Tanggal 12hb Februari 2010 (Jumaat), along memberi cadangan kepada keluarga untuk kami pergi bercuti, memandangkan kesemua kami berada di rumah sehingga hari Selasa minggu berikutnya. Saya masih belum berkerja. Ibu pula suri rumah sepenuh masa. Ayah pula baru menikmati 6 hari tanpa berkerja selepas menamatkan perkhidmatannya di usia 56 tahun tanggal 6hb Februari yang lalu. Along dan adik bercuti sehingga hari Selasa.
Malangnya, cadangan tersebut tidak disambut dengan keputusan yang positif oleh kesemua ahli dewan mesyuarat. Adik mahu berehat di rumah sepanjang cutinya. Ayah pula ada beberapa perancangan dan majlis pada hari Ahad dan Isnin. Maka rancangan terpaksa diubah.
Along mencadangkan saya dan dia, disertai oleh dua orang lagi sepupu kami untuk berkelana (makan angin) di bumi Melaka, kerana kami memang berhajat untuk ronda-ronda di kawasan Banda Hilir dan beberapa pantai peranginan. Kedua sepupu tersebut dihubungi. Namun hanya seorang yang boleh sertai kami, iaitu Acan. Asrop ketika dihubungi masih berada di Dungun mengikuti kursus jabatan.
Masalah timbul apabila Acan terpaksa ke pejabat pada hari Sabtu, untuk menyelesaikan beberapa tugasan oleh kerana bakal bercuti sehingga hari Rabu. Dia hanya selesai bertugas pada jam 3 petang. Pada jam 3.30 petang, saya sebagai pemandu (satu-satunya), dengan along sebagai penumpang di bangku hadapan, menjemput Acan di Sogo (turun LRT dari pejabatnya di PJ). Kami kemudiannya ke Cheras untuk mengambil barang-barang Acan dan meminta kebenaran dari ibunya.
Jam 4.30 petang kami bertolak keluar Cheras. Tiba di tol Sungai Besi, kami singgah makan di KFC. Saya makan set OR Fillet yang cute dan tidak mengenyangkan. Selesai makan, kami terus bertolak memandangkan jadual perjalanan sudah dilajak. Sehingga melepasi Seremban, Garmin di telefon bimbit tetap tidak boleh beroperasi, kerana katanya, signal GPS lemah. Pengajaran pertama, Garmin bukanlah pemandu pelancong yang baik.
Sehinggalah melepasi Senawang, Garmin baru boleh digunakan. Kami menuju ke Tanjung Bidara. Dari Tol Simpang Ampat, tiada masalah bagi saya kerana kerap berulang alik melalui laluan ini untuk ke kolej suatu ketika dulu. Namun, pada satu simpang, Garmin mengarahkan kami melalui jalan yang agak asing bagi saya. Perjalanan tetap diteruskan.
Sampai di satu simpang empat di Masjid Tanah, baru saya sedar yang Garmin menggunakan jalan yang jauh. Sepatutnya lebih cepat dan lancar jika menggunakan laluan yang merentasi pekan Alor Gajah dan UiTM Lendu. Tak mengapalah. Asalkan sampai.
Tiba di Tanjung Bidara, kami menghadapi lesukaran mencari chalet. Tak jumpa satupun, kecuali Tanjung Bidara Beach Resort, yang kelihatan semacam tak mengalu-alukan pengunjung. Sunyi sepi, gelap, dan tiada pengawal di pintu masuk utamanya. Kami tak jadi masuk. Kereta berpatah balik menuju laluan utama semula. Garmin search chalet yang berhampiran. Paparan di skrin telefon bimbit ialah satu nama chalet berlokasikan Pengkalan Balak. Kami menuju ke sana.
Tiba di laluan masuk pantai peranginan Pengkalan Balak, sudah menanti sebuah medan ikan bakar yang ramai pengunjung. Begitu menggoda akal dan rasa. Maaf, kami terpaksa mencari tempat bermalam terlebih dahulu memandangkan ketika itu senja sudahpun menjengah. Sepanjang perairan pantai tersebut kami jelajahi, memang berpuluh chalet beratur mengadap pantai. Tapi tak satupun yang ada kekosongan untuk kami. Maklum sajalah, musim cuti perayaan. Semua chalet di kawasan tersebut sudah di'book' terlebih awal. Tiada ruang untuk pengelana yang terlewat.
