Friday 29 January 2010

Melayu, Dari Kaca Mata Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

- USMAN AWANG

4 comments:

FataMorgana said...

puisi inilah yang dideklamasikan oleh en. aizad, timb. YDP GPMS Neg. Kedah. Kata-kata dan nada beliau boleh menyemarakkan semangat kami sebagai bangsa Melayu. terima kasih kerana menyiarkan puisi ini. mohon untuk meng'copyy n 'paste'kan puisi ini boleh?

Sir Shah said...

owh. dipersilakan. puisi ini bukanlah hak milik saya pun. kita kongsi bersama semua yang membaca. mula baca puisi ini, saya menerima pelbagai tindakbalas perasaan dalaman. perasaan yang bercampur-campur. bangga pun ada, bersemangat pun ada, malah senang sekali dirasakan jika ada di kalangan bukan melayu yang membacanya. halnya kerana puisi ini menyatakan secara general, umum, susuk peri seorang melayu, andai mereka belum mengenali bangsa ini. ternyata sebenarnya walaupun sudah 52tahun merdeka, masih ramai di kalangan bukan melayu yang masih belum mengenali tuan asal negara merdeka ini.

Sir Shah said...

saya pernah membaca sebuah novel Indonesia, bertajuk Laskar Pelangi, karya Andrea Hirata. novel ini sudahpun diangkat menjadi sebuah filem bertajuk Laskar Pelangi, dan lagu tema untuk OST filem ini turut dipopularkan oleh kumpulan nidji. merujuk semula kepada novel berkenaan, saya hanya sempat membacanya dalam versi e-book kerana belum menemukannya dalam bentuk penerbitan buku di sini. novel berkenaan saya baca dalam bahasa Indonesia sepenuhnya. meski terdapat beberapa patah kata yang tidak dapat difahami, namun saya puas membaca novel tersebut dalam bahasa asalnya.

novel ini berlatarbelakangkan sebuah komuniti melayu di pulau belitong, era 80-an atau 70-an. sebuah pulau yang memiliki majoriti penduduk melayu, dengan bergantung pada sumber ekonomi timah dan mineral. apa yang menarik di dlalam novel ini ialah betapa ia menekankan kepada corak hidup, baik dari sudut pemikiran, mahupun makanan, kepercayaan, sejarah, malah budaya melayu secara khusus untuk tatapan penduduk Indonesia keseluruhannya yang sudah tidak nampak kemelayuannya langsung saat ini.

masyarakat melayu belitong, menurut penulis novel ini, ternyata sangat hampir dengan masyarakat melayu Malaysia, dari segala hal. mereka merupakan satu2nya masyarakat melayu Islam di Indonesia yang masih menggunapakai susunan nama yang mempunyai bin atau binti. tidak seperti masyarakat melayu Islam di daerah lain yang kini menggunakan nama keluarga. malah nama mereka juga lebih Islamik, tiada nama kurniawan, sigit, bambang, dan sebagainya.

masyarakat melayu belitong masih berpegang utuh terhadap kisah hang tuah dan hang jebat, walaupun kisah ini berasal dari Melaka. mereka turut menggemari lagu-lagu keroncong, dan juga dangdut. sifat kemelayuan mereka sangat2 terpelihara meskipun pernah dijajah kuasa Belanda, dan kini bergabung dengan pulau2 lain di dalam sebuah republik.

terdapat satu babak di dalam novel ini yang menceritakan sekumpulan kanak2 melayu (watak2 utama) yang bermain permain tradisi mereka. penulis tidak menyatakan nama permainan tersebut, tetapi ciri-cirinya sangat mirip dengan upih pinang, permainan tradisi melayu Malaysia.

saya seakan menjadi sangat2 tertarik untuk mengkaji lebih lanjut akan persamaan, dan hubungan antara melayu Malaysia dengan melayu asli belitong, Indonesia ini.

FataMorgana said...

niat anda murni