Saturday, 23 January 2010

Filem Keagamaan Indonesia

Saya mungkin seorang yang terlalu obses terhadap hasil seni dari negara jiran, Indonesia. Baik dari sudut muziknya, filemnya, mahupun novelnya. Terbaru, saya telah berhasil menonton tiga (3) buah filem hebat dari Indonesia yang langsung tidak mendapat ruang tayangan di Malaysia. Malah DVD juga tidak terjual di sini. Maka, saya hanya mampu menontonnya menerusi Youtube.

Filem pertama yang saya tonton ialah filem hasil adaptasi novel yang menjadi fenomena di seluruh pelusuk Indonesia. Novel berbentuk keagamaan, karya Habiburrahman El Shirazy ini adalah novel dwilogi. Tajuknya Ketika Cinta Bertasbih. Kedua-dua siri novel ini saya telah baca dalam bahasa Indonesia menerusi e-book. Buku-buku karya Pak Habiburrahman ini yang lainnya telah saya beli, seperti Ayat-ayat Cinta, Dalam Mihrab Cinta, dan Di Atas Sejadah Cinta (himpunan cerpen). Saya memang peminat karya Kang Abik.

Berkenaan filem Ketika Cinta Bertasbih 1, ternyata Kang Abik belajar dari kesilapan dan kritikan peminat terhadap filem Ayat-ayat Cinta. Filem KCB 1 ini telah ditayangkan pada Jun 2009, di 8 buah negara (kecuali Malaysia). Produksi filem ini dibuat secara besar-besaran di beberapa lokasi di Mesir, dan juga di Indonesia. Berbeza dengan AAC, KCB adalah karya yang lebih jujur, lebih praktikal, dan lebih masuk akal.

Setiap babak yang terpapar di dalam filem KCB boleh dibaca di dalam novelnya, begitu juga sebaliknya. Saya berhasil membaca novelnya terlebih awal sebelum menantikan filemnya itu. Ternyata saya tidak kecewa walaupun hanya dapat menontonnya menerusi Youtube.

Begitu juga dengan KCB 2, sambungan kepada KCB 1 yang diadaptasi menerusi siri kedua dwilogi berkenaan. Keberhasilan produksi dalam membawakan apa saja yang diimaginasikan para pembaca novelnya, sangat-sangat memuaskan. Baik jalan ceritanya, penyampaian emosinya, mahupun pemilihan pelakonnya (casting), semua menepati imaginasi saya terhadap novel tersebut. KCB 2 ditayangkan pada September 2009, juga tidak ditayangkan di Malaysia.

Filem ketiga, yang baru saya tonton subuh kelmarin, adalah filem yang bertajuk Perempuan Berkalung Sorban. Filem ini ditayangkan di Indonesia pada Januari 2009, juga tidak ditayangkan di Malaysia. Filem ini mendapat sentuhan lagu tema dari penyanyi Malaysia iaitu Siti Nurhaliza, bertajuk Ketika Cinta. Siti turut merakamkan klip video untuk lagu ini.

Penceritaan PBS ini agak berat. Isu yang dibawakan juga agak keras, dan mungkin kerana status tersebut membuatkan filem ini tidak dapat ditayangkan di Malaysia. Tapi mungkin juga kerana 'sekatan' atau 'pembatasan' terhadap filem-filem dari seberang yang menjadi amalan badan berkuasa Malaysia membuatkan mana-mana filem berkualiti dari seberang 'diharamkan' di sini. Mungkin. Mereka saja yang tahu.

Merujuk pada wikipedia Indonesia, pada tahun 2009 sahaja, tersenarai 85 buah filem diterbitkan negara berkenaan. Dari jumlah berkenaan, kalau mengikut perkiraan satu bulan satu filem, tidak lebih dari 12 buah filem sahaja yang 'lepas' tayangannya di Malaysia tahun ini. Saya bukanlah minta sehingga kesemua filem, atau filem-filem hantu mereka yang berlambakan itu ditayangkan di sini. Tapi sekurang-kurangnya, filem-filem berunsurkan keagamaan, berunsurkan budi pekerti mulia, dan ajaran yang baik usahlah disekat sama.

Filem berunsur keagamaan yang paling baru dari Indonesia telah ditayangkan pada November 2009. Filemnya bertajuk Emak Ingin Naik Haji. Bunyinya bagi orang Malaysia mungkin agak straight forward. Namun hasil pemerhatian saya terhadap trailernya, kisah yang cuba dibawakan sangat-sangat menyentuh hati.

Filem keagamaan Malaysia pula bagaimana? Muallaf?? Minta maaflah. Sampai ke filem terakhir arahan Yasmin Ahmad, tetap tidak boleh lari dari aspek memperkecilkan bangsa Melayu. Terus terang saya katakan bahawa saya bukanlah peminatnya. Namun begitu, saya tidak ingin membuat sebarang provokasi terhadap mana-mana peminatnya yang membaca artikel ini.

Sejauhmana tertinggalnya industri filem tempatan berbanding industri filem Indonesia? Anda tontonlah filem-filem yang saya nyatakan di atas, kemudian buatlah timbang taranya. Jujur dari saya, kita tertinggal sejauh 5 tahun, sekurang-kurangnya.

4 comments:

FataMorgana said...

mengapa karya dari Indonesia berjaya mencuri tumpuan dan minat kita?

Sir Shah said...

menarik untuk dibincangkan. saya telah membuat pemerhatian terhadap perkara ini utk sekian lamanya. muzik indonesia, seperti juga muzik malaysia, dan mana2 muzik di serata pelusuk dunia, mengalami transformasinya pd ketetapan2 waktu yg tertentu. paling jelas perubahannya ialah dari kalangan kugiran (band).

pada lewat 70-an dan sepanjang 80-an, band2 seperti black dog bone, alleycats, carefree dan flybaits mencipta nama. maaf andai ada lain yg xdisebutkan. mereka muncul dengan membawakan muzik pop, rancak. meskipun ada di antara lagunya kedengaran mellow (mendayu-dayu), tapi susunan muziknya cukup bagus. dapat didengar bunyi dram menentukan beat, dan gitar rithm.

namun bagi saya kemunculan band2 seperti wings, search dan iklim seolah2 memberikan kebenaran buat para pemuzik utk menjadi pemalas. dram diketuk dgn beat yg sgt2 perlahan, slow, dan lembab. lagu yg mendayu-dayu menjadi layu. lemah sgt2 bg pendengarnya. tibe2 bila selesai part choras, lead gitar amik alih dgn gorengan melampau yg berjam2 lamanya. menjela2. tadi dok diam. vokalis plak, kalau tak menjerit tak sah. walaupun lagunya slow ya amat, sampai boleh dicap sebagai kategori balada, tp bila tang memekik tu je, lagu tu terus berikan genre rock. dengar saja lagu sejati (wings), isabela (search), dan bunga emas (iklim). ini lagu2 top mereka. semua layu. balada. permulaan terhadap kejatuhan kualiti muzik malaysia.

masuk era 90-an, muncul band2 yg entah hape2. scoin, spoon, spin, spring, dan segala yg bermula dgn huruf s. belum lagi kira new boyz, dan yg sama waktu dgnnya. masuk mangga, masing2 kena pakai short dok tepi@dalam kolam renang. naik pentas, pegang mic, pegang gitar, main lagu tangkap leleh, tangkap jiwang, dan segala jenis tangkap. ada jugak di antara mereka yg turut tertangkap basah. huh. inilah golongan2 yg membawakan muzik malaysia ke zaman kegelapan. bila masing2 hanya reti main muzik, lagu komposer tolong buatkan. lirik plak penulis lirik tolong tuliskan. bila nak recording, produser terpaksa upah pemuzik club untuk main lagu tu, kecuali suara, vokalis sebenar mereka.

pada pertengahan 90-an, band2 seperti butterfingers, love me butch,pop shuvit, oag, dan flop poppy, cuba mengetengahkan pembaharuan terhadap muzik kita. maaf andai ada yg tak dinyatakan. muzik yg berkualiti, ciptaan dan bawaan mereka sendiri. original. tp malangnya gagal. pembaharuan yg cuba dibawakan tidak kita sambut. itu realitinya. maka, kekallah mereka di dunia indie, atau pada waktu tu dikenali sbg underground. mereka cuba untuk menunjukkan bahawa industri tidak menyokong pembaharuan muzik, dan memburukkan keadaan.

akhirnya, pada milenia baru, era baru, 2000 dan seterusnya, industri mula menerima golongan2 ini dan mula berkira2 utk menolak band2 layu. beberapa lagu butterfingers mula masuk radio. oag dan flop poppy mula buat lagu melayu dgn mengekalkan muziknya. hujan (mengaku indie jugak) muncul. dorang tak secara tepatnya muncul dari kalangan indie. malah budak2 indie ramai menolak hujan. meet uncle hussain, bunkface, pop shuvit dan beberapa band indie mula diterima label2 recording.

semoga pembaharuan yg dibawakan akan terus diterima. tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman saya dlm muzik yg tak seberapa.

Sir Shah said...

muzik indonesia pula? saya hanya mula dapat mendekatkan diri dengan muzik indonesia ketika tingkatan 1. pertama kali mendengarkan sheila on 7 dengan lagu 'perhatikan, rani!'. terus saya berminat untuk terus mendengarkan lagu2 lainnya. namun saya gagal untuk mendapatkan album pertama mereka itu. saya dapat membeli album kedua mereka ketika tingkatan3, iaitu album kisah klasik utk masa depan. kemudiannya barulah saya mula mendengarkan dewa19 (album cintailah cinta dan laskar cinta), padi (album save my soul), sheila on 7 (album 07 des dan pria terhebat @ pejantan tangguh), ada band (album metamorphosis, dan gigi (album jalan kedelapan). semua album mereka ini sy beli dlm bentuk kaset dgn duit belanja sekolah dan matrik. huhu. tp semuanya dah rosak. kaset xtahan lama.

untuk band2 seperti nidji, letto, the changcuters, samsons, ungu, kerispatih, michael says, d'masiv, dan beberapa lagi yg lainnya, saya hanya download. saya buat penilaian, perbandingan dan percahayaan terhadap kepercayaan. banyak yg saya boleh singkap dari album2 yg pernah saya miliki. tp terlalu banyak untuk dimuatkan dalam satu post.

saya hanya mengambil satu contoh, dari satu album yg pernah saya miliki, iaitu album padi, save my soul. 10 lagu yg dimuatkan dlm album ini memperbaharui identiti mereka ketika itu. saya baru lagi mendengarkan semula lagu2 dari album ini setelah sekian lama. apa yg ingin saya sampaikan ialah, belum ada dari mana2 band di malaysia yg dapat mencapai standard yg pernah mereka letakkan itu, iaitu kualiti dari lagu2 dari album yg direlease pada tahun 2003.

ini sedikit pengalaman saya terhadap muzik rumpun kita yg berjiran. saya tidak bermaksud ingin mengagungkan mereka. tetapi hanya memberikan pendapat di atas pengalaman saya mendengarkan muzik mereka.

Sir Shah said...

apa yg membuatkan muzik mereka bagus dan berkualiti? apa bezanya mereka dengan kita? banyak bezanya yg perlu kita kaji dan perhati.

saya dapat beberapa pencerahan terhadap persoalan ini. namun ternyata, banyak lagi yg perlu saya pertimbangkan. antara yg saya terdaya capai ialah, betapa masyarakat indonesia memandang tinggi bidang muzik. mereka sangat2 menghargai setiap usaha dan penyampaian seni di negara mereka. terutama di beberapa buah daerah, seperti bandung dan surabaya, muzik itu suatu kehidupan bagi mereka. di bandung, sebahagian besar mereka terlibat dgn muzik, paling kurang pun pandai membaca note, atau petik gitar satu dua lagu. itu paling kurang. hakikat betapa sebuah syarikat rakaman di bandung terpaksa menapis sekurang2nya 50 demo setiap hari, menggambarkan betapa sengitnya persaingan yg perlu mereka tempuhi. persaingan menghasilkan yg terbaik. itulah yg dipegang oleh seorang produser indonesia yg terkenal, iaitu jan djuhana.

muzik adalah hidup mereka. anak2 kecil dibenarkan bermain gitar, dram, dan bass selepas waktu sekolah, sama seperti anak2 cina di malaysia yg belajar bermain piano dan biola. mereka semua yakin akan hala tuju muzik. malah, untuk memperkukuhkan minat anak2 mereka, ibubapa di indonesia sanggup untuk membiayai anaknya belajar bermain gitar, dram dan bass di sekolah2 muzik.

maka mereka pun bergelar pemuzik. bagaimana suasana muzik jalanan di indonesia? di malaysia, untuk mencari makan dlm muzik, bagi yg belum bergelar recording artist, terutamanya grup band, mereka terpaksa memasuki dunia indie, ke hulu ke hilir mencari peluang bermain gig, buat baik dgn band2 yg dah ada nama, kena main politik jugak. dunia mereka hanya di gig.

tp berbeza di indonesia. di sana ada cafe2, atau restoran, atau mungkin juga kedai2 kopi yg menawarkan pentas buat mereka untuk menunjukkan bakat. indie bagi mereka ialah dunia bermain di cafe2. masih boleh mencari makan. kalau ada rezeki, muncul la produser2 datang menjenguk bakat2 ini bermain. hampir kesemua band2 yg dah cipta nama di sana pernah bermula dengan bermain di cafe2. setiap hari masyarakat mereka diperdendangkan dengan variasi muzik. segala macam genre, segala macam bunyi, segala macam style. mereka harus mencari identiti mereka untuk ke hadapan.

mungkin kita di sini hanya melihat betapa mereka mempunyai niat tak baik dan hanya gemar untuk menyekat muzik malaysia dari masuk ke sana. itu bukan hakikat sebenar. sebaliknya itu hanyalah hipotesis yg dibuat oleh pemain2 industri di malaysia. bila tak dapat bersaing je, maka dicop la sebagai dengki dan tutup pintu kepada malaysia. sedang hakikatnya ialah persaingan di antara mereka sahaja sudah tersangat sulit. inikan pula untuk membuka saingan muzik kepada negara yg tiada kesungguhan dalam muziknya.

ini yg disuarakan sendiri oleh sebuah grup band yg tak dapat bersaing di sana dan pernah juga cuba di malaysia iaitu kumpulan suga, bekas artis naungan kru record. dorang pernah lalui keperitan persaingan di sana. abang saya juga pernah bertemu dengan mereka sewaktu di studio kru kira2 4thn lalu. ternyata mereka mempunyai skil yg cukup mengagumkan.

apa yg cuba saya sampaikan di sini ialah, melalui pemerhatian saya, dan hasil pembacaan yg pernah saya buat, ternyata antara faktor utama kejayaan muzik indonesia ialah masyarakat mereka sendiri yg menghargai setiap hasil seni yg dihasilkan.