Thursday 18 March 2010

Kesimpulan UCL Round of 16


Dengan tamatnya dua lagi perlawanan semalam, bermakna selesai sudah pusingan 16 pasukan untuk UEFA Champions League 2009/2010. Beberapa keputusan menarik berjaya dicatat. Daripada 16 pasukan - 3 England, 3 Sepanyol, 3 Itali, 2 Perancis, 2 Jerman, 1 Rusia, 1 Portugal, dan 1 Greece - kini sudah disingkatkan menjadi 8 pasukan yang bakal beraksi untuk pusingan suku akhir.

8 pasukan tersebut ialah 2 dari England (Manchester United dan Arsenal), 2 Perancis (Lyon dan Bordeaux), Bayern Munich (Jerman), Barcelona (Spain), CSKA Moscow (Rusia), dan Inter Milan (Itali). Nama besar seperti Chelsea, AC Milan, dan Real Madrid gagal meneruskan kemaraan.

Manchester United menghadapi cabaran yang lemah dari AC Milan bagi kedua-dua perlawanan timbal balik. Lebih mengecewakan apabila Milan langsung tidak melawan bagi perlawanan kedua di Old Trafford apabila dibelasah teruk 4-0.

Arsenal pula diberikan peluang skeptik sepanjang kejohanan ini berlangsung setelah mereka kehilangan beberapa tonggak angkara perpindahan dan kecederaan. Namun, barisan muda Arsene Wenger ini membuktikan kemampuan mereka untuk mara lebih jauh dari ramalan ramai. Malah mereka ketika ini mampu untuk menjadi antara pencabar kejohanan liga England.

Lyon mengejutkan para penganalisis bolasepak apabila mengenepikan pasukan 'jutawan', Real Madrid. Setelah berbelanja besar untuk mendapatkan bintang-bintang bolasepak seperti Cristiano Ronaldo, Kaka, Xabi Alonso, Karim Benzema, Raul Albiol dan beberapa lagi nama besar, mereka tetap juga gagal menewaskan Lyon di kedua-dua gelanggang. Lyon yang kehilangan khidmat Benzema kepada Real, mempunyai barisan muda yang sangat-sangat seimbang di seluruh sudut padang.

Dengan corak permainan yang mereka persembahkan tempoh hari, saya menjangkakan Lyon mampu untuk pergi lebih jauh lagi untuk kejohanan ini meskipun kurang menyengat di peringkat domestik. Pemain muda seperti Hugo Lloris (penjaga gol), Aly Cissokho (pertahanan), Michel Bastos (tengah) dan Miralem Pjanic (tengah), berganding dengan beberapa pemain senior seperti Cris, Toulalan, dan Govou, berjaya membentuk sebuah pasukan yang mantap di setiap posisi.

Bordeaux, satu lagi pasukan dari Perancis berjaya di pusingan ini, dengan menewaskan lawannya, Olympiacos dari Greece. Perlawanan di kedua-dua gelanggang agak seimbang dengan Olympiacos turut memberi saingan sengit. Namun jaringan dari pemain yang dikaitkan dengan pasukan Arsenal, Marouane Chamakh, pada minit akhir perlawanan menamatkan sisa perjuangan lawan.

Bayern Munich mungkin bernasib baik ketika perlawanan pertama di tempatnya apabila pengadil membenarkan jaringan kontroversi Klose selepas dilihat berada di kedudukan offside. Jaringan tersebut membenarkan mereka untuk mendahului 2-1 sebelum ke Itali. Perlawanan di Florence menyaksikan semangat melawan disajikan oleh Fiorentina untuk penyokongnya.

Selepas berjaya mendahului 2-0 untuk sejam perlawanan, dan 3-1 kemudiannya, mereka gagal mempertahankan kedudukan apabila jaringan Robben menyebabkan mereka tersingkir dari saingan berikutnya.

Barcelona? Sudah pasti tempat mereka di suku akhir meskipun terpaksa bertungkus lumus di perlawanan pertama. Perlawanan kedua membuktikan kemampuan sebenar mereka. Meskipun tanpa tonggak perancang, Xavi, mereka tetap memberikan persembahan bak juara.

Pep Guardiola terpaksa mengubah formasi pasukan dengan bermain 4-4-2 pada perlawanan kali ini, memandangkan mereka perlu menjaringkan gol. Walaupun agak kekok menyaksikan mereka bermain dengan corak sebegini, namun tetap juga mereka bermain dengan cemerlang. Kejayaan membelasah Stuttgart 4-0, memberikan lebih kemanisan kepada pemain terbaik dunia, Lionel Messi yang menjaringkan dua gol.

Inter Milan pula mungkin terpaksa mengharungi cabaran paling sengit untuk pusingan ini. Perlu berhadapan Chelsea seawal pusingan 16 pasukan, mungkin memerlukan sedikit penambahan kekuatan dan faktor 'the special one'. Ternyata mereka memiliki kedua-duanya.

Barisan pertahanan dan penjaga gol Inter yang beraksi mantap, menambahkan lagi keyakinan keseluruhan pasukan. Jose Mourinho juga berjaya menumpaskan Carlo Ancelotti dari sudut taktikal, corak permainan, dan kawalan terhadap pemainnya. Corak permainan Chelsea yang tidak flexible, selain faktor kesilapan pertukaran pemain, dan mentaliti pemain yang mudah tertekan menyebabkan mereka gagal menembusi pintu gol Inter.

Sebuah lagi pasukan yang berjaya melangkah ke pusingan suku akhir ialah CSKA Moscow. Pasukan dari Rusia ini berjaya menumpaskan pasukan dari Sepanyol, Sevilla. CSKA walaupun menjadi antara pasukan yang tidak dijangkakan untuk mara sejauh ini, tetap bagi saya sebuah pasukan yang mempunyai barisan pemain yang hebat.

Dibarisi penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev; kembar seiras yang juga antara pemain utama Rusia, Aleksei dan Vasili Berezutski; bintang utama mereka, Milos Krasic; dan penyerang berbahaya, Tomas Necid; CSKA berjaya mengatasi saingan daripada Sevilla.

Saingan pusingan 16 pasukan ini yang telahpun disudahkan pagi semalam (waktu Malaysia), bakal disimpulkan kepada 8 pasukan yang diundi sesama mereka pada hari esok (Jumaat). 8 pasukan ini bakal membentuk saingan pusingan suku akhir. Perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, Mei ini.

No comments: