Wednesday, 13 January 2010

Di Mana Mereka? -Edisi Bekas Pengurus Kelab BPL 2-

Tottenham Hotspur

Jaques Santini (letak jawatan 5 November 2004) - Penglibatan bekas jurulatih kebangsaan Perancis ini di Spurs hanya untuk 13 perlawanan sahaja. Krisis perletakan jawatannya ini dikatakan akibat pertelingkahan dengan pengarah kesukanan (sporting director) kelab, Frank Arnesen. Tahun berikutnya, beliau menyertai kelab Perancis, AJ Auxerre. Namun, pada tahun 2006 Santini dipecat akibat krisis dengan timbalan presiden kelab. Pada tahun 2008, Santini dilaporkan menolak tawaran daripada kelab Hearts, negara Camaroon, Iran, dan Tunisia. Pada tahun 2009 pula, beliau menolak tawaran dari kelab Mesir, Zamalek. Tiada perkembangan terbaru tentang Santini dilaporkan ketika ini.

Martin Jol (dipecat 25 Oktober 2007) - Jol adalah antara pengurus yang paling dekat di hati penyokong Spurs dekad ini. Untuk musim 2008/2009, Jol mengurus kelab Jerman, Hamburg. Selepas hampir 10 tahun, akhirnya Hamburg berjaya meletakkan diri sebagai pesaing kejuaraan liga. Musim tersebut ditamatkan dengan Hamburg berada di tangga kelima liga dan layak ke Europa League. Pada musim berikutnya, Jol berhijrah ke AFC Ajax. Ketika ini Ajax berada di tangga ketiga liga.

Juande Ramos (dipecat 25 Oktober 2008) - Hanya 2 bulan selepas dipecat, Ramos mendapat tawaran dari kelab yang lebih besar, iaitu Real Madrid. Walaupun berjaya mengembalikan keyakinan pemain, dan persembahan yang baik, namun Real tetap gagal memintas Barca di penghujung musim, dan tamat musim di tangga kedua liga. Kontraknya tamat di penghujung musim tersebut. Pada September 2009, Ramos memilih untuk bersama kelab Rusia, CSKA Moscow. Tetapi jodoh Ramos bersama CSKA hanya bertahan selama 47 hari sahaja. Terkini, beliau dilaporkan sedang dirisik oleh kelab Sepanyol, Real Betis. Keputusan masih belum diambil.

Manchester City

Kevin Keegan (bersara 10 Mac 2005) - Keegan mengumumkan untuk bersara selepas selesai musim 2004/2005. Berikutnya, beliau berkerja di sekolah bolasepak 'Soccer Circus' di Glasgow. Pada 16 Januari 2008, Keegan membuat kemunculan mengejut untuk menguruskan kelab kesayangannya, Newcastle United. Pada September 2008, Keegan bebas dari kelab tanpa keterangan yang jelas sama ada meletak jawatan, ataupun dipecat. Permasalahan yang timbul pada ketika itu ialah berkenaan polisi yang dibuat oleh pemilik kelab, Mike Ashley. Pada Februari 2009, Keegan menambah 3 mata terhadap lesen memandunya selepas dikesan memandu melebihi had laju, menjadikan jumlahnya 12 mata dan mengakibatkan lesennya digantung selama 6 bulan. Pada Ogos 2009, Keegan secara rasminya menjadi pengulas bolasepak buat stesen TV ESPN.

Stuart Pearce (dipecat May 2007) - Selepas dipecat oleh City gara-gara keputusan penamat musim yang buruk, Pearce meneruskan tugasnya sebagai jurulatih Bawah-21 England. Menariknya, pasukan ini beraksi dengan baik di bawah pengurusan Pearce, sehingga khidmatnya terus ditagih oleh ketua jurulatih pasukan senior, Fabio Capello, sehingga sekarang.

Sven-Goran Eriksson (letak jawatan 2 Jun 2008) - Walaupun berjaya memecahkan beberapa rekod kelab, namun Eriksson terpaksa juga melepaskan jawatannya selepas City hanya berada di tangga ke-9 pada penghujung musim 2007/2008. Sehari selepas menamatkan kontrak bersama City yang masih berbaki 2 tahun, Eriksson mengikat kontrak bersama pasukan kebangsaan Mexico. Pada April 2009, selepas pasukannya tumbang kepada Honduras di pusingan kelayakan Piala Dunia, Eriksson terus dipecat. Pada 22 Julai 2009, Eriksson dilaporkan menerima tawaran kontrak dari kelab Notts County sebagai pengarah bolasepak.

Mark Hughes (dipecat 19 Disember 2009) - Selepas hanya memenangi 2 daripada sebelas perlawanan, Hughes dikatakan gagal memenuhi tuntutan kejayaan yang telah disyaratkan. Pemilik City telah melabur jutaan wang buat pembelian pemain pada jangka waktu pengurusan Hughes, namun beliau gagal mencapai sebarang kejayaan. Maka, pemecatan yang dikatakan sebagai kontroversi tetapi munasabah ini telah disepakati oleh lembaga pengarah kelab. Terkini, Turki berminat untuk mendapatkan khidmat Hughes sebagai pengendali pasukan kebangsaan.

No comments: