Saturday 13 March 2010

Hari Yang Istimewa


Ketika saya sibuk melayari internet pada pagi semalam, telefon bimbit ayah berbunyi. Telefonnya berada di ruang tamu. Semua sudah lena diulit mimpi, sedang saya seorang saja yang masih berjaga. Maka sayalah individu yang perlu menjawab panggilan tersebut.

Lebih tepat lagi, panggilan masuk jam 4.05 minit pagi. Nama yang tertera sebagai pemanggil ialah sepupu saya, Kak Ita. Dalam hati saya terdetik, apa halnya Kak Ita hubungi ayah pada waktu begini? Kemudiannya baru saya teringat, Kak Ita sedang sarat mengandung. Mungkin dia memerlukan bantuan.

Betul tekaan saya. Kak Ita sedang kesakitan, dan memohon kami menghantarnya ke hospital. Dia ketika itu berada di rumah keluarganya di Cheras. Sedang saya berada di Keramat. Jarak perjalanan kira-kira 12 kilometer. Jarak masa bagi jarak perjalanan sedemikian ialah sekitar 20 minit.

Kami terus bertolak. Ibu dan ayah turut ikut. Misi kami ialah untuk sampai ke destinasi secepat mungkin dan menghantar Kak Ita ke hospital terdekat, iaitu HUKM. Kami tiba jam 4.30 pagi, dan terus ke HUKM selayaknya kenderaan ambulan.

Setelah selesai urusan di hospital, dan Kak Ita pun sudah ditempatkan di wad, kami pun segera pulang.

Jam 3 petang, kami mendapat panggilan dari Mak Lang (ibu Kak Ita). Dia memaklumkan Kak Ita sudahpun selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Kami sekeluarga segera ke HUKM untuk melawat 'orang baru'.

No comments: