Tuesday, 12 January 2010

Di Mana Mereka? -Edisi Bekas Pengurus Kelab BPL-

Barclay's Premier League terkenal sebagai salah satu liga bola sepak paling menarik di dunia. Kelebihan yang dimiliki oleh liga ini adalah dari segi populariti kelab, tahap cabaran setiap perlawanan, corak permainan yang pelbagai, dan personaliti yang terlibat.

Bagi setiap kelab dalam liga ini, cita-cita atau ekspektasi kelab adalah segala-galanya. Tidak kiralah di mana kedudukan atau kekuatan sesebuah kelab. Ekspektasi yang diletakkan di awal musim, perlu dicapai tanpa pengecualian. Malah kadangkala juga, tidak sampai pertengahan musim lagi, ekspektasi ini akan disemak dan persembahan semasa pasukan menjadi titik penanda pencapaian.

Hasil daripada semak pencapaian semasa ini, andainya sesebuah pasukan tidak mencapai ekspektasi semasa board of directors, maka mangsanya sudah pastilah pengurus pasukannya. Pengurus pasukan adalah individu yang bertanggungjawab sebagai pengendali kelab dari aspek pasukan dan keperluan kelab. Malah ada juga di antara pengurus yang turut bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan kelab.

Apabila pengurus pasukan sesebuah kelab ditamatkan kontrak, atau meninggalkan kelab dengan kerelaan bersama, ada di antara mereka yang terus meninggalkan karier pengurusan kelab. Ada juga di antara mereka yang keluar mencari peluang di kelab-kelab dari negara lain. Oleh yang demikian, saya akan memaparkan serba sedikit kisah dan hala tuju beberapa bekas pengurus kelab-kelab Barclay's Premier League yang semakin dilupakan.

Chelsea:

Gianluca Vialli (dipecat tahun 2000) - Kini masih lagi bertugas sebagai pengulas sukan di sebuah stesen TV. Vialli ketika ini (12 Januari 2010) dilaporkan menolak jawatan pengurus pasukan yang ditawarkan kepadanya oleh Juventus, selepas kelab tersebut memecat pengurus Ciro Ferrara. Vialli juga kebelakangan ini kerap kali dikaitkan dengan beberapa buah kelab, baik dari Itali, mahupun dari England.

Claudio Renieri (letak jawatan 31 May 2004) - Tahun-tahun selepas meninggalkan Chelsea, Renieri beberapa kali bertukar kelab. Antara kelab-kelab yang pernah diuruskannya selepas meninggalkan Chelsea, termasuklah Valencia (hanya 8 bulan - dipecat), Parma (hanya 3 bulan - tamat kontrak) dan Juventus (2 musim - dipecat). Sekarang (13 Januari 2010), Renieri menguruskan kelab AS Roma. Ketika ini Roma menduduki tangga kelima liga dan masih bersaing dalam UCL di pusingan kalah mati.

Jose Mourinho (letak jawatan 20 September 2007) - Tahun pertamanya dengan Chelsea, Mourinho berjaya membawa trofi BPL ke kelab tersebut pertama kali sejak 50 tahun. Tahun keduanya, beliau berjaya melakukannya sekali lagi. Namun tahun berikutnya beliau gagal memenanginya. Selepas meninggalkan Chelsea pada 2007 (selepas pertelingkahan dengan pemilik kelab), Mourinho membawa kejayaan liga pada tahun pertamanya bersama Inter Milan. Inter ketika ini juga sedang mendahului liga.

Luiz Felipe Scolari (dipecat 9 Februari 2009) - Selepas dipecat Chelsea, Scolari tetap tinggal di London untuk beberapa ketika. Pada 8 Jun 2009, Scolari dilantik pengurus kelab Uzbekistan, Bunyodkor, sekaligus bergabung dengan bekas pemain terbaik dunia, Rivaldo sebagai pemain.

Liverpool:

Gerard Houllier (letak jawatan 24 May 2004) - Setahun selepas meninggalkan Liverpool, Houllier pulang ke Perancis untuk bersama Lyon. Beliau berjaya membawa kejuaraan liga domestik ke Lyon buat dua tahun berturut-turut, namun tetap meninggalkan kelab tersebut selepas pertelingkahan dengan pengerusi kelab. Terkini, beliau akan menjadi tenaga pengajar bagi sebuah program yang akan diadakan di Kuala Lumpur, AFC Elite Education Seminar pada 22 Januari nanti.

Tamat siri pertama. Siri berikutnya akan disusuli dengan kisah-kisah terkini bekas pengurus dari kelab-kelab seperti Manchester City, Tottenham Hotspur, Aston Villa dan lain-lain.

No comments: