Saturday, 9 January 2010
Keramat Mall
Kisah Keramat Mall ini sudah banyak dikupas dan diulas oleh kebanyakan bloggers. Malah juga pernah beberapa kali mendapat liputan daripada media-media arus perdana kerana penglibatan YB ahli parlimen dan YB menteri. Namun, saya di sini ingin mengulas dari sudut pandangan saya sendiri sebagai penduduk bumi 'keramat'.
Saya dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur (sekarang Hospital Kuala Lumpur), dan membesar sejak dari itu sehinggalah sekarang di sekitar Keramat. Pada awal usia saya membesar di Keramat Hujung. Kemudiannya sekeluarga berpindah ke rumah nenek di Jalan Dato' Keramat. Tidak lama. Sehinggalah kami berpindah ke rumah sewa di Lorong Keramat Dalam 1.
Pada usia saya 13 tahun, iaitu ketika di tingkatan 1, kami berpindah ke rumah kini iaitu di Keramat Jaya. Saya pergi ke sekolah pada waktu itu dengan menaiki bas. Bas untuk ke sekolah pula hanya boleh diambil di Esso Keramat. Untuk ke situ, saya perlu melalui jalan berhadapan dengan sebuah kawasan binaan yang bertutup dan berpasir. Ketika itu sekitar tahun 1998. Saya masih ingat, setiap kali lalu di kawasan berkenaan, saya pasti akan membaca papan notis binaan di situ.
Tarikh mula projek yang tercatat pada waktu itu seingat saya ialah sekitar tahun 1996. Bermaksud, sudah 2 tahun projek, namun ketika itu hanya jeriji yang terpacak. Tapak pun belum dibuat. Sedang jentera-jentera binaan seakan sudah lusuh dan rosak terbiar tidak bergerak. Tarikh projek dijangka siap pada waktu itu ialah sekitar tahun 1999. Namun sepanjang bulan, sepanjang tahun, saya berulang alik di kawasan berkenaan, tetap tiada perubahan. Sehingga suatu ketika, papan notis binaan tersebut telah tiada.
Pada awalnya saya fikir mungkin projek berkenaan telah gagal dan dibatalkan. Namun seingat saya sekitar tahun 2002, projek berkenaan dimulakan semula. Kawasan berkenaan mula ditutup dengan penghadang, dan jentera-jentera binaan mula keluar masuk. Pada tahun-tahun berikutnya, saya tiada di Kuala Lumpur kerana menuntut ilmu di Melaka dan Serdang. Hanya setelah 5 tahun tidak meninjau kawasan ini, pertama kali saya melihatnya semula sekitar tahun 2008, sebuah binaan yang unik dan tersergam indah sudah hampir siap. Ketika itu binaan tersebut masih belum dicat.
Pada tahun lalu pula, titik konflik yang sudah saya jangkakan akan berlaku, tercetus. Ketika itu, binaan tersebut sudah siap dan hanya menunggu masa untuk diinap. Terpampang pula nama binaan tersebut, 'Keramat Mall'. Hebat bunyinya. Penginap, ataupun kumpulan peniaga yang akan ditempatkan di sini pula adalah peniaga-peniaga dari Pasar Keramat. Kebanyakan dari mereka adalah peniaga tradisional, atau peniaga turun temurun di situ. Pasar Keramat juga seolah sudah menjadi sebahagian dari hidup saya kerana sejak dari kecil kerap dibawa ibu bapa untuk makan dan membeli barang dapur.
Setiap selok belok, jenis-jenis jualan, mahupun kedai makan yang sedap, semua saya sudah arif. Namun apabila siapnya Keramat Mall, saya mula terfikir akan beruntungnya para peniaga di Pasar Keramat. Kini, pasar tradisional tersebut sudah tidak berada dalam keadaan yang baik. Laluan pejalan kaki di sisi setiap gerai basah terlalu banyak lopak dan air yang bertakung. Air yang bertakung pula sudah pasti bukan air bersih, kerana di situlah mereka memotong ikan, ayam, dan daging. Darah mengalir, air hanyir ikan bertakung. Kotor.
Di tempat jualan ikan-ikan kering, kacang dan bihun pula, saya lihat terlalu banyak lipas berkeliaran. Di bahagian kedai makan pula, saya perhatikan semakin bertambahnya populasi tikus yang berkeliaran. Tikus kalau bersaiz tikus tidak mengapa. Tetapi tikus di sini bersaiz anak kucing. Besar. Sehinggakan kucing jantan pun jadi takut pada tikus di sini.
Oleh yang demikian, saya fikirkan, pembukaan Keramat Mall ini bukan sahaja menaiktaraf status peniaga, malah juga menaiktaraf tahap kebersihan jualan. Manakan tidak, saya difahamkan di pusat perniagaan baru ini juga turut disediakan kontraktor pembersih swasta. Bayaran sewa bulanan yang dikenakan pula sangat-sangat rendah, iaitu dari RM150 hingga RM500 mengikut saiz premis. Memang saya tidak begitu arif tentang hal sewaan premis perniagaan. Tetapi secara mantik akal, dan kiraan kasar, jumlah yang berkenaan adalah terlalu rendah berbanding munasabah. Namun saya faham mengapa mereka berkeras berkenaan yuran sewaan yang dikatakan tinggi. Manakan tidak, di pasar kini mereka hanya dikenakan sewa sekitar RM20 hingga RM50 sahaja sebulan. Atau dalam kata lain yuran sewaan kira-kira seringgit sehari.
Namun, ada juga tuntutan dari peniaga yang munasabah dek akal. Saya sokong pula sudut yang dibangkitkan ini. Namun konflik terus berbangkit, apabila isu lain pula tercetus. Penyelesaiannya masih belum ditemukan. Kompleks ini terus kesepian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
7 comments:
owh keramat ke?...
dah lama x ke keramat... lalu LRT ada la..
yup.. umah sy dan keramat mall tu dekat dgn LRT damai. antara hub pengangkutan yg penting dlm hidup sy.
haha can't deny...LRT... a part of my life.. saudara kerja apa ye?
sy masih menganggur buat masa ni. sedang menunggu permohonan. so, tengah lapang ni la masa yg sesuai utk aktif blogging. bila dah kerja nanti, blog pun akan terabai.
owh okay... semoga cepat dapat kerja... :)
Keramat Mall sudah boleh beroperasi tapi peniaga cari alasan tidak mahu pindah. Mereka paksa DBKL ambil 8 lot kedai depan station LRT damai kononnya untuk buat parking. Sedangkan parking sudah cukup di Keramat Mall mengikut piawaian TLK bangunan komersial. Sekarang DBKL sudahpun ambil tanah tersebut dan membuat gerai pasar baru diatas tanah kedai tersebut tapi peniaga masih tidak mahu pindah. Pemilik kedai diberi pampasan yang sangat rendah walaupun mereka mempunyai geran 99 tahun. Niat yang tidak baik dari peniaga pasar keramat itu semuga mendapat balasan dari Allah swt.
isu 8 lot kedai tu masih terbengkalai. mmg ada rasionalnya persatuan peniaga pasar keramat mahukan pertambahan parking. alasan mereka ialah pembukaan dewan perdana keramat mall yang mengadap lorong kiri, bersebelahan kedai sate.
dewan tu dikatakan boleh menampung hampir 500 orang. kalau dibergantungkan pada parking yg sedia ada, mmg xcukup. akan ada kereta2 yg akan terpaksa parking di tepi jln, dan mengganggu aliran trafik sempit jalan lorong kiri.
sy stuju yg pertambahan parking adalah perlu. mungkin ada masalah dalam plan pembinaan. tp bila dilihat bagaimna kerajaan ttp berusaha utk memenuhi tuntutan peniaga, utk kpentingan penduduk, sy sedar yg kerajaan hadapi dilema.
tanah lot perniagaan di tepi jalan yg dimaksudkan tu sudah lama pemilikannya. tak mungkin semudah itu mahu dijualkan kepada kerajaan. tp atas desakan peniaga, dan kepentingan penduduk, maka tetap juga kerajaan usahakan.
malah, peniaga turut menuntut lot stesen minyak esso utk dijadikan parking pasar. melampau sungguh. itu langsung ditolak oleh kerajaan. esso keramat merupakan antara nadi kehidupan penduduk di sini, selain drpd pasar, masjid, dan sekolah kebangsaan.
apapun, kita sama2 tunggu, lihat, dan berdoa utk perkara ini diselesaikan tanpa mslh b'lanjutan. keramat mall sudah mula diisi oleh beberapa peniaga yg tidak byk songeh. jiran saya turut berniaga di situ, dan sudahpun menyiapsediakan peralatan perniagaan.
Post a Comment