Sunday, 4 April 2010
Piala Dunia: Sepanyol (Part 1)
Sepanyol adalah merupakan pasukan pilihan saya untuk menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan Jun ini. Banyak perkara menarik yang boleh dikupas berkenaan pasukan ini. Antaranya ialah limpahan bakat terbaik dunia di dua (2) posisi penting, iaitu penjaga gol dan pemain tengah.
Saya berminat untuk membuat sedikit penilaian berkenaan posisi penjaga gol untuk pasukan Sepanyol. Memandangkan hanya tiga (3) tempat sahaja diperuntukan untuk posisi yang akan dibawa ke Afrika Selatan, maka pemilihan yang bakal berlaku pastinya sengit.
Calon pertama sudah pastinya Iker Casillas, penjaga gol pasukan Real Madrid. Casillas yang akan berusia 29 tahun sebelum bermula Piala Dunia, setakat ini masih beraksi baik bersama kelabnya. Meskipun Real sudah tersingkir dari UCL 2010 dan Copa del Rey, namun persembahan Casillas musim ini dikatakan sebagai penyelamat kepada perjuangan mereka dalam liga.
Penjaga gol terbaik dunia ini masih dalam prestasi terbaik apabila kekal mempertahankan gawangnya dalam nisbah dibocori kurang dari satu gol bagi setiap perlawanan. Setakat 38 perlawanan (semua kejohanan, sehingga 5 April), Casillas hanya melepaskan 35 gol. Kali terakhir beliau melepaskan jumlah gol yang kurang dari jumlah perlawanan adalah bagi musim 2004/2005.
Calon kedua bagi posisi ini ialah penjaga gol Barcelona, Victor Valdes. Musim ini dan musim lalu, Valdes secara tidak langsung mendedahkan kepada umum keupayaannya yang sebenar bagi menyaingi Casillas untuk jersi nombor satu Sepanyol. Kejayaan menjuarai kesemua 6 trofi yang dipertandingkan musim lalu memberi markah tambahan buat Valdes.
Meskipun menjadi penjaga gol utama buat pasukan terbaik dunia, hakikatnya Valdes tidak pernah beraksi untuk pasukan kebangsaannya. Beraksi dalam prestasi terbaiknya musim ini, bersama pasukan terbaik dunia, tiada sebab untuk Valdes diberi peluang mengatasi Casillas yang kebal di posisi tersebut. Namun, peluang untuknya terbang bersama rakan sepasukan ke Afrika Selatan tetap cerah.
Pepe Reina pula saya rasakan tidak jauh dari saingan bagi posisi ini. Penjaga gol Liverpool ini beraksi baik bagi kelabnya meskipun prestasi semasa pasukan amat buruk pada musim ini. Mempunyai kemahiran yang baik untuk mengawal bola hantaran lintang dan tindak balas yang pantas, kelemahan Reina hanyalah dari segi positioning dan interaksi dengan pemain pertahanan. Reina pernah 19 kali bermain untuk Sepanyol, merupakan antara pilihan utama yang akan dibawa ke Afrika Selatan.
Penjaga gol utama Villarreal, Diego Lopes saya letakkan sebagai calon pilihan keempat. Lopes pernah menjadi pemain dalam pemerhatian ketika Manchester United dalam proses pencarian
penjaga gol bagi menggantikan Edwin van der Sar. Pernah sekali beraksi untuk Sepanyol pada tahun lalu, agak sukar meramal peluangnya untuk menembusi dominasi nama besar seperti Casillas, Valdes, dan Reina. Persembahan semasa Villarreal juga mungkin menyukarkan lagi peluang Lopes untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan Sepanyol.
Calon seterusnya, Manuel Almunia dari kelab Arsenal. Belum pernah beraksi untuk Sepanyol, Almunia pernah dicadangkan untuk mengisi kekosongan bagi pasukan kebangsaan England. Almunia sudahpun memiliki kerakyataan England, namun menolak tawaran tersebut untuk kekal setia kepada negaranya. Setakat ini jurulatih Sepanyol belum lagi bersedia untuk memberi peluang kepadanya. Arsenal setakat bulan April musim ini, masih lagi dalam perebutan gelaran liga. Nama Almunia pasti meningkat mendadak andainya Arsenal berjaya menjuarai liga di England.
Andres Palop mungkin sudah berusia 36 tahun. Namun penjaga gol dari kelab Sevilla ini masih beraksi baik setakat ini bersama pasukannya. Palop belum pernah beraksi untuk Sepanyol, namun pengalamannya sebagai penjaga gol utama Sevilla, Valencia, dan Villarreal adalah sangat berharga. Palop jarang dilihat sebagai nama besar bagi posisi ini, mungkin kerana itulah dia gagal bersaing untuk posisi ini dalam pasukan kebangsaan.
Atletico Madrid memiliki dua orang penjaga gol utama yang sangat-sangat muda. Kedua-dua mereka memiliki pengalaman beraksi bersama pasukan remaja Sepanyol. Penjaga gol utama, Sergio Asenjo, kini sudahpun menjadi nama besar yang mula dikaitkan dengan beberapa kelab terkemuka dunia. Pilihan utama untuk pasukan bawah 21 tahun Sepanyol, pemain yang baru berusia 20 tahun ini boleh dibawa ke Afrika untuk pendedahan awal.
Penjaga gol muda kedua Atletico, iaitu David de Gea kini sudah berjaya menyaingi kedudukan Asenjo, hanya kerana kesilapan penjaga gol utama itu pada November lalu. Kini de Gea sudah boleh berbangga kerana semakin kerap diletakkan dalam kesebelasan pasukan yang masih bersaing dalam Liga Europa itu. Penjaga gol berusia 19 tahun ini adalah pilihan utama bagi pasukan bawah 19 tahun Sepanyol. Peluangnya mungkin cerah untuk siri Piala Dunia yang akan datang.
Beberapa nama lain seperti Cesar Sanchez (Valencia, 38 tahun), Gorka Iraizoz (Athletic Bilbao, 29 tahun), dan Daniel Aranzubia (Deportivo la Coruna, 30 tahun), kini semakin malap dari persaingan bagi tempat dalam pasukan kebangsaan. Faktor usia dan status kelab memberi sedikit nafas kepada jurulatih untuk hanya memilih senarai pendek yang di atas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment