Showing posts with label film. Show all posts
Showing posts with label film. Show all posts

Tuesday, 23 February 2010

Langkah Songsang Kementerian

Merujuk kepada laporan berita:

Stesen radio kini diwajib putar lagu baru artis tempatan

22/02/2010 8:08pm

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Mulai 1 Mac ini, semua stesen radio diwajibkan memutarkan lagu-lagu daripada album atau “single” terbaru artis tempatan untuk tempoh tertentu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, langkah itu juga akan menjadi antara syarat pemberian lesen stesen radio dan beliau percaya pemegang lesen stesen radio tidak akan keberatan untuk mematuhi arahan itu.

Arahan itu akan dikuatkuasakan mengikut Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 supaya stesen radio mempromosikan lagu-lagu tempatan memandangkan usaha itu didapati masih kurang diutamakan, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil akreditasi kepada artis tempatan dalam bidang seni persembahan di Studio Sound Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jalan Hulu Kelang, dekat sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan drastik kerajaan mewajibkan stesen radio supaya memberi ruang kepada lagu baru tempatan, Rais berkata, tindakan itu diambil selepas beliau “terkejut” dengan perkembangan semasa yang disifatkannya sebagai “serong” dan tidak menyebelahi industri muzik tanah air. – Bernama


Reaksi dan komen dari presiden Persatuan Radio Komersil Malaysia (CRM), Datuk Borhanuddin Osman sudah pun diperolehi dan tersebar menerusi pelbagai media. Dalam reaksinya ketika berada di Delhi bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa, beliau menyatakan betapa pihaknya terkejut dengan pengumuman tersebut.

Bagi saya pula, tidaklah mengejutkan sangat. Suatu ketika dulu Datuk Seri Dr Rais pernah membuat arahan yang lebih dahsyat dan tidak masuk akal berbanding yang terbaru ini. Beliau pernah mengarahkan setiap stesen radio berbahasa Melayu di Malaysia ini untuk memainkan lagu-lagu tempatan pada nisbah 90:10.

Ternyata tindakan tersebut gagal dilaksanakan kerana tidak praktikal. Stesen-stesen radio malah menyatakan bahawa permintaan dan selera pendengar adalah menjadi keutamaan dan sumber rating mereka.

Bagaimana mahu menjalankan perniagaan siaran radio yang hanya mengutamakan poket industri, tetapi membelakangkan selera pendengar? Adakah muzik di Malaysia bakal mengembalikan zaman kegelapannya semula?

Saya pernah membangkitkan situasi zaman kegelapan muzik Malaysia pada era 90-an. Era di mana rakyat disuap dengan lagu-lagu berkualiti rendah dan melemahkan fikiran. Bagi saya ketika itu mungkin ada campurtangan dari pihak-pihak yang mahu melemahkan akal orang-orang Melayu sehingga menyebabkan kejatuhan produktiviti bangsa, hanya dengan pengaruh muzik.

Hal yang sama berlaku pada kala ini, apabila industri perfileman negara kini sedang dimonopoli oleh seorang tycoon yang menguasai penerbitan filem negara. Saya tidak mahu menuduhnya sebagai penjahanam Melayu. Ianya tampak seolah provokasi perkauman, kerana yang saya rujuk itu ialah seorang yang berbangsa cina.

Beliau merupakan seorang penerbit yang menerbitkan sesebuah filem berbahasa Melayu tanpa mempertimbangkan hasil pembangunan moral mahupun pembangunan jati diri buat bangsa yang menontonnya. Maka terhasillah 2 hingga 3 buah filem dalam sebulan. Satu filem rugi tidak mengapa, kerana ada 2 yang lain yang pasti mendatangkan untung.

Baginya, kualiti tidak penting. Malah pengajaran mahupun penyampaian ilmiah juga tidak penting. Filem bukan untuk mengajar, filem untuk mengumpul kekayaan. Dengan itu, maka terhasillah puluhan filem dalam setahun, yang tidak mendapat sebarang pengiktirafan dari juri-juri festival filem tempatan. Anugerah tidak penting. Anugerah tidak mendatangkan kekayaan.

Filem-filem tempatan, baik mainstream mahupun underground film, terpaksa bersaing dengan lambakan filem tidak berkualiti terbitan orang kaya ini. Dominasi pasarannya ketika ini sudah terlihat. Industri perfileman negara kini terus berada dalam zaman kegelapannya.

Saya mohon penggiat filem underground untuk bangkit menembusi dominasi gila ini. Kegemilangan industri perfileman negara memerlukan keberanian dan kerja keras anda. Jadikan kejayaan pengamal muzik indie sebagai contoh dan pemangkin semangat. Mereka juga pernah berada dalam zaman yang sama seperti industri perfileman sekarang.

Kembali kepada isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Rais, saya rasakan itu bukanlah langkah yang rasional. Pihak radio terkejut dengan pengumuman tersebut. Maka logiknya, menteri tersebut tidak membawakan isu ini ke meja perbincangan dengan pihak yang sepatutnya, iaitu pengamal radio. Siapa yang lebih maklum berkenaan selera dan pasaran muzik tempatan kalau bukan pihak stesen radio? Apakah menteri lebih maklum?

Dengan penguatkuasaan tersebut, industri muzik tanah air akan cenderung untuk menyamai industri perfileman. Akan adanya dominasi pasaran, dan rakyat akan disuap dengan lagu-lagu yang wajib siar, walaupun tidak berkualiti. Lambakan lagu tempatan di radio akan mengurangkan persaingan di kalangan pemain industri kerana mereka akan merasakan bahawa produk yang cukup korum pun boleh masuk radio.

Saturday, 23 January 2010

Filem Keagamaan Indonesia

Saya mungkin seorang yang terlalu obses terhadap hasil seni dari negara jiran, Indonesia. Baik dari sudut muziknya, filemnya, mahupun novelnya. Terbaru, saya telah berhasil menonton tiga (3) buah filem hebat dari Indonesia yang langsung tidak mendapat ruang tayangan di Malaysia. Malah DVD juga tidak terjual di sini. Maka, saya hanya mampu menontonnya menerusi Youtube.

Filem pertama yang saya tonton ialah filem hasil adaptasi novel yang menjadi fenomena di seluruh pelusuk Indonesia. Novel berbentuk keagamaan, karya Habiburrahman El Shirazy ini adalah novel dwilogi. Tajuknya Ketika Cinta Bertasbih. Kedua-dua siri novel ini saya telah baca dalam bahasa Indonesia menerusi e-book. Buku-buku karya Pak Habiburrahman ini yang lainnya telah saya beli, seperti Ayat-ayat Cinta, Dalam Mihrab Cinta, dan Di Atas Sejadah Cinta (himpunan cerpen). Saya memang peminat karya Kang Abik.

Berkenaan filem Ketika Cinta Bertasbih 1, ternyata Kang Abik belajar dari kesilapan dan kritikan peminat terhadap filem Ayat-ayat Cinta. Filem KCB 1 ini telah ditayangkan pada Jun 2009, di 8 buah negara (kecuali Malaysia). Produksi filem ini dibuat secara besar-besaran di beberapa lokasi di Mesir, dan juga di Indonesia. Berbeza dengan AAC, KCB adalah karya yang lebih jujur, lebih praktikal, dan lebih masuk akal.

Setiap babak yang terpapar di dalam filem KCB boleh dibaca di dalam novelnya, begitu juga sebaliknya. Saya berhasil membaca novelnya terlebih awal sebelum menantikan filemnya itu. Ternyata saya tidak kecewa walaupun hanya dapat menontonnya menerusi Youtube.

Begitu juga dengan KCB 2, sambungan kepada KCB 1 yang diadaptasi menerusi siri kedua dwilogi berkenaan. Keberhasilan produksi dalam membawakan apa saja yang diimaginasikan para pembaca novelnya, sangat-sangat memuaskan. Baik jalan ceritanya, penyampaian emosinya, mahupun pemilihan pelakonnya (casting), semua menepati imaginasi saya terhadap novel tersebut. KCB 2 ditayangkan pada September 2009, juga tidak ditayangkan di Malaysia.

Filem ketiga, yang baru saya tonton subuh kelmarin, adalah filem yang bertajuk Perempuan Berkalung Sorban. Filem ini ditayangkan di Indonesia pada Januari 2009, juga tidak ditayangkan di Malaysia. Filem ini mendapat sentuhan lagu tema dari penyanyi Malaysia iaitu Siti Nurhaliza, bertajuk Ketika Cinta. Siti turut merakamkan klip video untuk lagu ini.

Penceritaan PBS ini agak berat. Isu yang dibawakan juga agak keras, dan mungkin kerana status tersebut membuatkan filem ini tidak dapat ditayangkan di Malaysia. Tapi mungkin juga kerana 'sekatan' atau 'pembatasan' terhadap filem-filem dari seberang yang menjadi amalan badan berkuasa Malaysia membuatkan mana-mana filem berkualiti dari seberang 'diharamkan' di sini. Mungkin. Mereka saja yang tahu.

Merujuk pada wikipedia Indonesia, pada tahun 2009 sahaja, tersenarai 85 buah filem diterbitkan negara berkenaan. Dari jumlah berkenaan, kalau mengikut perkiraan satu bulan satu filem, tidak lebih dari 12 buah filem sahaja yang 'lepas' tayangannya di Malaysia tahun ini. Saya bukanlah minta sehingga kesemua filem, atau filem-filem hantu mereka yang berlambakan itu ditayangkan di sini. Tapi sekurang-kurangnya, filem-filem berunsurkan keagamaan, berunsurkan budi pekerti mulia, dan ajaran yang baik usahlah disekat sama.

Filem berunsur keagamaan yang paling baru dari Indonesia telah ditayangkan pada November 2009. Filemnya bertajuk Emak Ingin Naik Haji. Bunyinya bagi orang Malaysia mungkin agak straight forward. Namun hasil pemerhatian saya terhadap trailernya, kisah yang cuba dibawakan sangat-sangat menyentuh hati.

Filem keagamaan Malaysia pula bagaimana? Muallaf?? Minta maaflah. Sampai ke filem terakhir arahan Yasmin Ahmad, tetap tidak boleh lari dari aspek memperkecilkan bangsa Melayu. Terus terang saya katakan bahawa saya bukanlah peminatnya. Namun begitu, saya tidak ingin membuat sebarang provokasi terhadap mana-mana peminatnya yang membaca artikel ini.

Sejauhmana tertinggalnya industri filem tempatan berbanding industri filem Indonesia? Anda tontonlah filem-filem yang saya nyatakan di atas, kemudian buatlah timbang taranya. Jujur dari saya, kita tertinggal sejauh 5 tahun, sekurang-kurangnya.

Sunday, 27 December 2009

Avatar (2009)

Hari rabu lepas, iaitu 23 hb Disember, saya dan abang rancang untuk menonton filem Avatar. Cadangan asal ialah untuk menonton tayangan 3D, untuk mendapatkan kepuasan menonton yang maksimum. Maka kami pun pergilah ke Berjaya Time Square pada jam 8.30 malam hari tersebut.

Setibanya di sana, kami terus ke tingkat 10 iaitu iMax theater. Namun kekecewaan melanda apabila mendapat tahu bahawa iMax tidak lagi memiliki tayangan 3D seperti dulu. Menurut jurutiket, sudah lebih setahun iMax tidak mendapat hak untuk kontrak tayangan 3D. Tapi kami tetap menonton Avatar di situ, untuk kepuasan tayangan skrin besar. Itu sahaja kelebihan yang iMax ada untuk bersaing dengan GSC yang berada di tingkat 3.

Avatar, tanpa ragu-ragu, bagi saya adalah sebuah filem yang sangat-sangat hebat. Hebat dari segi garapan jalan cerita, mahupun dari segi teknologi dan effect yang digunakan. Ditambah dengan bakat pengarahan dari pengarahnya, James Cameron, Avatar ialah sebuah filem yang perlu ditonton berkali-kali.

Jangka masa tayangan iaitu lebih kurang 2 jam setengah, memang puas menonton filem ini. Tak seperti filem-filem Hollywood yang lain, yang rata-rata hanya berdurasi 1 jam setengah, Avatar sebuah filem yang padat dengan aksi, dan penuh dengan drama. Saya puji filem ini atas kekuatannya.

Apa yang menariknya dalam filem ini, ianya seakan cuba untuk menggambarkan situasi dunia yang sebenar, walaupun dalam suasana planet asing bernama Pandora. Situasi yang saya maksudkan ialah kuasa besar, dengan kekuatan tentera dan teknologi senjata, cuba untuk menindas sesuatu bangsa pribumi, semata-mata untuk memperolehi kekayaan buminya.

Ianya seakan persamaan terus, atau direct comparison kepada kuasa besar dunia kala ini, iaitu Amerika Syarikat (US). Malah, dialog-dialog yang diucapkan dalam filem ini juga banyak yang seakan memberikan gambaran betapa US adalah kuasa yang cuba dimaksudkannya.

Namun, saya tidaklah menjangkakan akan wujudnya kuasa alam, atau kuasa dari dunia lain yang akan mempertahankan bangsa yang ditindas oleh US. Bukannya dengan niat menolak. Tetapi saya melihat masih belum tiba waktunya, ditambah dengan kekuatan dari negara-negara pesaing yang masih belum cukup kuat dari segi ketenteraan.

Apapun, diharapkan agar Avatar menjadi pembuka mata dunia di atas kerja-kerja yang sedang dijalankan oleh negara 'polis' dunia ini.