Monday 29 March 2010

Artis Adalah Penggiat Seni

Ikon rakyat Malaysia - Tun Dr Mahathir Mohamed

Saya tertarik untuk mengulas isi perbincangan yang dibangkitkan di dalam rancangan Fenomena Seni baru-baru ini. Topiknya ialah "Layakkah Artis Jadi Ikon?"

Topik ini berbangkit gara-gara kenyataan terbuka oleh seorang artis yang tidak kurang pengalamannya, Wardina Safiah. Wardina membuat kenyataan tersebut di sebuah majlis ilmu. Kenyataan pendek yang boleh disimpulkan daripada hujah beliau ialah, artis sememangnya tidak layak menjadi ikon masyarakat.

Namun, kontroversi berbangkit apabila laporan wartawan terhadap kenyataan Wardina disambut dengan persepsi negatif dari para pemain industri, terutamanya mereka yang cetek ilmu. Saya bukanlah ingin mempertikaikan tahap keintelektualan artis tempatan, tetapi mereka sendiri mendedahkan kedangkalan fikiran dalam memahami suatu konteks ayat yang mudah.

Saya menyokong kenyataan Wardina di atas, hanya kerana saya memahami apa yang dimaksudkannya, seperti juga orang lain yang mudah memahaminya. Saya pelik mengapa artis tempatan begitu mudah untuk keliru dua konteks perkataan yang kerap digunakan sehingga dirasakan kedua-duanya adalah sama.

Dua perkataan yang saya maksudkan ialah 'ikon' (yang menjadi titik kontroversi) dan juga 'idola'. Sepatutnya dua perkataan ini mudah untuk mereka bezakan. Malangnya, host rancangan ini, iaitu Rosyam Nor sendiri kerap kali terkeliru.

Beliau kerap kali memetik sebagai berkata "ikon atau idola" apabila memberi soalan kepada panelnya. Dia merasakan seolah-olah kedua-dua perkataan tersebut membawa erti yang serupa, atau paling tidak pun hampir sama. Sedang penjelasan ringkas Wardina terhadap definisi ikon itu sahaja sudah cukup untuk menolak persamaannya dengan konteks perkataan idola.

Wardina dengan bijak memberi gambaran mudah yang digunapakai setiap hari, bagi memudahkan pemahaman penonton. Katanya, ikon - seperti yang terpampang di skrin komputer - adalah perwakilan bagi memudahkan mereka memahami tujuan dan fungsi setiap yang diwakilkan.

Maka, persoalan ikon perlu dirujuk bersama perkumpulan yang diwakilkan. Topik ini adalah lemah dari segi harfiahnya kerana gagal memberi pemahaman yang cukup buat ahli panel untuk menjawabnya. Kekeliruan yang berlaku kepada sang perantara, ditambah lagi dengan persoalan "ikon kepada apa?"

Sebagai contoh, ikon kepada bolasepak Malaysia ialah Allahyarham Mokhtar Dahari, ikon kepada skuasy ialah Datuk Nicol David, ikon kepada tenis antarabangsa ialah Roger Federer. Sesetengah ikon adalah muktamad, tiada tandingan berdasarkan pencapaian mereka. Namun ada juga ikon yang dipilih daripada beberapa pilihan yang terdapat saingan.

Persoalannya mudah. Isu yang dibangkitkan oleh Wardina ialah artis tidak layak menjadi ikon masyarakat. Ayatnya lengkap. Titik fokus bukan pada artis, tetapi kepada 'ikon masyarakat'. Hujahnya cukup, dan tidak mungkin dapat disangkal. Begitu juga dengan hujah penulis lirik, Habsah Hassan. Hujah mereka hampir sama dan mudah untuk difahami.

Artis tidak layak menjadi ikon kepada masyarakat kerana untuk menjadi ikon masyarakat, bukan calang-calang orang. Malah 'masyarakat' juga ada konteks yang perlu diperjelaskan. Masyarakat (Community) yang bagaimana? Bandar atau luar bandar? Miskin atau kaya? Profesional atau peniaga? Etnik? Agama? Semua itu adalah perkumpulan masyarakat.

Maka, ianya harus diperjelaskan dengan tepat, dikhuatiri ramai yang tersalah erti. Kalau ikon kepada masyarakat luar bandar, siapakah dia? Wajarkah artis menjadi ikon mereka? Tidak. Ikon kepada masyarakat luar bandar pilihan saya ialah Tun Ghafar Baba. Mungkin bagi orang lain, pilihannya lain. Yang pasti ikon tersebut bukan artis.

Ikon kepada masyarakat bandar pula? Bagi saya ianya sudah pasti Tun Mahathir Mohamed, atas jasanya membangunkan Kuala Lumpur.

Oleh yang demikian, perkumpulan yang bagaimana dapat diwakili oleh para artis? Mereka hanya boleh menjadi ikon kepada kumpulan mereka. Maksudnya, jika mereka seorang pelakon, maka mereka bolehlah bersaing untuk menjadi ikon kepada pelakon. Pelakon juga ada banyak cabangnya. Bagi pelakon drama lelaki, maka ikonnya ialah Rosyam Nor, mungkin. Bagi penyanyi lagu balada lelaki, maka ikonnya ialah Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

Oleh yang demikian, para artis tidak seharusnya marah apabila dikatakan sebagai tidak layak untuk bergelar ikon masyarakat. Besar sangat anugerah tersebut untuk diberikan kepada seorang penghibur.

Mungkin jika diberikan anugerah 'idola' kepada artis adalah lebih tepat, kerana idola adalah individu yang sangat-sangat diminati atau disayangi. Maka artis tidak layak menjadi ikon masyarakat, tetapi mungkin layak untuk dijadikan idola masyarakat.

No comments: