Barclay's Premier League terkenal sebagai salah satu liga bola sepak paling menarik di dunia. Kelebihan yang dimiliki oleh liga ini adalah dari segi populariti kelab, tahap cabaran setiap perlawanan, corak permainan yang pelbagai, dan personaliti yang terlibat.
Bagi setiap kelab dalam liga ini, cita-cita atau ekspektasi kelab adalah segala-galanya. Tidak kiralah di mana kedudukan atau kekuatan sesebuah kelab. Ekspektasi yang diletakkan di awal musim, perlu dicapai tanpa pengecualian. Malah kadangkala juga, tidak sampai pertengahan musim lagi, ekspektasi ini akan disemak dan persembahan semasa pasukan menjadi titik penanda pencapaian.
Hasil daripada semak pencapaian semasa ini, andainya sesebuah pasukan tidak mencapai ekspektasi semasa board of directors, maka mangsanya sudah pastilah pengurus pasukannya. Pengurus pasukan adalah individu yang bertanggungjawab sebagai pengendali kelab dari aspek pasukan dan keperluan kelab. Malah ada juga di antara pengurus yang turut bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan kelab.
Apabila pengurus pasukan sesebuah kelab ditamatkan kontrak, atau meninggalkan kelab dengan kerelaan bersama, ada di antara mereka yang terus meninggalkan karier pengurusan kelab. Ada juga di antara mereka yang keluar mencari peluang di kelab-kelab dari negara lain. Oleh yang demikian, saya akan memaparkan serba sedikit kisah dan hala tuju beberapa bekas pengurus kelab-kelab Barclay's Premier League yang semakin dilupakan.
Chelsea:
Gianluca Vialli (dipecat tahun 2000) - Kini masih lagi bertugas sebagai pengulas sukan di sebuah stesen TV. Vialli ketika ini (12 Januari 2010) dilaporkan menolak jawatan pengurus pasukan yang ditawarkan kepadanya oleh Juventus, selepas kelab tersebut memecat pengurus Ciro Ferrara. Vialli juga kebelakangan ini kerap kali dikaitkan dengan beberapa buah kelab, baik dari Itali, mahupun dari England.
Claudio Renieri (letak jawatan 31 May 2004) - Tahun-tahun selepas meninggalkan Chelsea, Renieri beberapa kali bertukar kelab. Antara kelab-kelab yang pernah diuruskannya selepas meninggalkan Chelsea, termasuklah Valencia (hanya 8 bulan - dipecat), Parma (hanya 3 bulan - tamat kontrak) dan Juventus (2 musim - dipecat). Sekarang (13 Januari 2010), Renieri menguruskan kelab AS Roma. Ketika ini Roma menduduki tangga kelima liga dan masih bersaing dalam UCL di pusingan kalah mati.
Jose Mourinho (letak jawatan 20 September 2007) - Tahun pertamanya dengan Chelsea, Mourinho berjaya membawa trofi BPL ke kelab tersebut pertama kali sejak 50 tahun. Tahun keduanya, beliau berjaya melakukannya sekali lagi. Namun tahun berikutnya beliau gagal memenanginya. Selepas meninggalkan Chelsea pada 2007 (selepas pertelingkahan dengan pemilik kelab), Mourinho membawa kejayaan liga pada tahun pertamanya bersama Inter Milan. Inter ketika ini juga sedang mendahului liga.
Luiz Felipe Scolari (dipecat 9 Februari 2009) - Selepas dipecat Chelsea, Scolari tetap tinggal di London untuk beberapa ketika. Pada 8 Jun 2009, Scolari dilantik pengurus kelab Uzbekistan, Bunyodkor, sekaligus bergabung dengan bekas pemain terbaik dunia, Rivaldo sebagai pemain.
Liverpool:
Gerard Houllier (letak jawatan 24 May 2004) - Setahun selepas meninggalkan Liverpool, Houllier pulang ke Perancis untuk bersama Lyon. Beliau berjaya membawa kejuaraan liga domestik ke Lyon buat dua tahun berturut-turut, namun tetap meninggalkan kelab tersebut selepas pertelingkahan dengan pengerusi kelab. Terkini, beliau akan menjadi tenaga pengajar bagi sebuah program yang akan diadakan di Kuala Lumpur, AFC Elite Education Seminar pada 22 Januari nanti.
