Semalam, 28hb Januari 2010, heboh di akhbar, terutamanya di bahagian sukan memperkatakan tentang 'kehadiran' piala keagungan dunia bolasepak, iaitu FIFA World Cup Trophy, ke Malaysia. Piala tersebut akan dipertontonkan kepada rakyat Malaysia bermula hari ini di Midvalley Megamall, dengan tiket tertentu.
Apa yang menarik untuk diperkatakan di sini ialah kenyataan dari Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berhubung ketibaan piala tersebut ke Kuala Lumpur. Beliau menyatakan betapa FAM berharap untuk pasukan Malaysia bermain di Piala Dunia. Hebat impian tersebut. Tapi hakikatnya setiap kali muncul musim Piala Dunia, maka dengan itu muncullah idea dari FAM untuk memperkatakan mengenainya. Apakah rancangan FAM hanya bermusim? Atau FAM tidak ada perancangan langsung, atau tidak tahu apa-apa tentang bolasepak dunia, justeru apabila cakap-cakap tentang Piala Dunia berkumandang, maka mereka juga mahu turut memperkatakannya.
Itulah bolasepak di Malaysia. Hanya bermusim. Bila perlawanan sesama 'big four' BPL berlangsung, maka waktu itulah mereka berebut-rebut untuk menyatakan sokongan terhadap pasukan-pasukan terkenal. Bila tiba perlawanan akhir Sukan Sea, Piala Malaysia, Liga Juara-juara Eropah, barulah masing-masing berhajat untuk menyaksikannya live di televisyen. Semuanya bermusim. Kemudian, mereka akan mengatakan bahawa merekalah peminat bolasepak, atau menyalak mengatakan bahawa bolasepak adalah sukan 'utama' di Malaysia.
Apakah Malaysia menerusi FAM tidak mahu membentangkan langkah yang lebih praktik, dan paling produktif untuk membawa Malaysia keluar dari kedudukan buruk di ranking dunia?
Perancangan pembangunan bolasepak di peringkat remaja di Malaysia ketika ini diletakkan di bahu Kementerian Pelajaran Malaysia. Sejauhmana keseriusan kementerian ini dalam meneruskan tugas yang sepatutnya digalas FAM atau persatuan bolasepak negeri?
Baru tiga hari lepas saya berhasil menonton filem Indonesia berjudul 'Garuda Di Dadaku'. Filem yang berkisar tentang impian seorang kanak-kanak untuk beraksi untuk negaranya dalam dunia bolasepak. Perjalanan yang dikisahkan dalam filem ini lebih menjurus kepada pembangunan bolasepak di Indonesia, yang ternyata sangat-sangat mirip dengan apa yang berlaku di Malaysia.
Kehadiran beberapa kelab bolasepak Eropah, terutama dari England, untuk membuka akademi bolasepak di Malaysia seperti pencerahan terhadap dunia bolasepak Malaysia. Semoga terlepas dari kepompong 'syok sendiri' yang sekian lama membelenggu. Walaupun kos yuran kemasukan yang dikenakan agak mahal, dan mungkin juga penapisan bakat yang dibuat agak ketat, namun sekurang-kurangnya masyarakat di Malaysia mempunyai saluran untuk memperkembangkan bakat anak-anaknya dalam bolasepak.
Selain akademi bolasepak ini yang terlihat lebih efektif melahirkan pemain-pemain yang baik, masyarakat Malaysia hanya bergantung kepada sekolah dalam membangunkan potensi anak mereka. Sejauhmana pula sekolah memberikan perhatian terhadap sukan? Melainkan sekolah sukan, sekolah-sekolah harian biasa hanya memberikan sedikit ruang terhadap sukan di peringkat remaja. Tumpuan terhadap prestasi akademik adalah segala-galanya bagi para pengetua sekolah. Justeru, pemikiran berbentuk 'sukan itu tidak lebih sekadar bermain', masih tinggal di dalam benak akal orang-orang tua ini.
Maka, ke mana lagi jalan yang terbaik buat anak-anak Malaysia untuk membangunkan potensi bolasepak mereka? Apa gunanya penganalisa-penganalisa yang berkerja untuk FAM? Apa gunanya profesor-profesor yang berkhususan sains sukan di Malaysia? Apa kerja yang dibuat oleh ahli-ahli jawatankuasa di setiap persatuan bolasepak negeri? Tahniah andai ada di antara persatuan negeri yang sudah pun memulakan langkah drastik membangunkan bolasepak di peringkat remaja. Maaf andai ada yang saya terlepas pandang.
Tahniah juga buat TV3 yang terus-terusan berhasil dengan jayanya mengambil alih tugas FAM dan persatuan negeri dalam mencari bakat terbaik dalam bolasepak di kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menerusi program Soccer Kids. Walaupun ianya hanyalah sekadar sebuah realiti televisyen, namun usaha sebegini murni cukup untuk memberi ruang kepada anak-anak muda untuk melibatkan diri dalam bolasepak secara lebih serius, berbanding program-program rempit, bohsia, jalang dan sealiran dengannya yang dianjurkan oleh pengarah-pengarah hebat tanah air.
No comments:
Post a Comment