Sunday 11 April 2010

Messi Tundukkan Ego Ronaldo

Messi scores again, kata blogcritics.org

Tajuk post dah macam tajuk berita dalam surat khabar, di bahagian sukan. Tapi itulah sebenarnya yang saya nampak menerusi paparan wajah-wajah pemain kedua-dua pasukan selepas wisel penamat dibunyikan pengadil.

Keputusannya 0-2. Dua gol dari pasukan pelawat, Barcelona dijaringkan oleh pemain dari planet lain, Lionel Messi, dan pemain muda, Pedro. Saya menyaksikan perlawanan yang tegang sejak dari sepak mula. Memang tegang sehinggakan pengadil perlawanan tidak dapat melayangkan kad kuning kerana takut ianya akan memburukkan lagi keadaan.

Seperti yang dibangkitkan oleh ramai pihak, perlawanan 'El Clasico' kali ini adalah lebih terarah kepada pertembungan C. Ronaldo dan Messi. Pertembungan mereka yang terdahulu ialah ketika final UCL tahun lalu, di antara Manchester United dan Barca, apabila Messi jelas berjaya mencuri perhatian umum, dan turut menjaringkan satu gol.

Kali ini, iaitu pagi semalam, Messi sekali lagi menenggelamkan CR9. Terlihat betapa Ronaldo begitu tertekan sejak dari awal permainan. Ronaldo tertekan kerana didesak ramai peminat untuknya membuktikan kehebatan mengatasi Messi. Beberapa terjahan keras dilakukannya terhadap Puyol dan Pique, selain beberapa larian 'hebat' tak keruan ke arah belakang (negatif) atau selari, tanpa larian ke hadapan atau menggelecek walau seorang pemain pun.

Trademarknya, terkuis-kuis bola yang statik sambil badan digelek-gelek bagai penari dangdut, hanya dipandang sepi oleh pertahanan Barca kerana ianya langsung tidak memberi faedah kepada bola sepak. Berbeza dengan Messi, dipaparkan kepada seluruh peminat bola sepak betapa usahanya yang berkali-kali cuba menggelecek pemain Real dipatahkan dengan bentesan keras. Messi memang gemar menewaskan sekurang-kurangnya 3 orang pemain lawan pada sekali larian. Dia tidak sekali-kali akan menguis bola berkali-kali (step over) tanpa bergerak (statik) yang hanya memenatkan diri sendiri.

Pada perlawanan ini juga, untuk ke sekian kalinya, Messi sekali lagi berjaya menjaringkan satu gol menewaskan pasukan yang diwakili Ronaldo. Saya faham perasaan Ronaldo. Saya juga faham perasaan Pellegrini.

Bakat vs Populariti

Saya pernah melihat krisis ini di dalam industri muzik Malaysia. Dua acara yang mengiktiraf para artis Malaysia yang berbeza menurut penilaian bakat dan populariti. Dua acara tersebut ialah Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Anugerah Industri Muzik (AIM). Saya sedar kenyataan ini bakal menyinggung perasaan beberapa pihak.

Inilah faktanya. Seorang penyanyi lelaki yang begitu popular (ketika itu) sehingga berjaya menewaskan rakan-rakan pelajarnya dengan 'jutaan' undi sms, yang kemudiannya bergelar 'raja sms'. Dia kemudiannya berjaya memenangi gelaran 'artis paling popular' di ABP selama 3 tahun berturut-turut. Tapi, tahukah anda yang penyanyi lelaki ini bukan sekadar tidak memenangi sebarang anugerah pada AIM, malah tidak pernah tersenarai sebagai calon top 5 bagi mana-mana kategori, termasuklah 'Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)'.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh menafikan dalam apa jua bidang kerja, dalam apa jua industri, pasti wujud krisis ini. Antara bakat dan populariti. Tidak saya nafikan wujud individu yang menguasai kedua-dua 'anugerah' ini. Contohnya Datuk Siti dan Tun Mahathir. Kedua-dua sosok ini bukan sekadar memiliki bakat besar di dalam bidang masing-masing, malah turut diberi publisiti dan perhatian yang sewajarnya.

Berbalik kepada soal Messi vs Ronaldo, adalah tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawa Ronaldo tidak lebih dari sekadar popular di kalangan peminat bola sepak dan wanita-wanita muda. Saya ada hujah untuk itu. Cukuplah setakat ini.

No comments: