Saturday, 13 March 2010

Hari Yang Istimewa


Ketika saya sibuk melayari internet pada pagi semalam, telefon bimbit ayah berbunyi. Telefonnya berada di ruang tamu. Semua sudah lena diulit mimpi, sedang saya seorang saja yang masih berjaga. Maka sayalah individu yang perlu menjawab panggilan tersebut.

Lebih tepat lagi, panggilan masuk jam 4.05 minit pagi. Nama yang tertera sebagai pemanggil ialah sepupu saya, Kak Ita. Dalam hati saya terdetik, apa halnya Kak Ita hubungi ayah pada waktu begini? Kemudiannya baru saya teringat, Kak Ita sedang sarat mengandung. Mungkin dia memerlukan bantuan.

Betul tekaan saya. Kak Ita sedang kesakitan, dan memohon kami menghantarnya ke hospital. Dia ketika itu berada di rumah keluarganya di Cheras. Sedang saya berada di Keramat. Jarak perjalanan kira-kira 12 kilometer. Jarak masa bagi jarak perjalanan sedemikian ialah sekitar 20 minit.

Kami terus bertolak. Ibu dan ayah turut ikut. Misi kami ialah untuk sampai ke destinasi secepat mungkin dan menghantar Kak Ita ke hospital terdekat, iaitu HUKM. Kami tiba jam 4.30 pagi, dan terus ke HUKM selayaknya kenderaan ambulan.

Setelah selesai urusan di hospital, dan Kak Ita pun sudah ditempatkan di wad, kami pun segera pulang.

Jam 3 petang, kami mendapat panggilan dari Mak Lang (ibu Kak Ita). Dia memaklumkan Kak Ita sudahpun selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Kami sekeluarga segera ke HUKM untuk melawat 'orang baru'.

Monday, 8 March 2010

Lebih Bebas Daripada Biasa



Saya berada di Singapura ketika Majlis Kepimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat mengesahkan pemecatan YB Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin daripada parti. Berita tersebut hanya dapat saya akses pada hari Isnin (8 Mac 2010) kerana tiada connection di luar negara, selain tidak berkesempatan untuk mengikuti perkembangan berita tempatan apabila tiba di Johor kerana keletihan berjalan.

Zul sebenarnya sudah awal-awal lagi menyatakan instinctnya sebagai seorang peguam berpengalaman berkenaan kes ini. Beliau menyatakan kebimbangan betapa berkemungkinan besar konspirasi yang sudah disusun penghabisan kisahnya. Firaun-firaun kecil yang mempunyai tangan dalam menarikan boneka MPP PKR mengikut rentaknya, sudahpun seawal mungkin mahu memastikan Zul-empat-kulim ini dipecat dari parti.

Selepas disahkan bahawa tuntutannya berkenaan barisan panel Lembaga Disiplin yang perlu dihadapnya ditolak mentah-mentah, kini keputusan yang sudah dijangkakan itu menguatkan lagi spekulasi betapa PKR semakin 'bertangan'. Mana tangan-tangan yang bersembunyi itu? Siapakah firaun-firaun kecil yang hebat itu? Begitu hebatnya sekumpulan manusia ini sehinggakan dinyatakan gelaran tersebut pada setiap post Zul dalam blognya.

Zul tampak begitu geram dan berdendam dengan geng firaun kecil ini. Kita sebagai pemerhati, begitu yakin tak lama lagi akan terdedahlah senarai nama The Pharaohs. PKR sebagai tempat berlindung Zul selama lebih 10 tahun kini langsung tidak menghargai khidmatnya. Malah kini pemimpin yang tidak termasuk dalam senarai The Pharaohs, turut sama mendesak Zul melepaskan kawasan parlimennya.

Percubaan Zula untuk berjuang dari dalam telah digagalkan oleh segolongan manusia yang takutkan Islam. Saya pasti Zul seorang yang bijaksana dalam membuat keputusan. Sama ada memilih untuk mengekalkan kerusi tersebut, ataupun membebaskannya dan kembali bertanding untuk membuktikan pengaruhnya, itu terpulang di atas percaturan beliau dan penasihat-penasihatnya. Bagi saya, kedua-dua kutub pilihan itu tetap ada baik buruknya.

Yang pasti, kini beliau sudah separuh bebas. Belum pasti blok mana akan dipilihnya. Walaupun memilih untuk kekal bebas, namun tetap juga perlu memilih dalam setiap usul di Dewan Rakyat. Warnanya perlu jelas. Datuk Ibrahim Ali yang merupakan seorang MP bebas, memilih untuk berjuang dalam nada Melayu dan Islam. Saya fikir Zul boleh menuruti langkah Datuk Ibrahim sekiranya beliau belum bersedia untuk mendaftar di mana-mana parti.

Berhubung dengan parti barunya, saya fikir Zul bakal menghadapi dilema yang berpanjangan. Tidak banyak pilihan yang beliau ada. Hanya ada dua parti besar yang menjunjung perjuangan miripnya, iaitu parti Islam dan UMNO. Itu saja. A atau B. Nampak mudah, tapi bagi empunya diri, dia lebih sanggup untuk 'menduda' daripada tersalah pilih 'pasangan'.

Ramai yang melihat parti Islam sangat dekat dengan Zul. Perjuangannya digambarkan seperti cerminan kepada parti Islam di dalam PKR. Malah ada laporan menyatakan bahawa Zul pernah menjadi ahli parti Islam suatu ketika dulu sebelum menyertai rusuhan reformasi. Saya tak pasti kesahihan laporan ini. Namun, kisah u-turn Zul ke parti Islam turut dilaporkan beberapa blogger PKR.

Tapi saya yakin Zul lebih kenal siapa parti Islam. Zul lebih maklum corak politik dan perjuangan sebenar parti Islam ini sepanjang berkerjasama dengan mereka dalam pakatan. Tiada sokongan dari parti ini ketika Zul diasak dan ditekan berhubung keutuhan pegangannya terhadap apa yang diperjuangkannya. Parti Islam ini langsung tidak menunjukkan minat untuk menghulur bantuan mahupun sokongan kepadanya.

Tetapi, sejurus sahaja beliau dipecat, parti Islam ini dengan tidak semena-mena menghubungi Zul untuk suatu 'kekosongan jawatan'. Tak perlu hantar CV, tak perlu hadiri temuduga, tak perlu juga susah-susah tunggu panggilan telefon daripada HR.

Saya cuba meletakkan diri saya pada kedudukannya. Bagaimana saya ingin memilih parti ini sedangkan saya yang membuat laporan polis berkenaan kenyataan pemimpin parti ini, YB Khalid Samad yang disifatkan menghina Islam. Saya juga turut membayangkan, walaupun memilih untuk bersama parti Islam, namun saya tetap perlu untuk berkerjasama dengan rakan sepakatan, termasuklah Anwar, The Pharaohs, dan Lim Guan Eng. Ada beza?

Bagaimana pula dengan UMNO? Zul masih tetap benci pada UMNO. Tidak tahu apa puncanya. Mungkin saya perlu untuk study lebih lagi berkenaan sejarah YB ini. Namun, tahap kebenciannya pada UMNO ketika ini tampak semakin kurang jelas. Sama ada atas kesedaran dirinya, ataupun sekadar untuk meminta tempat berteduh untuk sementara waktu. Setakat ini UMNO Kulim Bandar Baru memberikan huluran persahabatan yang baik, iaitu bersedia untuk menyediakan sebuah pusat khidmat ahli parlimen untuknya.

Saya sedia memerhatikan perkembangan lanjutan berkenaan status individu hebat ini.

p/s: blom ade mood nk crite pasal vacation kt oversea (singapore).

Friday, 5 March 2010

Buku Kecil Berwarna Merah

Pagi tadi kami sekeluarga ke Jabatan Imigresen di Sri Rampai untuk memohon passport baru. Kami sekeluarga belum pernah memiliki sebarang passport kerana tidak pernah keluar negara. Tiba di pusat perniagaan Sri Rampai tersebut jam 10 pagi.

Lebih 20 orang kelihatan berada di ruangan koridor hadapan Jabatan Imigresen yang bersebelahan dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Mereka berada di ruangan tersebut bukan untuk melepak, sebaliknya menunggu giliran ke kaunter.

Kami tetap nekad masuk ke ruangan dalam jabatan tersebut untuk melihat keadaan dan suasana. Di ruangan dalam sahaja terdapat lebih 100 orang rakyat Malaysia sedang menanti angka giliran mereka dipanggil. Jika ditambah dengan yang berada di koridor, dan mungkin ada yang keluar makan dulu di kedai mamak, jumlahnya mungkin mencecah 150 orang.

Kami terpaksa beransur dari tempat itu, meskipun ayah sudah membayar tiket parking 50 sen. Rancangan kami ialah untuk ke Jabatan Imigresen di Putrajaya. Tak tahu di mana alamat tepatnya, namun tetap saja dicuba. Saya memandu ke Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Putrajaya kini sudah dilengkapi dengan papan-papan tanda jalan yang baik. Tidak seperti 2 tahun lepas. Nak pergi ke Alamanda pun susah. Tiada signboard.

Menurut alamat yang diberikan, jabatan yang dituju itu terletak di sebuah bangunan di Presint 14. Lokasi tepatnya tak dapat dipastikan. Kami beberapa kali tersalah arah dan tidak berjumpa destinasi sasaran. Presint 14 besar.

Akhirnya Garmin membantu juga apabila dapat mengesan bangunan tersebut. Kami tiba ke destinasi kira-kira jam 11 tengahari. Perkhidmatan foto dan fotostat disediakan di sana, memudahkan lagi proses permohonan.

Sempurna segala dokumen, dan borang pun sudah diisi, kami ke ruangan menanti giliran. Tak ramai orang. Berbeza sekali dengan suasana di Sri Rampai. Penuh sesak dengan manusia yang pelbagai ragam.

Proses kami selesai jam 12.30 tengahari. Kaunter menyerahkan sebuah buku kecil berwarna merah. Tak tebal pun. Ditambah dengan aksesori tambahan, iaitu cover buku berharga RM2. Kami semua sudah bersedia untuk menjengah dunia luar.

Saya secara peribadi, paling jauh pun sekadar ke Bintulu, Sarawak. Melawat UPM Bintulu sebagai salah satu program MPPUPM sesi 2005/2006, serta melawat pekan Bintulu yang meriah dengan aktiviti perniagaan.