Monday 8 March 2010

Lebih Bebas Daripada Biasa



Saya berada di Singapura ketika Majlis Kepimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat mengesahkan pemecatan YB Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin daripada parti. Berita tersebut hanya dapat saya akses pada hari Isnin (8 Mac 2010) kerana tiada connection di luar negara, selain tidak berkesempatan untuk mengikuti perkembangan berita tempatan apabila tiba di Johor kerana keletihan berjalan.

Zul sebenarnya sudah awal-awal lagi menyatakan instinctnya sebagai seorang peguam berpengalaman berkenaan kes ini. Beliau menyatakan kebimbangan betapa berkemungkinan besar konspirasi yang sudah disusun penghabisan kisahnya. Firaun-firaun kecil yang mempunyai tangan dalam menarikan boneka MPP PKR mengikut rentaknya, sudahpun seawal mungkin mahu memastikan Zul-empat-kulim ini dipecat dari parti.

Selepas disahkan bahawa tuntutannya berkenaan barisan panel Lembaga Disiplin yang perlu dihadapnya ditolak mentah-mentah, kini keputusan yang sudah dijangkakan itu menguatkan lagi spekulasi betapa PKR semakin 'bertangan'. Mana tangan-tangan yang bersembunyi itu? Siapakah firaun-firaun kecil yang hebat itu? Begitu hebatnya sekumpulan manusia ini sehinggakan dinyatakan gelaran tersebut pada setiap post Zul dalam blognya.

Zul tampak begitu geram dan berdendam dengan geng firaun kecil ini. Kita sebagai pemerhati, begitu yakin tak lama lagi akan terdedahlah senarai nama The Pharaohs. PKR sebagai tempat berlindung Zul selama lebih 10 tahun kini langsung tidak menghargai khidmatnya. Malah kini pemimpin yang tidak termasuk dalam senarai The Pharaohs, turut sama mendesak Zul melepaskan kawasan parlimennya.

Percubaan Zula untuk berjuang dari dalam telah digagalkan oleh segolongan manusia yang takutkan Islam. Saya pasti Zul seorang yang bijaksana dalam membuat keputusan. Sama ada memilih untuk mengekalkan kerusi tersebut, ataupun membebaskannya dan kembali bertanding untuk membuktikan pengaruhnya, itu terpulang di atas percaturan beliau dan penasihat-penasihatnya. Bagi saya, kedua-dua kutub pilihan itu tetap ada baik buruknya.

Yang pasti, kini beliau sudah separuh bebas. Belum pasti blok mana akan dipilihnya. Walaupun memilih untuk kekal bebas, namun tetap juga perlu memilih dalam setiap usul di Dewan Rakyat. Warnanya perlu jelas. Datuk Ibrahim Ali yang merupakan seorang MP bebas, memilih untuk berjuang dalam nada Melayu dan Islam. Saya fikir Zul boleh menuruti langkah Datuk Ibrahim sekiranya beliau belum bersedia untuk mendaftar di mana-mana parti.

Berhubung dengan parti barunya, saya fikir Zul bakal menghadapi dilema yang berpanjangan. Tidak banyak pilihan yang beliau ada. Hanya ada dua parti besar yang menjunjung perjuangan miripnya, iaitu parti Islam dan UMNO. Itu saja. A atau B. Nampak mudah, tapi bagi empunya diri, dia lebih sanggup untuk 'menduda' daripada tersalah pilih 'pasangan'.

Ramai yang melihat parti Islam sangat dekat dengan Zul. Perjuangannya digambarkan seperti cerminan kepada parti Islam di dalam PKR. Malah ada laporan menyatakan bahawa Zul pernah menjadi ahli parti Islam suatu ketika dulu sebelum menyertai rusuhan reformasi. Saya tak pasti kesahihan laporan ini. Namun, kisah u-turn Zul ke parti Islam turut dilaporkan beberapa blogger PKR.

Tapi saya yakin Zul lebih kenal siapa parti Islam. Zul lebih maklum corak politik dan perjuangan sebenar parti Islam ini sepanjang berkerjasama dengan mereka dalam pakatan. Tiada sokongan dari parti ini ketika Zul diasak dan ditekan berhubung keutuhan pegangannya terhadap apa yang diperjuangkannya. Parti Islam ini langsung tidak menunjukkan minat untuk menghulur bantuan mahupun sokongan kepadanya.

Tetapi, sejurus sahaja beliau dipecat, parti Islam ini dengan tidak semena-mena menghubungi Zul untuk suatu 'kekosongan jawatan'. Tak perlu hantar CV, tak perlu hadiri temuduga, tak perlu juga susah-susah tunggu panggilan telefon daripada HR.

Saya cuba meletakkan diri saya pada kedudukannya. Bagaimana saya ingin memilih parti ini sedangkan saya yang membuat laporan polis berkenaan kenyataan pemimpin parti ini, YB Khalid Samad yang disifatkan menghina Islam. Saya juga turut membayangkan, walaupun memilih untuk bersama parti Islam, namun saya tetap perlu untuk berkerjasama dengan rakan sepakatan, termasuklah Anwar, The Pharaohs, dan Lim Guan Eng. Ada beza?

Bagaimana pula dengan UMNO? Zul masih tetap benci pada UMNO. Tidak tahu apa puncanya. Mungkin saya perlu untuk study lebih lagi berkenaan sejarah YB ini. Namun, tahap kebenciannya pada UMNO ketika ini tampak semakin kurang jelas. Sama ada atas kesedaran dirinya, ataupun sekadar untuk meminta tempat berteduh untuk sementara waktu. Setakat ini UMNO Kulim Bandar Baru memberikan huluran persahabatan yang baik, iaitu bersedia untuk menyediakan sebuah pusat khidmat ahli parlimen untuknya.

Saya sedia memerhatikan perkembangan lanjutan berkenaan status individu hebat ini.

p/s: blom ade mood nk crite pasal vacation kt oversea (singapore).

5 comments:

FataMorgana said...

x ada beza... sama je pharaoh2 tu...

Sir Shah said...

at least the real pharaohs berhasil mencipta nama dan tamadun suatu ketika dulu. pharaohs pkr ini hanya mampu menjatuhkan seorang pejuang Islam semata2 utk menyelamatkan kedudukan mereka di dlm parti. xgi jauh pun.

kesian wan azizah. kena jadi kuda tunggangan the pharaohs.

FataMorgana said...

cuba baca taiping mali punya blog.. ada lebih detail..

Srikandi said...

Zul tidak mahu masuk UMNO kerana UMNO tidak memberi kebebasan bersuara kepada ahlinya. Semua harus mengikut telunjuk ketua. Lagipun parti tersebut diterajui oleh pemimpin yang kurang islamik. Namun, dalam keadaan sekarang, ada baiknya Zul bernaung di bawah UMNO bagi memudahkannya membuaat kerja untuk kawasan yang diwakilinya. Sy kasihan akan Zul yang keseorangan ditohmah oleh PAS dan PKR. Kalau dia ada rakan, sekurang2nya dia lebih kuat dalam menghadapi tohmah dan fitnah itu.

Sir Shah said...

bagi sy, zul boleh berdakwah di dlm umno. menambah warna Islam di dlm umno. umno ada wadah utk perjuangkan Islam. cuma pemainnya gagal membawakan wadah ini dengan berkesan. sy rasakan zul mampu menampung apa yg tiada dlm umno. dia boleh stand up di antara pemimpin2 senior umno.

pakatan sebenarnya maklum akan pengaruh dan sumbangan YB zul. besar. beliau bukan calang2 YB. beliau juga bukan jenis yg menggemari retorik utk publisiti.