Thursday 1 April 2010

Perginya Seorang Pakar Lawak

Gambar ehsan mstar.com.my

Din Beramboi meninggal dunia

02/04/2010 1:50am

KUALA LUMPUR 2 April - Pelawak popular dan penyampai radio Era, Mior Ahmad Fuad Mior Badri meninggal dunia di Hospital Selayang, lewat malam tadi.

Allahyarham yang dikenali sebagai Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) pukul 12.30 malam.

Menurut adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarham kecuali ayahnya yang tidak dapat hadir.

Katanya, Allahyarham meninggal dunia akibat demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi.

‘‘Jenazah abang saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong di sini sebelum solat Jumaat,’’ katanya ketika ditemui di hospital itu, malam ini. - Utusan


Innalillahi wa inna'ilaihiraji'un. Mendengarkan khabarnya jatuh sakit sehingga koma sahaja sudah begitu mengejutkan saya. Inikan pula berita yang baru saya terlintas baca di Buletin Awani ulangan jam 2 pagi tadi. Tajuk utama berita yang dikeluarkan di bahagian bawah skrin menyatakan bahawa Allahyarham sudahpun kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 pagi tadi.

Saya sejujurnya amat meminati individu ini sebagai seorang penghibur tulen. Allahyarham mampu melakukan lawak spontan dalam keadaan apa sekalipun, sewaktu hayatnya.

Kebetulan pula minggu lalu saya begitu asyik meluangkan masa sepanjang waktu tengah malam hingga awal pagi dengan menonton rancangan terbitan Astro Warna, iaitu Spontan menerusi laman Youtube. Saya tidak melanggan pakej Mustika. Oleh itu saya tidak dapat mengikuti rancangan komedi ini di televisyen.

Sehingga hari Sabtu lalu, saya hanya sempat menonton Spontan dari episod pertama hingga episod ke-13. Saya begitu mengagumi bakat Allahyarham dalam berkomunikasi dengan penonton, dan juga rakan pentas. Aksinya sangat bersahaja.

Saya mengenali nama besar dunia komedi negara ini sejak dari usia muda lagi. Saya tidak ingat tahun itu. Tapi apa yang masih terpahat dalam ingatan saya, mungkin sampai bila-bila, ialah suara seorang insan dengan begitu bersahaja menyampaikan pantun lawak di corong radio. Pernah juga kami rekodkan ke dalam kaset (yang sudah hilang).

Ketika itulah nama Din Beramboi mula menjadi bualan rakan-rakan sekolah saya. Malah lawak-lawaknya juga turut menjadi ikutan untuk menghibur sesama rakan sekolah.

Diam buat beberapa ketika (mungkin saya yang tidak mengikuti perkembangannya), gelagat pelawak tersohor negara ini muncul kembali mengaktifkan kotak ketawa saya ketika Allahyarham bersama Afdlin Shauki dan Harith Iskandar di dalam Ah-Ha.

Kemunculannya di stesen radio Era mengembalikan seribu nostalgia. Suara yang sama muncul kembali di corong radio (kali ini bersama Aznil), tapi dengan lawak genre baru. Harus mengikuti arus perkembangan industri, Din kurang berpantun dan lebih banyak berinteraksi dengan Aznil, dan juga pemanggil.

Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham. Takziah juga saya ucapkan kepada industri hiburan tanah air yang kehilangan seorang lagi penghibur tersohor. Din Beramboi, ikon lawak Malaysia. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan beriman.

No comments: