Sunday, 31 January 2010

Pergi Johor, Balik Hari

Malam kelmarin, iaitu hari Sabtu malam Ahad, kami sekeluarga merancang untuk melawat keluarga pakcik di Johor Bahru. Pakcik saya, iaitu adik kepada ayah saya, seorang penjawat polis bergaji sederhana, kini sedang menanggung anak kecil yang sakit. Anaknya itu memerlukan perhatian yang rapi dan sangat-sangat sensitif terhadap banyak elemen.

Maka, keesokan harinya, selepas jamah sedikit kuih yang dibeli di Chow Kit, kami sekeluarga segera bertolak keluar rumah pada jam 1 tengah hari. Ayah memandu untuk sesi pertama, iaitu untuk separuh perjalanan. Garmin di telefon bimbit saya digunapakai. Bukan untuk memandu arah, sebaliknya untuk mengesan perangkap kelajuan polis. Maafkan kami, polis. Kami perlu cepat sampai.

Tiba di Hentian R&R Paloh, kami mendapatkan sedikit jamahan. Saya beli nasi ayam muar dan minuman hot white coffee, untuk mengisi perut dan hilangkan mengantuk. Saya tak cukup tidur malam tadi. Namun tetap juga berkeras untuk menggantikan posisi ayah sebagai pemandu kerana dia sudah letih memandu kira-kira 160 km perjalanan. Maka saya pula memegang stereng buat perjalanan selebihnya.

Kami tiba di Plaza Pelangi, kira-kira jam 4.30 petang, dan disambut oleh pakcik. Pakcik mengemudi perjalanan kami ke rumahnya, memandangkan ayah sudah lupa jalan ke sana. Terlalu lama tidak datang menjenguknya di Johor. Setiba di rumahnya, kami dihidangkan air teh 'o' dan rojak yang sedikit asing bagi saya. Kuah kacangnya seperti biasa. Intinya ada tauhu, kuih udang, kentang, dan kuih berwarna hijau.

Kami berborak panjang dengan keluarga pakcik, memandangkan sudah lama tidak bersua. Dulu pakcik pernah buat kerja part-time, melukis potret pengujung di Danga Bay. Itu dulu. Kini tempat bertamu segala jenis manusia itu sudah berubah wajah. Banyak pengubahsuaian dilakukan, sehinggakan tempat yang dulunya menjadi lokasi pakcik berurusan dengan pelbagai wajah, kini sudah menjadi suatu tempat yang begitu eksklusif. Terdapat banyak restoran antarabangsa, yang sudah tentu non-halal kerana menyajikan minuman alkohol, serta bot-bot peribadi separa mewah berlabuh.

Selesai urusan di Johor, kira-kira jam 6 petang, mungkin lebih sedikit, kami beransur pulang. Saya memandu dari rumah pakcik ke Hentian R&R Simpang Renggam. Kemudiannya digantikan ayah, memberikan peluang untuk saya lelap seketika di bangku belakang. Sukar untuk lelap memandangkan bunyi enjin kereta yang kuat, serta permukaan jalan di lebuhraya dalam negeri Johor yang sudah tidak rata dek belasahan ribuan lori kontena, lori kecil dan sederhana, lori tangki, bas, dan segala gergasi bertayar yang bergerak keluar masuk negeri berkenaan.

Akhirnya saya terlelap juga, hasil keredupan cahaya bulan yang meneduhi perjalanan kami waktu malam. Jalan keluar dari Johor tidak sesibuk jalan bertentangannya. Mungkin orang ramai mula beransur pulang ke rumah setelah bercuti Thaipusam dan hujung minggu. Mereka berpusu-pusu, dalam keadaan jalan yang dipenuhi kenderaan, terpaksa bersabar, dan mungkin lewat sampai rumah, sekaligus mengganggu semangat mereka untuk mula berkerja esok.

Saya pula di jalan sebelah sini, sudah lelap sambil teling disumbat earphone, bukan untuk mendengar muzik, tetapi hanya sekadar untuk mengurangkan bunyi-bunyian yang boleh mengganggu tidur. Saya terjaga ketika kereta beransur perlahan untuk berlabuh di parking Hentian R&R Ayer Keroh. Puas tidur. Kami singgah di medan selera R&R yang unik ini. Konsep dan suasananya agak berbeza berbanding R&R lain. Saya memilih chicken chop dan hot white coffee di sudut kopitiam.

Selesai makan, saya menggantikan tempat ayah untuk perjalanan seterusnya. Garmin tidak digunakan pada perjalanan pulang kerana bateri telefon bimbit saya sudah habis. Maka, saya terpaksa memandu secara berhemah, menurut had laju yang ditetapkan. Sehingga melepasi susur keluar ke Seremban, jalan sudah dipancari ribuan lampu brek kenderaan. Jalan sesak teruk. Trafik tak bergerak. Seketika, sedikit demi sedikit, padel minyak ditekan. Jalan kaki lebih laju dari aliran trafik di lebuhraya waktu itu.

Lama juga tersangkut dalam aliran perlahan ini. Berbangkit juga persoalan tentang punca kesesakan ini. Kalau benarpun orang pulang ke Kuala Lumpur dari bercuti, mana logiknya kesesakan tersebut menjalar sehingga ke Seremban. Jauh sangat tu. Lagi pula, esok (Isnin) orang-orang KL masih bercuti. Mana mungkin ramai yang sudah bersedia untuk pulang hari Ahad.

Lambat-lambat, akhirnya pada satu titik kilometer di lebuhraya PLUS itu, tiba-tiba aliran menjadi begitu lancar. Sangat-sangat lancar. Lebih kurang selepas Hentian R&R Nilai. Pelik juga. Apa yang mendorong aliran yang tadinya begitu perlahan, sesak, menjadi sebegitu lancar dan pantas? Saya tiada jawapan. Yang penting, saya harus cepat sampai rumah. Semoleknya, sebelum perlawanan BPL antara Arsenal dan Manchester United bermula.

Alhamdulillah, kami selamat sampai ke destinasi pada jam 11.30 malam. Penat mungkin, rehatnya di hadapan televisyen, mengadap perlawanan bola. Hilang sedikit penat. Terus saya mengadap komputer, buat titipan kisah "Pergi Johor, Balik Hari". Untuk lebih radikal, kami sekeluarga malah pernah juga pergi ke Alor Setar, bertolak petang, dan balik ke KL di tengah malam buta. Huh.

No comments: