Wednesday 1 July 2009

Rekod Dunia Perpindahan Pemain

Satu dunia kini sedia maklum berkenaan perpindahan pemain terbaik Fifa 2008, Cristiano Ronaldo dari kelab terdahulu iaitu Manchester United ke Real Madrid. Perpindahan yang mencatat yuran perpindahan tertinggi selepas 8 tahun Zinedine Zidane mengekalkan rekod yuran perpindahannya.

Real Madrid dijangka selesai membayar sepenuhnya yuran perpindahan berkenaan pada hari semalam. Tetapi persoalan yang mungkin berbangkit, adakah nilainya setinggi itu? Adakah pelaburan Real Madrid untuk seorang pemain ini berbaloi? Atau hakikat betapa mereka sengaja membawa masuk pemain-pemain terkemuka dan ternama ini semata-mata untuk nilai komersil kelab?

Di England sebagai contoh, kelab-kelab terkemuka mereka selain United setakat 4 tahun kebelakangan gagal meraih sebarang kejuaraan besar. Kelab-kelab seperti Arsenal, Chelsea dan Liverpool ternyata tidak mampu untuk menjana pendapatan kelab menerusi kemenangan kejuaraan. Tetapi kenyataannya, mereka masih mampu meraih pendapatan lumayan menerusi aset komersil dan tiket perlawanan.

Mungkin ini yang masih digunapakai oleh Real Madrid sejak era Galacticos yang pertama dulu. Pelaburan besar-besaran untuk membeli pemain-pemain seperti Luis Figo, Zidane, Ronaldo, David Beckham, Ruud van Nistelrooy, Fabio Cannavarro, Michael Owen, dan ramai lagi ternyata hanya memberikan kejayaan yang sedikit.

Era Galacticos yang pertama hanya gah pada awal eranya sahaja. Tetapi sejak kemasukan pembelian 'hebat' Beckham, mereka menghadapi kesukaran dalam merangkul kejuaraan-kejuaraan utama. Pada akhir era Beckham, iaitu ketika di bawah pengurusan Fabio Cappelo barulah kejuaraan liga kembali ke Real. Itu pun setelah Beckham mula tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Era Galacticos yang terbaru ini cuba dibangunkan semula oleh presiden baru Real, Florentino Perez. Beliau melihat peluang pelaburan yang baik di saat krisis ekonomi yang melanda dunia ini. Orang ramai mula takut membuat pelaburan-pelaburan besar. Sebaliknya beliau melihat inilah peluangnya untuk menyerlah dalam pasaran ekonomi.

Selepas pembelian 'hebat' Ronaldo, Real Madrid terus menerus memburu pemain-pemain hebat yang lain. Antara yang sudah pun berjaya dibeli ialah Kaka. Dan masih dalam pemburuan setakat tarikh 2 Julai 2009 adalah Carlos Tevez, David Villa, Zlatan Ibrahimovich, Franck Ribery, Maxwell, dan beberapa lagi nama besar.

Apapun yang cuba dilakukan, siapapun yang bakal dibeli, saya ucapkan selamat berjaya kepada Real Madrid.

No comments: