Kesemua stadium berkapasiti besar ini melambangkan kegagahan sesebuah pasukan.

Bagi United pula, ke mana hala tuju mereka sekiranya benar mereka bakal kehilangan dua aset utama ini? Pemergian Cristiano Ronaldo mungkin meninggalkan sedikit kegusaran di kalangan penyokong di awal musim. Namun, United ternyata dapat membuktikan mereka masih ampuh dengan skuad yang ada. Walaupun United terlihat goyahnya ketika ini, dengan beberapa keputusan perlawanan yang mengecewakan, namun hakikatnya mereka ketinggalan hanya satu mata, dengan Chelsea sebagai pendahulu mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Sekiranya benar penjualan Rooney sebagai pertukaran kepada tragedi kemusnahan United angkara hutang, siapa lagi yang akan bergelar pemain paling bernilai dalam pasukan? Dengan situasi semasa, pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes yang bakal menggantung but tidak lama lagi, van der Sar juga berada di hujung karier, Vidic pula hangat dikaitkan dengan Real, manakala Berbatov dan Nani antara bakal korban 'The Clear-Out'.

Bagaimana keadaan pasukan yang bakal tersedia nanti? Adakah Sir Alex Ferguson akan meninggalkan kelab beberapa tahun yang akan datang dalam keadaan pasukan yang bermasalah? Dan yang paling mengerikan, adakah United bakal berhadapan krisis yang pernah menerjah kelab Leeds United dekad lalu? Untuk menyorot semula kisah Leeds, adalah sangat-sangat memilukan. Saya bukanlah peminat United, tapi sebagai peminat bolasepak, umumnya sudah pasti saya tidak mahu satu lagi pasukan berbakat ditumbangkan dek krisis hutang.

No comments: