Friday, 19 March 2010

Undian Suku Akhir UCL 2009/2010


Jam 7 petang tadi, di Channel 813 Star Sports menayangkan siaran langsung upacara undian bagi pusingan suku akhir kejohanan UEFA Champions League 2009/2010. Undian dibuat oleh Setiausaha Agung UEFA, Gianni Infantino, dan wakil untuk tuan rumah final Madrid, Emilio Butragueno. Butragueno adalah salah seorang legenda Real Madrid.

Undian menyaksikan 4 pasukan terkemuka dunia bakal berhadapan sesama sendiri pada perlawanan pertama yang bakal berlangsung 30/31 Mac ini, dan perlawanan kedua pada minggu berikutnya. 4 pasukan yang saya maksudkan ialah Bayern Munich, Manchester United, Arsenal, dan juara bertahan Barcelona.

Bayern bakal berhadapan dengan pasukan yang menumbangkan mereka pada perlawanan paling diingati, final UCL 1999. Pasukan itu adalah Manchester United. Saya masih ingat suasana ketika menonton perlawanan tersebut di rumah pakcik pada usia 14 tahun. Rata-rata yang menyaksikan bersama saya adalah penyokong kuat United. Kecuali saya yang lebih mengharapkan permainan cantik kedua-dua pasukan.

Bayern mendahului sehingga 90 minit permainan, hasil jaringan sepakan percuma Mario Basler (yang kemudiannya diumum sebagai pemain terbaik perlawanan) yang terbias benteng. Selepas jaringan tersebut, yang diperoleh pada separuh masa pertama, Bayern terus menguasai perlawanan sehingga minit ke-90.

Separuh masa kedua menyaksikan Oliver Kahn membuat beberapa aksi menyelamat. Kesemua pemain Bayern tampak sudah bersedia untuk merai kejayaan apabila usia perlawanan cukup 90 minit. Pegawai perlawanan mengumumkan 3 minit masa kecederaan, ketika United berjaya memperoleh sepakan penjuru. Teddy Sheringham merembat masuk gol pertama dari sepakan penjuru David Beckham.

Seminit kemudian United sekali lagi dianugerahkan sepakan penjuru pada penjuru yang sama. Watak yang sama bakal mengambil sepakan tersebut. Barisan pemain di dalam kotak juga adalah sama, kecuali penjaga gol United yang kekal di gawangnya pada kali ini. Sepakan penjuru versi kedua ini terus sampai ke kepada Sheringham yang menanduk tipis, dan bola tersebut ditolak masuk oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Kekalahan ini masih belum dapat diterima oleh Bayern sehingga sekarang. Di atas faktor dua jaringan penentuan di masa kecederaan, mereka turut ditewaskan oleh dua jaringan dari dua pemain yang masuk sebagai pemain gantian. Dua perlawanan timbal balik bagi kedua-dua pasukan pada edisi kali ini saya jangkakan bakal menyajikan perlawanan fizikal yang sedikit tegang.

Arsenal pula bakal berhadapan dengan juara bertahan, merangkap pasukan terbaik dunia, Barcelona. Barcelona pada edisi kali ini bukan sahaja gah sebagai pasukan terbaik dunia, malah turut memiliki seorang pemain terbaik Eropah dan dunia, Lionel Messi. Selain Messi, Barcelona turut memiliki Xavi dan Iniesta yang turut berada dalam senarai top 5 Fifa tahun lalu.

Pertembungan epik Arsenal dan Barcelona ini turut memiliki sejarahnya tersendiri. Tahun pertembungan ialah 2006, ketika Arsenal masih lagi memiliki barisan pemain yang cukup mantap. Malangnya kerancakan permainan terganggu oleh kad merah yang dikenakan kepada penjaga gol Arsenal, Jens Lehmann. Perlawanan diteruskan dengan corak bertahan oleh Arsenal kerana bermain dengan 10 pemain.

Dengan kedudukan perlawanan 1-1 sehingga minit ke-80 perlawanan, pemain yang baru dimasukkan 9 minit yang lalu, Juliano Belletti menjaringkan gol kemenangan Barcelona. Penghujung musim 2006 ini juga menyaksikan bintang Arsenal, Thierry Henry berpindah ke Barcelona dan dia masih kekal bermain sehingga kini. Malah, Fabregas juga dikatakan bakal berpindah ke Barcelona andai Arsenal gagal memperoleh sebarang gelaran musim ini.

Satu lagi perlawanan yang menarik bakal menyaksikan dua pasukan dari Perancis bakal bertembung sesama mereka. Lyon dan Bordeaux merupakan dua pasukan terbaik Perancis musim lalu. Mereka memiliki barisan pemain muda yang berbakat dan corak permainan yang berbeza.

Inter Milan pula mungkin sedikit lega selepas terpaksa menghadapi pasukan Chelsea pada pusingan 16 pasukan. Pusingan suku akhir menyaksikan mereka perlu berhadapan pasukan dari Rusia, CSKA Moscow. Penonton mungkin bakal disajikan dua perlawanan timbal balik yang pantas dan banyak larian, melihat kepada corak permainan menyerang kedua-dua pasukan.

No comments: