Friday, 11 December 2009

Penagih Rokok

Persoalan: Mengapa menjadi sesuatu yang begitu mengejutkan, atau sesuatu yang pelik apabila seorang lelaki Melayu beragama Islam di Malaysia ini tidak pernah menghisap rokok?

Persoalan ini sering bermain di minda saya apabila berhadapan dengan reaksi rakan-rakan yang baru mengenali diri ini. Sehingga pernah pada suatu ketika terlintas di benak saya untuk mencuba merasakan apa yang lelaki Melayu Islam normal (majoriti) rasakan dengan mengepam asap dalam paru-paru.

Mujurlah kesedaran dan ketahanan terhadap bahan kotor ini begitu kuat sehingga kini, alhamduliLLAH, pada usia 24 tahun, saya bebas dari mengepam secara terus asap rokok dari bibir ke paru-paru. Asap rokok yang masuk tanpa kerelaan mungkin banyak, memandangkan ayah seorang perokok tegar, dan bekas-bekas rakan sebilik di matrikulasi dulu yang bebas menghisap rokok di bilik.

Saya pernah berhadapan dengan pandangan pelik rakan-rakan apabila mengakui tidak pernah menghisap rokok. Mungkin kerana kehidupan sekitar saya rata-rata perokok. Namun saya tidak kisah itu semua. Malah saya tidak kisah jika sekalipun digelar mat skema, atau tidak jantan hanya kerana tidak menghisap rokok.

Bagi saya merokok tidak menjanjikan kejantanan dari segi gaya, mahupun riak tubuh. Kejantanan yang sah adalah penampilan yang lelaki, dan cara layanan terhadap wanita. Bukan dengan menghisap rokok dan hembuskan pada orang yang lalu lalang.

Saya tidak tahu mana salahnya perkara ini. Apabila semakin ramai wanita yang dilihat tanpa sebarang masalah berdampingan dengan lelaki yang sedang merokok. Malah mereka dilihat begitu setia menemani lelaki itu meskipun dihembuskan asap rokok di mukanya berkali-kali.

Pemerhatian demi pemerhatian membuatkan saya semakin jauh dari realiti para perokok. Apa yang dijuangkan dengan meletakkan rokok di bibir, memetik lighter, dan kemudian menyedut sedalam-dalamnya asap yang dipenuhi bahan-bahan kimia. Apa yang cuba dibuktikan?

Usaha kerajaan Malaysia mewajibkan semua syarikat rokok berdaftar di Malaysia untuk meletakkan imej penyakit-penyakit yang disebabkan rokok, pada kotaknya. Usaha ini amat unik dan menarik di mata negara jiran. Malah ada juga cadangan dibuat untuk pemerintah Indonesia menuruti kaedah ini. Namun sejauh mana keberkesanannya terhadap perokok di Malaysia masih belum dipastikan.

Hasil pemerhatian saya terhadap rakan-rakan yang merokok, sebahagian besar darinya langsung tidak mempedulikan amaran mahupun imej yang tertera pada kotak rokok itu. Malah ada di antara mereka yang maklum tentang penyakit-penyakit tersebut, namun tidak mengendahkannya.

Kajian lanjut secara akademik, harus dilakukan terhadap perokok-perokok tegar di Malaysia. Hal ini perlu memandangkan corak pemikiran setiap negara, dan setiap bangsa adalah berbeza. Kita tidak boleh bergantung kepada hasil kajian sejagat. Oleh itu, adalah perlu bagi penggiat-penggiat akademik membuat kajian khusus terhadap psikologi dan ketagihan yang serius terhadap rokok di kalangan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu beragama Islam.

3 comments:

FataMorgana said...

betul kata saudara. entah apa yg menyebabkan ramai golongan adam yg begitu mencintai rokok. kaum hawa pun ada juga. cth di tmpat saya belajar, ketika mass lecture ada yang minta kebenaran utk keluar sebentar, tetapi sebenarnya melepaskan gian mereka terhadap rokok. tolonglah, kami kaum hawa sangat membenci perokok.

cari said...

budaya merokok dikalangan murid sekolah amatlah membimbangkan. hampir 75% murid sekolah menengah lelaki dan 15% murid sekolah menengah perempuan menagih rokok

Sir Shah said...

FaMouS, terima kasih atas maklum balas yg tersebut di atas. smoga lebih ramai org Melayu beragama Islam di Malaysia ini yg berfikiran sedemikian.

saya juga mempunyai 'dua tiga kerat' rakan wanita yg menagih rokok. malah saya juga pernah mendengar fenomena penagihan rokok di kalangan pelajar wanita di matrikulasi tempat saya belajar dulu.

pencintaislamelayu, sepatutnya, kerajaan tidak perlu pergi terlalu jauh dgn melancarkan stigma 'belia benci dadah'. sebaliknya wajib bagi kerajaan untuk memulakan stigma anti-dadah itu dengan slogan 'belia benci rokok'. bagi saya, itu yg sepatutnya dimulakan.

kita sepatutnya telah mula bergerak aktif untuk mewujudkan perasaan atau sikap membenci perokok. tapi sebaliknya, kini seolah2 mereka yg tidak merokok dipandang seperti makhluk asing, terlalu asing bagi dunia 'normal'.