Saturday 30 January 2010

Mengecewakan !!!

Semalam (Sabtu), kami sekeluarga berhajat untuk makan malam di mana-mana restoran seafood. Maka saya segera membuat semakan di internet, untuk mencari sebarang recommendation dari yang berpengalaman. Setengah jam berlalu, saya melawat setiap web, blog, mahupun forum yang diberikan oleh google hasil searching bagi keyword restoran ikan bakar.

Apa yang menariknya, sebahagian besar darinya mencadangkan sebuah restoran makanan laut yang popular di Port Klang, iaitu Restoran Muara Ikan Bakar, Tanjung Harapan. Kata mereka, tempat ini masakannya sedap dan murah. "Menarik!" kata hati saya, sebelum ianya diusulkan kepada majlis mesyuarat keluarga. Kami tidak gemar untuk ke sesuatu tempat andai walau hanya seorang dari kami tidak berkenankannya.

Langsung, dari mesyuarat tersebut, yang tidak sampaipun setengah jam, berkenan untuk meluluskan usul tersebut. Maka, kamipun bersiap untuk ke sana. Pada awalnya, saya menyemak laluan menerusi google map. Namun, saya agak kurang jelas dengan paparan peta yang dikemukakan. Oleh yang demikian, khidmat Garmin di telefon bimbit baru ini segera digunapakai.

Laluan yang dicadangkan oleh Garmin ialah laluan yang melalui Lebuhraya NKVE. Tanpa banyak soal, kami turutkan saja. Alhamdulillah, sampai juga ke Restoran Muara Ikan Bakar, Tanjung Harapan. Ratusan kenderaan sudahpun memenuhi parking di kiri dan kanan jalan. Tiada jarak. Penuh. Kami terpaksa parking kereta hampir 500 meter dari restoran berkenaan. Itupun syukur ada kereta mahu keluar dari parking tersebut.

Selesai letak kereta, kami terus menuju ke premis berkenaan. Memang ramai orang. Jam 6.55 petang. Di bahagian tempat makan yang berpanoramakan laut sudahpun penuh ditempah. Kami hanya dapat tempat berpanoramakan tebing pesisir, di mana pada waktu tersebut air semakin surut.

Saya sempat untuk mengambil beberapa gambar berlatarbelakangkan matahari terbenam.

Matahari terbenam di Tanjung Harapan

Kami membuat tempahan seperti berikut:

Minuman:
1. Teh tarik
2. Limau suam
3. Tembikai laici
4. Teh 'o' panas
5. ABC

Teh tarik, limau suam dan tembikai laici

Makanan:
1. Nasi 7 pinggan
2. Ikan masak tiga rasa
3. Udang goreng tepung
4. Sayur campur
5. Pari bakar
6. Sotong masak sambal

Minuman sememangnya sedia awal. Semua air minuman sampai tak sampai 10 minit, melainkan ABC. Kemudian dihidang pula nasi 5 pinggan. 10 minit berlalu, ikan masak tiga rasa siap untuk dihidang. Kami dah lapar. Tak daya nak tunggu masakan lain. Maka, perlahan-lahan ikan dan nasi disuap. Tidak berkuah.

Lauk tidak dihidang serentak. 5 minit kemudian, sayur campur (lebih mirip kobis semata) dan udang goreng tepung tersedia. Bertambah lauk di meja.

40 minit selepas pesanan tadi dibuat, ikan pari bakar pula baru tersedia. Pada waktu itu semua lauk sudahpun habis. Nasi juga. Maka, ditambahlah 2 pinggan lagi nasi. Nasi ditinggalkan sedikit buat dimakan dengan sotong nanti. Ikan pari kemudiannya habis. Tinggal kami menantikan sotong yang mungkin sedikit istimewa kerana begitu lama dimasak.

Lauk dah habis, nasi ditinggal sedikit, minuman juga ditinggal sedikit untuk sotong

Genap satu (1) jam. Dua item masih belum dihidang, sedang kami semua sudah bersandar menyelesaikan yang sudah dihidang. Udang masak sambal, ABC, di mana kamu?

Ibu terpaksa berkongsi minuman dengan ayah, iaitu segelas teh 'o' yang sudah sejuk ditiup bayu laut. ABCnya tiada berkunjung tiba. 10 minit melepasi sejam, yang juga bersamaan dengan 70 minit, udang dihidang tanpa ada rasa bersalah oleh pelayan restoran. Nasi yang tersisa terus dijamah bersama udang yang ternyata tidak panas. Tiada tanda-tanda ianya baru selesai dimasak.

Genap satu jam setengah, kami selesaikan juadah dan buat pembayaran. Resit disemak. RM129.00, nampak kejam resit tersebut. Sekeping kertas yang menonjolkan susuk perasaan kejamnya. Ayah bayar juga tanpa sebarang komen. "Dah makan," itulah ulasannya. Manakan tidak, kadar ke'berbaloi'annya pasti akan membuatkan sesiapa saja terkesan di hati. Paling bersopanpun mungkin hanya bunyi suara hati berbisik, "tak puas hati".

Kami pulang dengan sedikit rasa menyesal. Mungkin kerana beberapa ketika dulu kami pernah makan di sebuah restoran seafood lain yang sedikit jauh dari tempat tersebut. Restoran berkenaan boleh tahan. Cumanya, kami merasakan mahu mencuba restoran lain, yang dicadangkan kebanyakan orang di internet. Malangnya, jauh panggang dari api. Selamat jalan, Restoran Muara Ikan Bakar. Maafkan kami, Restoran Ikan Bakar Lotus, kerana mengkhianatimu. Heh.

2 comments:

FataMorgana said...

hmm.. pernah alami, sangat sakit hati, dahla lapar gile.. makanan tak muncul-muncul... tiba-tiba bil melambung mcm tu... KFC pun lagi murah...

p/s: saudara Shah, ban sahaja restoran tu..

Sir Shah said...

sudah diban. cukuplah sekali. tiada yang kedua kali. memang makanan itu sesuatu yang sepatutnya mengesankan kepada sesiapa saja. baik makanan yang dimakan, maka terkenanglah ia sampai ke mati. sungguh. saya masih terkenang sehingga ke hari ini, pucuk paku masak lemak cili api di restoran ayam penyet AP, di wangsa walk. puas hati. saya plak peminat masak lemak cili api. pedasnya langsung dilupakan dek kerana keenakannya. selesai makan baru perasan yang badan saya sudah berpeluh menahan kepedasannya.

namun, kalau sesuatu masakan itu mengecewakan, walau sudah masuk perut menjadi darah daging kita, tetap tidak terelak dari titip hati penyesalan. tak mengapa. ini malaysia. tetap bertaburan segala pilihan. option banyak. tinggal lagi untuk dibuat pilihan sehabis baik. jangankan pisang berbuah dua kali. satu lagi restoran akan diban. ada orang berniaga sejujur dan setulus hati. inikan pula berniaga makanan. memberi orang makan. restoran yang tidak mendapat berkah dari pengunjung yang singgah, pasti diniagakan dengan hanya berniatkan keuntungan semata.