Tamat siri pertama. Siri berikutnya akan disusuli dengan kisah-kisah terkini bekas pengurus dari kelab-kelab seperti Manchester City, Tottenham Hotspur, Aston Villa dan lain-lain.
Tuesday, 12 January 2010
Saturday, 9 January 2010
Keramat Mall

Kisah Keramat Mall ini sudah banyak dikupas dan diulas oleh kebanyakan bloggers. Malah juga pernah beberapa kali mendapat liputan daripada media-media arus perdana kerana penglibatan YB ahli parlimen dan YB menteri. Namun, saya di sini ingin mengulas dari sudut pandangan saya sendiri sebagai penduduk bumi 'keramat'.
Saya dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur (sekarang Hospital Kuala Lumpur), dan membesar sejak dari itu sehinggalah sekarang di sekitar Keramat. Pada awal usia saya membesar di Keramat Hujung. Kemudiannya sekeluarga berpindah ke rumah nenek di Jalan Dato' Keramat. Tidak lama. Sehinggalah kami berpindah ke rumah sewa di Lorong Keramat Dalam 1.
Pada usia saya 13 tahun, iaitu ketika di tingkatan 1, kami berpindah ke rumah kini iaitu di Keramat Jaya. Saya pergi ke sekolah pada waktu itu dengan menaiki bas. Bas untuk ke sekolah pula hanya boleh diambil di Esso Keramat. Untuk ke situ, saya perlu melalui jalan berhadapan dengan sebuah kawasan binaan yang bertutup dan berpasir. Ketika itu sekitar tahun 1998. Saya masih ingat, setiap kali lalu di kawasan berkenaan, saya pasti akan membaca papan notis binaan di situ.
Tarikh mula projek yang tercatat pada waktu itu seingat saya ialah sekitar tahun 1996. Bermaksud, sudah 2 tahun projek, namun ketika itu hanya jeriji yang terpacak. Tapak pun belum dibuat. Sedang jentera-jentera binaan seakan sudah lusuh dan rosak terbiar tidak bergerak. Tarikh projek dijangka siap pada waktu itu ialah sekitar tahun 1999. Namun sepanjang bulan, sepanjang tahun, saya berulang alik di kawasan berkenaan, tetap tiada perubahan. Sehingga suatu ketika, papan notis binaan tersebut telah tiada.
Pada awalnya saya fikir mungkin projek berkenaan telah gagal dan dibatalkan. Namun seingat saya sekitar tahun 2002, projek berkenaan dimulakan semula. Kawasan berkenaan mula ditutup dengan penghadang, dan jentera-jentera binaan mula keluar masuk. Pada tahun-tahun berikutnya, saya tiada di Kuala Lumpur kerana menuntut ilmu di Melaka dan Serdang. Hanya setelah 5 tahun tidak meninjau kawasan ini, pertama kali saya melihatnya semula sekitar tahun 2008, sebuah binaan yang unik dan tersergam indah sudah hampir siap. Ketika itu binaan tersebut masih belum dicat.
Pada tahun lalu pula, titik konflik yang sudah saya jangkakan akan berlaku, tercetus. Ketika itu, binaan tersebut sudah siap dan hanya menunggu masa untuk diinap. Terpampang pula nama binaan tersebut, 'Keramat Mall'. Hebat bunyinya. Penginap, ataupun kumpulan peniaga yang akan ditempatkan di sini pula adalah peniaga-peniaga dari Pasar Keramat. Kebanyakan dari mereka adalah peniaga tradisional, atau peniaga turun temurun di situ. Pasar Keramat juga seolah sudah menjadi sebahagian dari hidup saya kerana sejak dari kecil kerap dibawa ibu bapa untuk makan dan membeli barang dapur.
Setiap selok belok, jenis-jenis jualan, mahupun kedai makan yang sedap, semua saya sudah arif. Namun apabila siapnya Keramat Mall, saya mula terfikir akan beruntungnya para peniaga di Pasar Keramat. Kini, pasar tradisional tersebut sudah tidak berada dalam keadaan yang baik. Laluan pejalan kaki di sisi setiap gerai basah terlalu banyak lopak dan air yang bertakung. Air yang bertakung pula sudah pasti bukan air bersih, kerana di situlah mereka memotong ikan, ayam, dan daging. Darah mengalir, air hanyir ikan bertakung. Kotor.
Di tempat jualan ikan-ikan kering, kacang dan bihun pula, saya lihat terlalu banyak lipas berkeliaran. Di bahagian kedai makan pula, saya perhatikan semakin bertambahnya populasi tikus yang berkeliaran. Tikus kalau bersaiz tikus tidak mengapa. Tetapi tikus di sini bersaiz anak kucing. Besar. Sehinggakan kucing jantan pun jadi takut pada tikus di sini.
Oleh yang demikian, saya fikirkan, pembukaan Keramat Mall ini bukan sahaja menaiktaraf status peniaga, malah juga menaiktaraf tahap kebersihan jualan. Manakan tidak, saya difahamkan di pusat perniagaan baru ini juga turut disediakan kontraktor pembersih swasta. Bayaran sewa bulanan yang dikenakan pula sangat-sangat rendah, iaitu dari RM150 hingga RM500 mengikut saiz premis. Memang saya tidak begitu arif tentang hal sewaan premis perniagaan. Tetapi secara mantik akal, dan kiraan kasar, jumlah yang berkenaan adalah terlalu rendah berbanding munasabah. Namun saya faham mengapa mereka berkeras berkenaan yuran sewaan yang dikatakan tinggi. Manakan tidak, di pasar kini mereka hanya dikenakan sewa sekitar RM20 hingga RM50 sahaja sebulan. Atau dalam kata lain yuran sewaan kira-kira seringgit sehari.
Namun, ada juga tuntutan dari peniaga yang munasabah dek akal. Saya sokong pula sudut yang dibangkitkan ini. Namun konflik terus berbangkit, apabila isu lain pula tercetus. Penyelesaiannya masih belum ditemukan. Kompleks ini terus kesepian.
Selamat Tahun Baru 2010
Lambat sedikit post ini dirakamkan. Faktornya ialah ketidakaktifan saya dalam berinternet dalam 2 minggu kebelakangan ini. Namun, hari ini saya mula mendapat semula semangat untuk mengemaskini blog kesayangan ini.
Menjelang detik waktu rakyat Malaysia menyambut kehadiran tahun baru masihi 2010, kebanyakan daripada mereka berkumpul di beberapa acara rasmi mahupun tidak rasmi, malah ramai juga daripada mereka yang hanya menonton dari rumah, saya pula lain gayanya.
Pada malam 31 Disember 2009 yang lalu, saya bersama sekumpulan lebih kurang 13 orang rakan bermain futsal dari jam 10 malam. Kami bermain selama 2 jam sehinggalah bunyi dentuman mercun bunga api kedengaran. Yang menariknya, percikan bunga api seakan bersahut-sahutan di merata tempat yang sudah pastinya dipasang tanpa kebenaran pihak berkuasa. Tapi tak mengapa. Ianya seolah dapat memeriahkan lagi malam tahun baru.
Selesai bermain futsal, saya dan abang pulang mencari tempat untuk melepak minum. Ternyata jalan penuh kenderaan, kedai makan pula penuh manusia. Maka kami hanya membeli makanan bungkus untuk dimakan di rumah.
Menjelang detik waktu rakyat Malaysia menyambut kehadiran tahun baru masihi 2010, kebanyakan daripada mereka berkumpul di beberapa acara rasmi mahupun tidak rasmi, malah ramai juga daripada mereka yang hanya menonton dari rumah, saya pula lain gayanya.
Pada malam 31 Disember 2009 yang lalu, saya bersama sekumpulan lebih kurang 13 orang rakan bermain futsal dari jam 10 malam. Kami bermain selama 2 jam sehinggalah bunyi dentuman mercun bunga api kedengaran. Yang menariknya, percikan bunga api seakan bersahut-sahutan di merata tempat yang sudah pastinya dipasang tanpa kebenaran pihak berkuasa. Tapi tak mengapa. Ianya seolah dapat memeriahkan lagi malam tahun baru.
Selesai bermain futsal, saya dan abang pulang mencari tempat untuk melepak minum. Ternyata jalan penuh kenderaan, kedai makan pula penuh manusia. Maka kami hanya membeli makanan bungkus untuk dimakan di rumah.
Subscribe to:
Posts (Atom)