Kami tidak putus asa, tetap berusaha mencari chalet sehingga ke Telok Gong, bersambungan dengan Pengkalan Balak. Kemudiannya kami ke Pantai Puteri atau dikenali juga dengan nama Pantai Kundur. Tujuannya sama, iaitu mencari tempat inapan. Tetap gagal. Pengajaran kedua, jangan pergi bercuti pada ketika ribuan lagi rakyat Malaysia turut bercuti makan angin.
Kecewa dan putus asa untuk mendapatkan chalet, ikhtiar seterusnya ialah mencari hotel di Banda Hilir. Kami terus ke sana, juga berpandukan Garmin. Melalui suatu jalan yang saya sendiri tidak pasti namanya, memang ramai orang Cina berkumpul sambil beberapa percikan bunga api mewarnai ruang udara ketika itu.
Asyik menikmati suasana yang agak asing itu, tiba-tiba 2 anggota polis bermotosikal dan bersiren mengarahkan semua kenderaan untuk himpit ke tepi memberi laluan. Sebuah kereta Perdana lalu dan berhenti tepat di sebelah kereta Waja kami. Saya duduk di bangku pemandu dengan jelas terlihat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam keluar dari kereta tersebut sambil bercakap dalam talian.
Saya tak pasti program atau majlis apakah yang berlangsung malam itu. Yang pasti, kami masih belum mendapatkan tempat untuk bermalam. Sudut jahat dalam fikiran menakut-nakutkan saya tentang kemungkinan tiada langsung tempat menginap yang available pada malam minggu itu.
Akhirnya, Garmin membawa kami ke sebuah hotel. Hotel Metropole namanya. Kami check in tepat jam 12 tengah malam. Harus check out jam 12 tengahari. Hanya separuh hari, perlu dibayar penuh. Mujur rate untuk bilik tiga orang agak berpatutan. Keadaan biliknya juga agak baik. Kekurangannya mungkin hanya pada TV yang kekurangan signal. Terpaksa menonton TV2 pada malam itu, memandangkan hanya itu sahaja yang ada signal.
Tidak banyak gambar yang dapat diambil sepanjang perjalanan memandangkan peranan saya selaku pemandu tunggal. Datuk Ali berada kurang 10 meter dari kamipun saya hanya mampu menoleh, tidak sempat mengambil gambar. Nanti tak pasal-pasal kena saman kerana memandu sambil mengambil gambar.
bersambung...
3 comments:
kalau nak bercuti, rancang dulu... book chalet awal2... plan mana nak pergi... dah biasa terkena...
ingat mmg nk buat style pengembara. mcm style rancangan destinasi bajet tu. siap nk dokumentasikan lagi. tp memandangkan segalanya tergendala, dari bertolak, cari chalet, sampaila cari tmpt makan. so, xleh nk rakam video perjalanan.
soal rancang, ni pengajaran yg paling berguna la. next trip (next time) kami akan pastikan perancangan yg lebih teliti. semalam dh ade cadangan utk ke pulau. tp tentu blanjanya lebih besar berbanding bercuti di bandar ataupun pantai peranginan.
ada cadangan tak?
1. tanya pendapat family atau member yg nak pergi bercuti tu. dapatkan persetujuan semua. sediakn plan B sekiranya plan A x jadi
2. budget: anggaran banyak mana duit diperlukan? untuk berapa hari? berapa ramai yg pergi? make sure ada ada lebihan duit atau backup money.
3. survey: internet, brochure, tanya kawan, call sendiri ke tmpat percutian tu. make sure ada accommodation. how to get there?
4. bawa apa yg perlu. bg saya, sy pentingkan bekalan air minuman. kamera..etc..
p/s: family saya sentiasa simpan khemah dlm kereta. in case kalau pergi bercuti atau tersangkut kat mana2, ada tmpat nak tdur ke berteduh ke..
Post a Comment